[ISTIMEWA ZULHIJJAH] IBADAH KORBAN BUKTI KEIMANAN DAN KETAATAN
Bukti keimanan dan ketaatan dalam ibadah korban telah dirakamkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS di dalam al-Quran:
“Maka ketika anaknya (Nabi Ismail) itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [TMQ as-Saffaat (37): 1].
Ketika Ibrahim AS akan melakukan penyembelihan ke atas anaknya, Allah SWT memerintahkan agar beliau menggantikan Ismail AS dengan seekor haiwan ternakan.
“Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggil dia, wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar” [TMQ as-Saffaat (37): 103–107].
Ibrah yang kita boleh perolehi daripada kisah ini adalah bahawa keimanan dan ketakwaan yang sempurna kedua-dua bapa dan anak tersebut kepada Allah SWT menjadikan mereka mentaati sepenuhnya perintah Allah SWT tanpa sebarang keraguan sedikitpun.
Mereka tidak mempersoalkan apakah perintah Allah SWT itu sesuai atau tidak dengan kehidupan masyarakat di zaman mereka ketika itu, atau meragui dan tertanya-tanya apakah perintah tersebut baik atau buruk untuk mereka. Malah mereka langsung tidak meminta agar perlaksanaan perintah tersebut ditangguhkan. Walaupun Nabi Ismail AS merupakan anak yang sangat disayangi oleh Nabi Ibrahim AS, namun demi keimanan terhadap Yang Maha Esa, mentaati perintah Allah SWT itu adalah jauh lebih utama. Inilah ciri-ciri keimanan dan ketakwaan yang sempurna bagi seseorang hamba Allah SWT. Sememangnya keimanan kepada Allah SWT menuntut ketaatan terhadap perintah-perintah dan hukum-hakam-Nya, manakala dalam memenuhi perintah-perintah tersebut pula menuntut pengorbanan dan keikhlasan.
#istimewazulhijjah