Dia Menyambut Sahabat-Sahabatnya Dengan Wajah Yang Tersenyum Ceria
Wanita Muslimah sejati sentiasa mempamerkan wajah yang ceria dan menyapa sahabat-sahabat perempuannya dengan penuh kemesraan serta senyuman, sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun kamu sekadar bertemu dengan saudaramu dengan wajah berseri-seri.” (HR Sahih Muslim)
Memiliki wajah yang ceria dan ramah merupakan sifat terpuji yang digalakkan oleh Islam dan dianggap sebagai satu amal baik yang mendatangkan pahala, kerana wajah yang ceria mencerminkan jiwa yang suci. Kesucian dalaman dan luaran ini merupakan salah satu ciri yang membezakan seorang Muslim yang ikhlas.
Justeru, Nabi SAW bersabda: “Senyumanmu kepada saudaramu adalah satu sedekah.” (HR Imam Tirmizi)
Rasulullah SAW sentiasa berwajah ceria dan menyambut para sahabat dengan penuh kemesraan serta senyuman setiap kali baginda bertemu mereka, sebagaimana yang digambarkan oleh sahabat hebat, Jarir bin Abdullah: “Sejak aku memeluk Islam, Rasulullah SAW tidak pernah menolak untuk menemuiku dan baginda tidak pernah berjumpa denganku melainkan dengan senyuman di wajahnya.” (HR Sahih Muslim)
Islam menghendaki ikatan persahabatan dan persaudaraan kekal utuh dalam kalangan umat Islam. Oleh yang demikian, Islam menggalakkan mereka untuk menyebarkan salam, mempamerkan wajah yang ceria, bertutur dengan lemah-lembut, dan saling menyapa dengan mesra. Hal ini bertujuan agar hati-hati umat Islam kekal suci dan terbuka, bersedia untuk bekerjasama dalam kebaikan bagi melakukan amal soleh, serta mampu melaksanakan kewajipan Islam walau apa jua usaha dan pengorbanan yang diperlukan.
Sumber:
“The IDEAL MUSLIMAH The True Islamic Personality of the Muslim Woman.” Dr. Muhammad Ali al-Hashimi
#MuslimahIdeal #Sahabat #Senyum #Akhlak