[ISTIMEWA ZULHIJJAH] HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN
Bukti keimanan dan ketaatan dalam ibadah korban telah dirakamkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS di dalam al-Quran:
“Maka ketika anaknya (Nabi Ismail) itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [TMQ as-Saffaat (37): 1].
Ketika Ibrahim AS akan melakukan penyembelihan ke atas anaknya, Allah SWT memerintahkan agar beliau menggantikan Ismail AS dengan seekor haiwan ternakan.
“Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggil dia, wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar” [TMQ as-Saffaat (37): 103–107].
Ibrah yang kita boleh perolehi daripada kisah ini adalah bahawa keimanan dan ketakwaan yang sempurna kedua-dua bapa dan anak tersebut kepada Allah SWT menjadikan mereka mentaati sepenuhnya perintah Allah SWT tanpa sebarang keraguan sedikitpun. Mereka tidak mempersoalkan apakah perintah Allah SWT itu sesuai atau tidak dengan kehidupan masyarakat di zaman mereka ketika itu, atau meragui dan tertanya-tanya apakah perintah tersebut baik atau buruk untuk mereka. Malah mereka langsung tidak meminta agar perlaksanaan perintah tersebut ditangguhkan. Walaupun Nabi Ismail AS merupakan anak yang sangat disayangi oleh Nabi Ibrahim AS, namun demi keimanan terhadap Yang Maha Esa, mentaati perintah Allah SWT itu adalah jauh lebih utama. Inilah ciri-ciri keimanan dan ketakwaan yang sempurna bagi seseorang hamba Allah SWT. Sememangnya keimanan kepada Allah SWT menuntut ketaatan terhadap perintah-perintah dan hukum-hakam-Nya, manakala dalam memenuhi perintah-perintah tersebut pula menuntut pengorbanan dan keikhlasan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (HR at-Tarmizi)
Hukum melakukan korban adalah sunat muakkad yakni perkara sunat yang sangat digalakkan.
Sesungguhnya amalan korban adalah perkara yang sangat dicintai oleh Allah pada Hari Raya Aidiladha sebagaimana hadis Nabi dSAW, maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada Hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (HR Tarmizi)
Dapat difahami dari hadis ini bahawa haiwan yang kita korbankan akan datang kepada kita pada hari akhirat nanti dengan izin Allah.
Malah didalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW memerintahkan anak perempuan baginda, Fatimah datang semasa sesi penyembelihan binatang korban kerana bila darah pertama binatang tersebut jatuh ke bumi, Allah memberi pengampunan pada dosa-dosanya yang lalu. (HR Hakim)
Kemuncak kepada ibadah korban yang dilaksanakan oleh umat Islam adalah untuk mencapai ketakwaan dan keredaan Allah SWT, sebagaimana Firmah Allah SWT yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu.” [Surah Al-Hajj (22): 37].