5 Tabiat Hebat Ulama Yang Perlu Dimiliki oleh Pengemban Dakwah
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Siapa tak kenal ulama? Pujian untuk kelompok manusia yang satu ini begitu banyak. Mereka bukan nabi, bukan sahabat, tapi mempunyai kedudukan yang istimewa di mata Allah dan RasulNya.
Allah SWT. menyebut ulama sebagai kelompok manusia yang paling memiliki rasa takut hanya kepadaNya (lihat QS. al-Fathir: 28). Allah juga menjanjikan akan mengangkat darjat kaum alim ini lebih tinggi dibandingkan dengan kelompok manusia yang lain.
Pujian kepada ulama juga bertebaran dalam sabda-sabda Baginda Nabi SAW. Dituturkan melalui lisan Beliau yang mulia kalau perbandingan ulama dengan manusia lain adalah ibarat bulan purnama dengan bintang-bintang yang kecil, cahayanya bergemerlapan di malam nan cerah. Ulama juga ditahbiskan oleh Rasulullah SAW. sebagai pewaris para nabi. MasyaAllah!
«إِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ»
“Sesungguhnya perumpamaan orang alim dibandingkan ahli ibadah laksana keunggulan bulan pada malam purnama di atas seluruh bintang, dan sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi…” (HR. Abu Daud).
Ulama yang taat pada Allah kelak juga diberikan ‘fasiliti’ istimewa di Hari Kiamat kelak, iaitu dapat memberikan syafaat. Nabi SAW berjanji:
« يَشْفَعُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَلاَثَةٌ الأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْعُلَمَاءُ ثُمَّ الشُّهَدَاءُ »
“Yang memberikan syafaat pada Hari Kiamat ada tiga golongan; para nabi, lalu ulama, kemudian syuhada“ (HR. Ibnu Majah).
Pasti ada alasan mengapa Allah dan RasulNya memberikan pujian dan kelebihan luar biasa kepada kelompok ulama. Ada sisi keunggulan peribadi ulama yang melampaui kesolehan orang kebanyakan. Imam Ahmad misalnya dikhabarkan tidak pernah melewati qiyamul layl setiap hari dengan beratus-ratus rakaat.
Keberanian mereka dalam menegakkan agama, beramar maruf nahi mungkar juga tidak mampu dihentikan dengan sogokan dunia atau pedihnya cemeti dan ancaman mati. Imam Abu Hanifah menyongsong ajalnya di dalam penjara ketika usia lanjut dalam keadaan istiqamah mengucapkan kalimat al-haq di hadapan penguasa zalim. Beliau wafat setelah diracun oleh ejen-ejen para penguasa zalim.
Sebab itu, tak ada salah atau kerugian bila para pembawa (pengemban) dakwah mengikut jejak langkah para ulama yang mukhlis ini. Mereka adalah pewaris para nabi. InsyaAllah senantiasa bertebaran mutiara ajaran Islam dalam setiap gerak mereka. Berikut ini adalah lima tabiat hebat para ulama yang rasanya patut dijadikan cermin amal bagi para pengemban dakwah:
- Pemburu Ilmu
Bukan namanya ulama bila tidak memburu ilmu. Mereka memahami bahawa ilmu adalah tiang dien (agama) ini. Ilmu adalah syarat untuk mendapatkan kejayaan dunia apalagi akhirat. Imam an-Nawawi berucap, “Siapa yang ingin mendapatkan bahagian dunia maka wajib atasnya ilmu, siapa yang ingin mendapatkan akhirat maka wajib atasnya ilmu, dan siapa yang menginginkan keduanya wajib atasnya ilmu.”
Telusurilah kisah para ulama dan ilmu, maka kita akan tercengang, takjub dan malu pada diri sendiri. Sungguh, kita belum ada apa-apanya dibandingkan himmah para ulama dalam memburu ilmu.
