[Nafsiyah] Haji adalah Panggilan Allah Ta’ala
Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Haji adalah panggilan Allah. Begitulah Allah SWT nyatakan dalam Al-Qur’an, surah Al-Hajj: 27, “Kumandangkanlah seruan haji kepada umat manusia, maka mereka pun akan datang kepadamu, baik dengan berjalan kaki, atau dengan menunggang tunggangan yang kurus, datang dari setiap pelosok yang nun jauh.”
Dalam kitab-kitab Tafsir disebutkan, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam pun kemudian naik ke atas Jabal Abi Qubais. Dari atas gunung tinggi yang lerengnya menyambung ke bukit Safa itu, baginda melaksanakan perintah Allah Taala. Baginda berkata, “Wahai manusia, rumah Allah telah dibangunkan dan diwajibkan kepada kalian untuk menunaikan haji, maka berhajilah kalian.” Kemudian, mereka pun menjawab seruan Nabi Ibrahim itu dengan berdatangan ke Mekah, sambil mengumandangkan talbiah, “Laibaika-Llahumma Labaik, Labbaika la syarika laka Labbaik, inna al-hamda wa an-ni’mata laka wa al-mulk, la syarika laka.”
Diceritakan bahawa yang memenuhi seruan Nabi Ibrahim ‘alaihisalam pertama kali adalah penduduk Yaman, yang jarak perjalanan dari Mekah lebih kurang 1100 km. Waktu yang mereka perlukan lebih kurang dua minggu. Nabi Muhammad salla-Llahu ‘alaihi wa sallam pun memenuhi panggilan Allah ini ketika Haji Wada’ dengan menaiki tungganganya, sesekali berjalan kaki dari Madinah ke Mekah lebih kurang 8 hari. Bahkan, cucu Nabi, Sayyidina Hasan radhiya-Llahu ‘anhu menunaikannya dengan berjalan kaki sebanyak 23 kali.
Jadi, haji bukan hanya berkaitan menunaikan kewajipan yang diserukan oleh Allah bagi yang mampu, tetapi haji juga merupakan panggilan Allah yang hanya boleh diwujudkan oleh orang-orang mukmin yang mempunyai keyakinan kuat kepada Zat yang memberi panggilan. Kemampuan orang dalam menunaikan kewajipan ini sangat relatif kerana ada yang mampu dan ada yang tidak mampu, tetapi dengan berbagai wasilah akhirnya menjadi mampu dan boleh berangkat ke tanah suci.
Sebaliknya, ada yang mampu, tetapi tidak mahu memenuhi panggilan ini. Ini adalah masalah kedua, iaitu keyakinan. Justeru inilah yang paling penting dan faktor keyakinan inilah yang paling utama. Jika faktor keyakinan yang ada pada diri seseorang ini lemah, maka dorongan dan semangatnya untuk menunaikan kewajipan ini juga lemah. Sebaliknya, jika keyakinannya kuat, maka dorongan dan semangatnya untuk menunaikan kewajipan ini pun kuat. Oleh kerana itu, Allah SWT. akan sentiasa menunjukkan jalan kepadanya untuk sampai ke rumah-Nya.
Melonjaknya jumlah calon jemaah haji, hingga senarai menunggu mencapai 20-25 tahun menunjukkan adanya semangat dan dorongan yang kuat untuk menunaikan kewajipan ini. Walaupun ada yang melalui jalan yang salah, baik dari aspek hukum mahupun administrasi.
Semuanya itu adalah gambaran betapa haji bukan sekadar kewajipan, tetapi panggilan suci dari Rabb yang Maha Suci, Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pendek kata, kerana keyakinan yang jitu itulah, mereka boleh lakukan apa sahaja demi menunaikan panggilan-Nya. Walaupun ramai yang terabai, terbiar, hingga menjadi mangsa penipuan, pemerasan dan sebagainya.
Andai sahaja panggilan dan kewajipan ini ditunaikan dengan benar, dengan sistem dan hukum yang benar, tentu kes-kes yang selama ini menimpa jemaah haji tidak akan terjadi. Oleh yang demikian, sistem dan hukum yang melayani sehinggalah kewajipan dan panggilan suci ini boleh diwujudkan dengan baik dan menenteramkan hati. maka kita memerlukan sistem dan hukum Islam untuk diterapkan kembali. Wallahualam.
Sumber: Telegram K.H. Hafidz Abdurrahman