[Tarikh Khulafa] Sultan Muhammad Al-Fatih Menyalakan Semangat Jihad Tentera Turki Uthmaniyyah
Penulis: Nabila Ummu Anas
Pada Ahad, 18 Jamadil awal, Sultan Muhammad Al-Fatih berpesan kepada tenteranya supaya menyerahkan diri kepada Allah, membersihkan jiwa, dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat dan mentaatiNya. Sultan juga menitahkan mereka banyak berdoa dan merendahkan diri kepada Allah dengan harapan Allah SWT permudahkan urusan mereka untuk menakluki kota Konstantinopel.
Memberi Dorongan Semangat
Perintah ini tersebar luas di kalangan tentera Islam. Pada hari itu, Sultan Muhammad Al-Fatih juga memeriksa tembok kota secara langsung, melihat keadaan terkini mereka, dan mengetahui sejauh mana pengawal tembok kota itu berada di pelbagai titik. Kemudian Sultan menentukan titik-titik mana yang akan menjadi tumpuan serangan meriam tentera Turki Uthmaniyyah. Dia memeriksa pasukannya dan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus berusaha keras dan berkorban dalam memerangi musuh.
Meyakini Bahawa Allah SWT Akan Memberikan Kemenangan
Pada masa yang sama, Sultan Muhammad Al-Fatih menghantar surat kepada penduduk Galata supaya terus berkecuali. Sultan menegaskan kepada mereka supaya tidak campur tangan dalam apa jua perkara yang akan berlaku, sebagai bentuk komitmen terhadap perjanjian yang telah dibuat. Sultan juga berjanji akan membayar pampasan kepada semua kerugian yang dialami akibat peperangan tersebut. Kemudian, pada sebelah petang, tentera Turki Uthmaniyyah menyalakan api besar di sekitar kem mereka. Jeritan mereka semakin kuat dengan bunyi tahlil dan takbir. Byzantine menyangka bahawa kebakaran telah berlaku di kem tentera Uthmaniyyah. Namun, tiba-tiba mereka mendapat tahu bahawa tentera Turki Uthmaniyyah telah meraikan kemenangan dengan memberi mukadimah yang boleh menimbulkan ketakutan di hati penduduk Konstantinopel.
Pada keesokan harinya, persiapan tentera Turki Uthmaniyyah mencapai kemuncaknya dan tembakan meriam tentera Turki Uthmaniyyah terus menerjah kubu kota. Sultan Muhammad Al-Fatih mengelilingi khemah tentera untuk memeriksa dan memberi arahan. Jangan lupa, Sultan sentiasa berpesan kepada tenteranya supaya sentiasa ikhlas, banyak berdoa, sanggup berkorban, dan bersedia untuk berjihad.
Berjaya Menakluk Adalah Kemuliaan
Setiap kali melepasi sekumpulan tentera, Sultan Muhammad Al-Fatih memberi kata-kata membangkitkan semangat mereka. Beliau menjelaskan kepada mereka bahawa dengan menakluki Konstantinopel mereka akan memperoleh kehormatan tinggi dan kemuliaan abadi, serta ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Selain itu, penaklukan Konstantinopel di tangan umat Islam akan membendung kejahatan kota tersebut. Ini kerana Konstantinopel sentiasa dipenuhi dengan musuh dan manusia yang suka merancang menentang Islam. Tambahan pula, tentera yang boleh memasang bendera Islam di dinding Konstantinopel akan mendapat ganjaran yang paling banyak dan tanah yang paling banyak.
Ulama-ulama Islam dan syeikh-syeikh mereka beredar di antara pasukan membacakan kepada pasukan ayat-ayat jihad dan perang, serta Surah Al-Anfal. Mereka mengingatkan kebaikan syahid di jalan Allah dan tentang syuhada terdahulu yang gugur di sekitar Konstantinopel, antaranya sahabat mulia, Abu Ayyub Al-Ansari. Mereka berkata kepada para pejuang, “Apabila Rasulullah SAW berpindah ke Madinah, baginda singgah di rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Abu Ayyub Al-Ansari telah pergi ke tempat ini dan dia dimakamkan di sini.” Kata-kata ini menaikkan semangat askar dan menyalakan semangat juang tertinggi.
Selepas Muhammad Al-Fatih kembali ke khemahnya dan memanggil panglima tentera, dia menyampaikan arahan terakhir. Kemudian, Sultan Muhammad Al-Fatih berkhutbah, “Jika kita berjaya menakluki kota Konstantinopel, maka hadis Nabi Muhammad telah menjadi kenyataan dan terbukti menjadi salah satu mukjizatnya untuk kita. Kita akan mendapat kebaikan dari apa yang telah disebutkan dalam hadis ini, berupa kemuliaan dan kehormatan. Oleh itu, sampaikan kepada para pahlawan satu persatu bahawa kemenangan besar yang bakal kita capai akan menambahkan keluhuran dan kegemilangan Islam. Oleh sebab itu, wajib bagi setiap tentera untuk menjadikan ajaran syariat kita yang bersih itu sebagai pegangannya dan tidak boleh mana-mana tentera melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran tersebut. Hendaklah mereka menjauhi gereja dan tempat-tempat ibadat, dan jangan mengganggunya. Dan hendaklah mereka membiarkan para pendeta,orang-orang yang lemah, dan orang-orang yang tidak mampu yang tidak ikut serta dalam peperangan.”
Sumber: Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi, Sejarah Daulah Utsmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura