Pentingnya Mengetahui yang Makruf dan yang Munkar
Pembahasan tentang amar makrûf nahi munkar membawa kita pada pembahasan tentang pentingnya pengetahuan terkait keduanya. Sebab, seseorang itu perlu ada ilmu sebelum melaksanakan perintah atau menjauhi larangan. Tidak akan ada aktiviti menyeru dan mencegah tanpa ilmu.
Sudah sangat jelas bahawa ilmu perlu mendahului amal. Amal pula hendaklah sesuai dengan ilmu syariat; jika tidak, maka amal tersebut tidak akan bernilai ibadah. Allah ﷻ memerintahkan kaum muslimin untuk melakukan yang makruf, maka yang makruf itu perlu diketahui agar ianya dapat dilakukan. Begitu juga Allah ﷻ memerintahkan mereka untuk menjauhi kemungkaran, sehingga kemungkaran itu juga perlu diketahui agar dapat dihindarkan.
Ibadah, ketaatan, dan keterikatan pada aturan adalah perkara utama, sedangkan ilmu merupakan syarat yang diperlukan demi terwujudnya hal tersebut. Jadi, ilmu tidak dicari hanya demi ilmu itu sendiri, melainkan untuk tujuan ibadah dan ketaatan. “Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan untuk ditaati dengan izin Allah ﷻ.” (TMQ an-Nisâ’ [4]: 64). Jadi, ibadah dan ketaatan adalah tujuan utamanya.
Ilmu tentang keduanya dapat dicapai dalam tahap paling rendah, iaitu dengan ber-taqlid, hingga tahap tertinggi, iaitu dengan ber-ijtihad. Keduanya mempunyai kebaikan selama keterikatan pada aturan dan ketaatan dapat terwujud.
Sesiapa sahaja yang mengerjakan solat dengan menjaga rukun dan syaratnya serta menjauhi perkara-perkara yang membatalkannya, maka dia telah beribadah dan menunaikan kewajipannya. Namun, jika ibadahnya dilakukan dengan cara taqlid, iaitu mengambil hukum daripada seorang ulama tanpa mengetahui dalilnya, maka dia kehilangan kebaikan besar; iaitu kebaikan ilmu.
Orang yang solat dengan cara ittibâ’, iaitu mengambil hukum daripada orang lain namun mengetahui dalilnya, sebenarnya juga muqallid, tetapi keadaannya lebih baik daripada orang awam yang tidak tahu dalil.
Adapun seorang mujtahid, dialah yang keadaannya paling baik, paling utama, dan darjatnya paling tinggi. Dia menggali hukum syariat sendiri, meneliti dalil-dalil, dan menyimpulkan hukum Allah ﷻ yang berlaku bagi dirinya daripada dalil-dalil tersebut.
- “Ad-Da’wah ila al-Islam” (Ahmad al-Mahmud)
#muqallid #mujtahid #muslimbertakwa