[Nafsiyah] Meraih Keutamaan Zulhijjah
Zulhijjah memiliki keutamaan pada sepuluh hari pertamanya. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW. bersabda, “Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini, (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Bukankah jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Bukan jihad di jalan Allah, kecuali mereka yang pergi jihad dengan jiwa dan hartanya, tetapi tiada satupun yang kembali .” (HR Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad).
Jika seorang muslim beramal soleh semasa Zulhijjah, Allah Swt. akan melipatgandakan pahala kepadanya. Amalan tersebut ialah solat, sedekah, membaca Al-Qur’an, puasa, berdakwah, berjuang di jalan Allah, dan lain-lain.
Di antara amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada awal Zulhijjah adalah berpuasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, beberapa isteri Nabi SAW mengatakan, “Rasulullah SAW biasa berpuasa pada sembilan hari terawal Zulhijjah, pada hari ‘Asyura (10 Muharram), berpuasa tiga hari setiap bulannya, awal bulan pada hari Isnin dan Khamis.” (HR Ahmad dan Abu Daud).
Keutamaan Zulhijjah
Pertama, Islam disempurnakan oleh Allah Swt. pada Zulhijjah. Allah Swt. berfirman, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kalian agama kalian, dan telah Aku sempurnakan nikmat-Ku atas kalian, dan Aku telah redha Islam itu agama bagi kalian.” (TMQ Al Maidah: 3).
Para ulama sepakat bahawa ayat itu turun dalam bulan Zulhijjah semasa haji wada’ pada hari Arafah. Berdasarkan atsar daripada Umar bin Al Khathab RA bahwasanya seorang ulama Yahudi berkata kepada Umar, “Wahai Amirul Mukminin, tahukah engkau satu ayat dalam kitab suci kalian yang kalian baca, yang jika seandainya ayat itu turun kepada kami, maka kami akan jadikan hari turunnya ayat tersebut sebagai hari raya.” Umar berkata, “Ayat apakah itu?” Yahudi itu membacakan ayat tersebut, “Al yauma akmaltu lakum…” Umar pun berkata, “Sungguh kami telah mengetahui di mana dan bila ayat itu turun. Ayat itu turun pada saat Nabi saw. sedang berada di padang Arafah semasa hari Jumaat.” (HR Bukhari).
Kedua, puasa Arafah merupakan di antara kekhususan umat Islam. Hari Arafah merupakan hari disunnahkan bagi yang tidak melaksanakan haji untuk berpuasa. Puasa Arafah dapat menggugurkan dosa-dosa selama dua tahun. Pahala puasa Arafah (9 Zulhijjah) lebih afdal daripada pahala puasa Asyura (10 Muharram).
Sabda Nabi saw., “Puasa Asyura dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu, dan puasa Arafah itu dapat menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (HR An Nasa’i).
Oleh kerana itu, Allah Swt. melipatgandakan penghapusan dosa dalam puasa Arafah dua kali ganda lebih besar daripada puasa Asyura.
Ketiga, darah-darah haiwan korban paling banyak ditumpahkan ketika Zulhijjah. Nabi SAW bersabda, “Sebaik-baik pelaksanaan haji adalah yang paling banyak bertalbiah dan yang paling banyak berhadyu (menyembelih haiwan sebagai hadiah untuk fukara Makkah).” (HR Abu Ya’la, An-Nasa’i, Al Hakim, dan Al Baihaqi).
Keempat, Zulhijjah merupakan bulan muktamar umat Islam sedunia. Pada hari Arafah, umat Islam yang datang dari seluruh penjuru dunia melaksanakan haji berkumpul di padang Arafah. Ini demi melakukan aktiviti puncak pelaksanaan manasik haji, iaitu wukuf di Arafah. Sabda Nabi SAW., “Haji itu (wukuf) di Arafah).” (HR Al Jama’ah).
Sahabatku, kita semua tentu berharap Allah Swt. memudahkan kita untuk meraih keutamaan saat Zulhijjah. Semoga Allah Swt. memberikan kita kesempatan dan rezeki untuk menunaikan ibadah haji di Baitullah bersama keluarga. Jangan lupa untuk kita berdoa dengan penuh khusyuk mengharapkan kemenangan untuk Islam dan umat-Nya.
Semoga Allah Swt. segera mengangkat penderitaan saudara seakidah kita di Gaza, Syria, Rohingya, Kashmir, Pakistan, Uighur, dan di pelbagai negeri muslim yang masih kesulitan akibat pelakuan musuh-musuh Islam. Semoga pula Allah Swt. segera menolong dengan berdirinya Khilafah Islamiyah yang kita rindukan untuk melindungi, mensejahterakan, dan mengurusi umat dengan peraturan Islam. Wallahu muwafiq.
Sumber:
muslimahnews.net