Cuba pernahkah kita melakukan apa yang dilakukan seorang alim bernama Ibnu Thahir al-Maqdisy? Beliau berkata : Aku dua kali kencing darah dalam menuntut ilmu hadis, sekali di Baghdad dan sekali di Mekah. Aku berjalan bertelanjang kaki di panas terik matahari dan tidak berkenderaan dalam menuntut ilmu hadis sambil memanggul kitab-kitab di punggungku.
Mengantuk di majlis ilmu? Dalam halaqah? Ini resepi Ibnu Jahm; beliau sebaliknya membaca buku apabila rasa mengantuk, dan itu kemudian menghilangkan rasa mengantuknya sama sekali.
Ironi bila kita ingin dicatat sebagai pengemban dakwah tapi tak mahu menanggung kepayahan mencari ilmu. Mudah mencari dalih agar tidak hadir ke liqa’, dan malah bersemangat tidak hadir bila memang tidak diwajibkan pada sesuatu majlis-majlis ilmu. Jauuuuh dari tabiat para ulama.
Malu juga diri kita mengaku pengemban dakwah tapi kedekut mengeluarkan wang untuk meraih ilmu. Malas membeli buku, enggan mengeluarkan wang untuk kos berangkat ke majlis ilmu? Tahukah anda, bahawa seorang alim bernama Al-Hafidz Abul ‘Alaa a-Hamadzaaniy menjual rumahnya seharga 60 dinar demi ‘hanya’ untuk membeli kitab-kitab Ibnul Jawaaliiqy.
Masih malas hadir di majlis ilmu? Liqo’ dan pertemuan-pertemuan yang bertaburan ilmu? Fikirkan lagi status pengemban dakwah pada diri ini.
- Giat Dalam Beribadah
Ada lagi yang aneh, pengemban dakwah tapi malas mengerjakan ibadah wajib dan melalaikan amalan sunnah. Padahal berdakwah menegakkan dienullah (agama Allah) dan senantiasa mengharapkan pertolongan Allah, lalu bagaimana boleh mendapatkan semua itu bila sebaliknya jauh dari Allah?
Para ulama adalah sosok yang begitu lekat dengan amal ibadah, baik yang fardhu mahupun yang sunnah. Misalnya dalam kewajipan yang sederhana, solat berjemaah. Seorang ulama bernama Said bin Abdul Aziz selalu menangis jika ketinggalan solat berjama’ah. Sa’id ibn al-Musayyab selama empat puluh tahun selalu mengerjakan solat di masjid. Al-A’masy selama hampir tujuh puluh tahun tidak pernah tertinggal takbiratul ihram ketika solat berjemaah. Bagaimana dengan para pengemban dakwah?
Amal para ulama adalah amal yang berkualiti, bukan amal yang tidak bersungguh-sungguh. Saib bin Yazid mengatakan, “Umar bin al-Khattab memerintahkan Ubay bin Ka’b dan Tamim Ad Dariy qiyam (Ramadhan) untuk orang-orang dengan sebelas rakaat”. Saib berkata, “al-Qari (imam) membaca ratusan ayat, hingga kami bersandar di atas tongkat kerana sangat lamanya berdiri. Dan kami tidak keluar melainkan di ambang fajar”.
- Tidak Bersekutu Dengan Kemungkaran
Ulama bukanlah orang yang bersembunyi di sebalik kitab atau majlis mereka dalam menyuarakan kebenaran. Ulama bahkan sosok yang berada di barisan terdepan menyuarakan kebenaran dan menentang kemungkaran. Hal itu mereka lakukan tidak secara sembunyi-sembunyi, tapi sebaliknya terbuka di hadapan umat.
Mereka memahami kewajipan taat pada para khalifah, tetapi mereka juga tidak teragak-agak mengkritik secara terbuka para pemimpin. Seperti yang dilakukan Imam Ahmad bin Hanbal membetulkan kekeliruan Khalifah al-Ma’mun yang mengadopsi pendapat Muktazilah dalam masalah akidah. Menyatakan al-Quran adalah makhluk. Maka Imam Ahmad dan sejumlah ulama berdiri menentang pendapat tersebut, walaupun perlu menanggung risiko dipenjarakan dan diseksa.
