[Tarikh Khulafa] Pertempuran Sengit Antara Tentera Turki Uthmaniyyah dan Tentera yang Mempertahankan Kota Konstantinopel
Penulis: Nabila Ummu Anas
Pada pukul satu petang, hari Selasa 20 Jamadilawal 857 H—bertepatan dengan 29 Mei 1453 Masihi—serangan besar-besaran mula dilancarkan ke atas Kota Konstantinopel setelah dikeluarkan perintah kepada semua mujahid yang melaungkan takbir. Mereka segera menuju ke arah tembok-tembok kota. Penduduk Konstantinopel sangat ketakutan. Mereka segera membunyikan lonceng-lonceng gereja dan ramai penganut Kristian yang berlindung di dalam gereja.
Strategi Serangan Berlapis
Serangan itu terus dilancarkan dari arah darat dan laut pada masa yang sama, mengikut rancangan terperinci yang telah disediakan dengan teliti. Para mujahid itu berkeinginan untuk mati syahid. Oleh itu, mereka bergerak ke hadapan dengan penuh keberanian.
Serangan yang dilancarkan oleh tentera Turki Uthmaniyyah dibahagikan kepada beberapa titik yang berbeza. Bagaimanapun, serangan besar itu tertumpu untuk menyerang wilayah Lembah Likus di bawah titah Sultan Muhammad al-Fatih. Gelombang pertama dari kubu Turki Uthmaniyyah membedil tembok-tembok kota dengan tembakan meriam dan anak panah. Mereka cuba melumpuhkan pergerakan tentera Byzantine yang mempertahankan kubu tersebut. Dengan kegigihan tentera Byzantine dan keberanian tentera Turki Uthmaniyyah maka jumlah yang terkorban daripada kedua-dua belah pihak adalah besar.
Apabila tentera mengalami kesukaran melakukan serangan semasa gelombang pertama, Sultan Muhammad al-Fatih telah menyediakan tentera yang lain. Dia menarik balik tentera pertama dan menurunkan tentera kedua. Sementara itu, orang-orang Byzantine yang mempertahankan kota telah menghadapi kesukaran dan kelelahan . Tentera kedua semasa gelombang kedua berjaya sampai ke tembok-tembok kota. Mereka mendirikan ratusan tangga untuk membolehkan masuk ke kota. Tentera Byzantine mengerahkan semua keupayaan yang masih ada untuk menentang percubaan untuk memanjat tembok itu.
Selepas dua jam menjalankan usaha tersebut, Sultan Muhammad al-Fatih mengeluarkan titah kepada tentera kedua semasa gelombang kedua untuk berehat seketika, setelah mereka mampu dapat mengelirukan pihak musuh di wilayah tersebut. Pada masa yang sama, Sultan mengeluarkan titah kepada tentera ketiga untuk melakukan serangan ke tembok-tembok kota di wilayah yang sama. Serangan gelombang ketiga itu sangat mengejutkan orang-orang Byzantine yang mempertahankan diri. Mereka menyangka bahawa serangan telah reda. Mereka benar-benar keletihan, sementara para mujahid sangat bersemangat untuk mengambil bahagian mereka dalam pertempuran.
Pertempuran Laut
Pertempuran yang hebat juga terjadi di wilayah lautan. Armada tentera laut Turki Uthmaniyyah dapat memusnahkan kekuatan tentera laut Byzantine yang mempertahankan diri dan membuat mereka sibuk di pelbagai medan perang pada masa yang sama. Apabila cahaya pagi muncul, tentera Turki Uthmaniyyah mampu menentukan tempat-tempat musuh secara lebih terperinci. Mereka segera menggandakan serangan ke atas pihak musuh. Kaum muslim sangat bersemangat dan berkeinginan untuk menyelesaikan serangan itu.
Bagaimanapun, Sultan Muhammad al-Fatih mengeluarkan titah supaya tentera berundur, bagi merehatkan meriam-meriam mereka supaya boleh beroperasi semula. Meriam-meriam itu telah digunakan untuk membedil benteng-benteng pertahanan musuh dengan peluru-peluru dan telah membuat musuh keletihan setelah bertempur sepanjang malam.
Kemenangan Semakin Hampir
Setelah meriam-meriam Turki Uthmaniyyah berhenti, tentera Janissari yang diketuai terus oleh Sultan Muhammad al-Fatih tiba. Mereka menyerang pertahanan lawan dengan penuh keberanian dan semangat perngorbanan yang tiada tolok bandingnya. Tiga puluh di antara mereka dapat memanjat tembok-tembok kota sehingga mengejutkan pihak musuh. Walaupun ada di antara mereka yang mati syahid, termasuk panglimanya, tetapi mereka berjaya membuka jalan untuk masuk ke kota melalui gerbang Topkapi dan dapat memasang panji-panji Uthmaniyyah di atas tembok kota. Hal ini meningkatkan semangat tentera yang lain untuk memasuki kota dan melemahkan kekuatan musuh.
Pada masa yang sama, panglima perang tentera Byzantine yang bernama Giovanni Gustinian cedera parah sehingga memaksanya untuk berundur dan melarikan diri dari medan perang. Kehilangan Panglima Gustinian dari medan perang sangat mempengaruhi semangat juang tentera Byzantine yang mempertahankan diri. Akhirnya, Maharaja Konstantin menggantikan tempat panglimanya dan berusaha sedaya upaya untuk menguatkan tenteranya yang mula berputus asa dalam mempertahankan Kota Konstantinopel.
Tentera Turki Uthmaniyyah meneruskan serangan ke atas kota dari seberang sehingga mereka dapat menembusi tembok kota, menguasai beberapa menara, dan menumpaskan tentera pengawal. Akhirnya tentera Turki Uthmaniyyah berjaya menembusi Kota Konstantinopel melalui pintu gerbang Edirne dan mereka menaikkan bendera Daulah Uthmaniyyah di menara-menara benteng. Melihat perkara itu, Maharaja Konstantin menanggalkan pakaiannya supaya dia tidak dikenali. Dia turun dari kudanya dan berperang sehingga dia terbunuh di medan perang.
Sumber: Dr. Ali Muhammad ash-Shallabi, Sejarah Daulah Uthmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura