[Fikh] Pengertian Haji Mabrur
Penulis: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Apa yang dimaksudkam dengan haji mabrur? Ada beberapa definisi sebagaimana dikutip oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari (3/382).
Di antaranya adalah sebagai berikut:
Ibnu Khaaluwiih berkata, “Haji mabrur adalah haji yang diterima (makbul) oleh Allah SWT..”
Definisi di atas menjelaskan haji mabrur dari segi diterimanya haji oleh Allah, tetapi tidak menjelaskan bagaimana prosesnya supaya ibadah haji yang dilakukan itu diterima Allah.
Ada ulama lain yang mendefinisikan haji mabrur dari segi prosesnya. Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani melanjutkan:
Ulama lain berkata, “Haji mabrur adalah haji yang tidak dicampuri dengan suatu dosa.” Definisi ini dinilai lebih kuat (rajih) oleh Imam Nawawi. (Ibnu Hajar al ‘Asqalani, Fathul Bari, 3/382; Imam Baghawi, Syarah as-Sunnah, 6/7).
Dari berbagai definisi yang ada, Imam Al-Qurthubi kemudian menyimpulkan, “Pendapat-pendapat mengenai pengertian haji mabrur itu hampir sama maknanya, iaitu haji mabrur adalah haji yang memenuhi semua ketentuan hukum-hukum syariatnya dan memenuhi semua yang dituntut dari seorang mukallaf secara sempurna.” (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 3/382).
Syekh Muhammad Al-Khidhir Husain menyimpulkan definisi haji mabrur tersebut dengan redaksi yang lebih ringkas:
“Haji mabrur adalah haji yang memenuhi semua ketentuan hukum-hukum syariatnya dan yang tidak dicampuri dengan suatu dosa.” (Muhammad al-Khidhir Husain, Mausuu’ah al-A’maal al-Kaamilah, Suria: Daar an-Nawaadir, cet. 1, 1431 H, 10/4921).
Empat Syarat Haji Mabrur
Para ulama tidak hanya menjelaskan definisi haji mabrur, tetapi juga menjelaskan syarat-syarat haji mabrur.
Ada 4 (empat) syarat untuk mendapatkan haji mabrur:
Pertama, ikhlas.
Haji mabrur itu hendaklah dimulai dengan niat ikhlas lillahi taala, iaitu menunaikan haji semata-mata kerana diwajibkan Allah. Tidak mabrur kalau naik haji itu kerana riak (supaya dipuji), sum’ah (supaya didengar), atau supaya dipanggil “Pak Haji.”
Dalilnya adalah ayat yang menjelaskan bahawa haji dan umrah itu hendaklah lillah (kerana Allah). Firman Allah SWT,
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.” (TMQ Al-Baqarah: 196).
Kedua, sesuai tuntunan Nabi saw.
Yakni haji mabrur itu tidak terwujud kecuali mengikuti contoh atau teladan dari Rasulullah saw.. Tidak mungkin mabrur ibadah haji yang caranya tidak sesuai dengan contoh Nabi saw.. Misalnya, ada orang liberal yang pernah mengajukan usulan yang batil agar haji tidak hanya dilakukan pada bulan Zulhijjah supaya tidak berlaku korban jiwa akibat bersesak-sesak seperti Tragedi Mina tahun 2015.
Dalil wajibnya mengikuti contoh Nabi saw. adalah sabda Nabi saw.,
“Hendaklah kamu mengambil tata cara manasik kamu (dariku) kerana aku tidak tahu apakah aku boleh berhaji lagi setelah hajiku ini.” (HR Muslim dan Ahmad).
Ketiga, dengan harta halal.
Haji mabrur hanya diraih oleh orang yang berhaji dengan harta yang halal. Orang yang menunaikan haji dari wang yang haram, misalnya hasil rasuah, hajinya tidak diterima Allah dan tidak akan mabrur. Meski menurut hukum syarak hajinya sah (selama memenuhi segala rukun dan wajib haji) dan kewajipan hajinya dianggap gugur, tetapi orang itu tidak meraih haji mabrur.
Dalilnya adalah sabda Nabi saw.,
“Sesungguhnya Allah adalah Zat Maha Baik yang tidak akan menerima kecuali dari yang baik.”(HR Muslim).
Keempat, tidak melakukan jidal, rafats, dan fusuq.
Mereka yang menunaikan ibadah haji diharamkan melakukan jidal, iaitu berdebat atau berbantah-bantahan. Diharamkan juga melakukan rafats, iaitu bersetubuh dan perbuatan-perbuatan lain yang mengantarkan pada persetubuhan. Juga diharamkan fusuq, iaitu segala perbuatan yang keluar dari ketaatan kepada Allah dengan melakukan suatu perbuatan maksiat, demi menghormati keagungan waktu dan tempat ibadah haji tersebut.
Mereka yang menunaikan ibadah haji dan melanggar larangan-larangan tersebut, bererti hajinya tidak mabrur.
Dalilnya adalah firman Allah Swt.,
“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji maka tidak boleh rafats, berbuat fasik, dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji.” (TMQ Al-Baqarah: 197).
Sabda Nabi saw.,
“مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ، فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ، رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ” متفق عليه.
“Barang siapa yang berhaji ke Baitullah, kemudian dia tidak berbuat rafats dan tidak berbuat fusuq, maka dia akan kembali seperti keadaan saat dia dilahirkan oleh ibunya (tanpa dosa).” (HR Bukhari dan Muslim).
Keutamaan Haji Mabrur
Haji mabrur mempunyai beberapa keutamaan. Di antaranya adalah menjadi amal paling afdhal setelah iman kepada Allah dan Rasul-Nya dan jihad fii sabilillah.
Dalam sebuah hadis,
Nabi saw. ditanya, “Amal manakah yang paling utama?” Nabi saw. menjawab, “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Ditanya lagi, “Lalu amal apa?” Nabi saw. menjawab, “Jihad fii sabilillah.” Ditanya lagi. “Lalu amal apa?” Nabi saw. menjawab, “Haji mabrur.”(HR Bukhari).
Keutamaan haji mabrur lainnya adalah pahalanya, iaitu pahalanya itu tidak ada, kecuali syurga. Sabda Nabi saw.,
“Umrah yang satu ke umrah (selanjutnya), adalah penghapus dosa di antara keduanya. Dan haji mabrur itu tidak ada balasannya kecuali syurga.” (HR Bukhari dan Muslim).
Wallahualam bissawab.