Abu Hanifah pernah menolak jawatan yang ditawarkan Abu Ja’far al-Manshur dan menolak wang 10 ribu dirham yang akan diberikan kepadanya. Kemudian dia ditanya oleh seseorang, “Apa yang anda berikan kepada keluarga anda, padahal anda telah berkeluarga.” Beliau menjawab, ”Keluargaku ku serahkan kepada Allah. Sebulan aku cukup hidup dengan 2 dirham saja.”
Akibat penolakannya beliau dipenjarakan dan diseksa, padahal usianya sudah lanjut. Tapi beliau memilih penjara berbanding melumuri diri dengan kemungkaran.
- Rendah Hati Di Hadapan Kebenaran
Suatu ketika Imam Abu Hanifah menasihati seorang anak kecil yang sedang bermain tanah, “Hati-hati, Nak, engkau boleh tergelincir.”
Tapi sang anak yang tahu bahawa dia berhadapan dengan Imam Abu Hanifah sebaliknya membalas memberikan nasihat yang tajam kepadanya:
إِيَّاكَ أَنْتَ مِنَ السُّقُوط، لِأَنَّ سُقُوطَ الْعَالِمِ سُقُوطُ الْعَالَمِ
“Andalah yang perlu berhati-hati dari kejatuhan, kerana jatuhnya seorang alim adalah kejatuhan bagi dunia!”
Semenjak mendapatkan nasihat dari anak tersebut Imam Abu Hanifah dikhabarkan selalu berhati-hati bila memberikan fatwa.
MasyaAllah! Ulama adalah hamba Allah yang faham bahawa tinggi hati adalah musuh ilmu dan kebenaran, seperti air bermusuhan dengan dataran tinggi tak mungkin air menuju ke sana.
Pengemban dakwah tak perlu menunggu orang yang berada di atas gunung untuk memberitahukan kesalahan mereka. Terkadang kawan seiringan — bahkan mungkin yang berada ‘dibawah’ mereka – dapat menunjukkan kebenaran.
Inilah sifat luar biasa-hebat dari seorang ulama. Berani menyampaikan kebenaran tapi juga rendah hati tatkala diingatkan pada kebenaran.
- Rasa Takutnya Hanya Kepada Allah
Seperti yang disifatkan Allah pada mereka, ulama adalah “manusia yang paling takut hanya kepada Allah.” Banyak kisah mereka yang mudah menangis bila mengingat kematian, syurga dan neraka dan kebesaran Allah SWT.
Di antara mereka ada yang lebih suka amal menangis berbanding berinfak. Misalnya Ka’ab bin al-Ahbar berkata, ”Sesungguhnya mengalirnya air mataku sehingga membasahi kedua pipiku kerana takut kepada Allah itu lebih aku sukai daripada aku berinfak emas yang besarnya seukuran tubuhku.”
Para ulama boleh menangis bila-bila masa saja dan dimana saja bila mengingati Allah SWT, syurga dan neraka. Abu Musa al-Asya’ri radhiyallahu’anhu suatu ketika memberikan khutbah di Bashrah, dan di dalam khutbahnya dia bercerita tentang neraka. Maka beliau pun menangis sampai-sampai air matanya membasahi mimbar! Dan pada hari itu orang-orang (yang mendengarkan) pun menangis dengan tangisan yang amat dalam.
Subhanallah!
Ini baru sekelumit karakter para ulama. Belum lagi soal hidup sederhana, pemurah, ramah, bersahabat, menghormati yang lebih tua, dsb.
Ayyuhasy syabab! Milikilah sifat-sifat ulama dalam diri kita. Agar Allah memudahkan pertolongan kepada kita dan dakwah yang sedang diemban (dipikul/dibawa) ini. Milikilah keyakinan seperti keyakinan para ulama bahawa tak ada yang dapat memberikan pertolongan melainkan hanya Allah. Dialah yang akan kita tuju saat kembali, dan tempat meminta segala kebaikan dan kebahagiaan.
———
*pengemban dakwah – pemikul/pembawa dakwah