Pengaruh Khilafah Uthmaniyyah Terhadap Rakyat Hindia-Belanda (1882-1928) (Bahagian 1)
Oleh: Nicko Pandawa
Pada 22 Ogos 1873, Kementerian Luar Negara Belanda, yang berpusat di The Hague, telah menghantar surat pekeliling kepada konsulnya di negeri-negeri Islam, melaporkan tanda-tanda “kebangkitan agama dan politik” di kalangan umat Islam. (1)
Wajar jika pemerintah Belanda berasa terancam dan berwaspada. Ketika itu kekuasaan yang dianggap paling tinggi di seluruh Dunia Islam, Khilafah Uthmaniyyah, sedang melancarkan politik Pan-Islamisme, baik untuk Muslim yang ada dalam pemerintahannya mahupun yang berada di bawah penjajahan Eropah.
Dalam konteks kekuasaan atas tanah jajahan, Belanda begitu khuatir dengan gencarnya arus Pan-Islamisme yang melanda rakyat Hindia-Belanda. Kekhuatiran itu sangat dirasakan tatkala Belanda mengesan pengaruh Pan-Islamisme Khilafah Uthmaniyyah secara langsung. Apatah lagi semenjak Khilafah Uthmaniyyah menempatkan konsul-konsulnya di Batavia dari tahun 1882 sehingga 1924. Belanda amat keberatan dengan pembukaan konsulat Khilafah di wilayah jajahan mereka. Mereka khuatir para konsul Uthmaniyyah (Osmanl1 _ehbenderleri) akan membangkitkan “fanatisme yang penuh dendam dan mudah terbakar” di kalangan penduduk terjajah. (2)
‘Fanatisme Islam’ yang dimaksudkan oleh Belanda itu, kesannya akan melemahkan kekuasaan mereka di tanah Hindia-Belanda. Mana ada penguasa yang ingin kekuasaan yang sedang dia nikmati itu tumbang?
Christiaan Snouck Hurgronje (1857-1936) mendedahkan potensi Pan-Islamisme untuk menumbangkan kekuasaan Belanda, walaupun Pan-Islamisme belum tersusun rapi, di negeri-negeri Islam, di bawah kekuasaan Eropah, dia sering menghalang perkembangan hubungan persahahabatan di antara si penjajah dan yang dijajah. Bergantung pada rasa tidak puas hati yang sedia ada di semua bidang, dia secara senyap bertindak sebagai unsur pengganggu, tanpa adanya harapan bahawa perpecahan yang ditimbulkan atau diperbesarkan, dapat menghasilkan peningkatan bagi mereka. (3)
Kesan Pan-Islamisme Khilafah Uthmaniyyah kepada Muslim di Hindia-Belanda benar-benar menggerakkan emosi dan fikiran mereka untuk melawan kekuasaan penjajah. Contohnya, tatkala Basiret, surat kabar yang diterbitkan di Istanbul, menulis sebuah artikel bertarikh 9 Julai 1873, melaporkan bahawa Khilafah akan menghantar lapan kapal perang ke Sumatra. Berita ini dikutip oleh Reuters, sebuah agensi berita British, dan informasinya sampai ke Penang. Walaupun berita tersebut di kemudian hari tidak dapat dibuktikan kebenarannya, seorang warga Aceh yang kebetulan berada di Penang terlanjur menyampaikan berita itu kepada orang ramai, menyebabkan kekecohan di seluruh Nanggroe. (4)
Pengaruh Khilafah Uthmaniyyah di Aceh ketika perang melawan Belanda (1873-1903) begitu kuat. Ini sebagaimana perkataan orang-orang Aceh kepada seorang pedagang Perancis pada tahun 1875, bahawa banyak pemimpin mereka telah memutuskan untuk tidak pernah berhenti berperang sampai Khalifah sendiri turun tangan untuk menyelesaikan perang tersebut. (5)
Sentimen keterikatan dan harapan akan bantuan daripada Khilafah Uthmaniyyah bahkan meluas hampir ke seluruh kawasan di Hindia Timur. Demikian sebagaimana yang dipaparkan oleh Göksoy:
“Bukan sahaja orang Aceh tetapi kebanyakan orang di rantau ini percaya bahawa Empayar Uthmaniyyah mungkin campur tangan. Apabila Snouck Hurgronje, Penasihat Hal Ehwal Peribumi kepada kerajaan penjajah, diarahkan untuk menyiasat akibat perang di Jawa dan Singapura, dia mendapati ramai pemimpin agama dan sekular di Jawa Barat sangat bersimpati dengan Aceh. Walaupun dia sendiri tidak mempertimbangkan campur tangan Empayar Uthmaniyyah secara serius, dia mendapati kepercayaan yang meluas di Jawa serta Singapura bahawa Empayar Uthmaniyyah mempunyai hak dan kekuatan untuk campur tangan jika dikehendaki, memandangkan Aceh berada di bawah perlindungannya.” (6)
Terlepas dari semua euphoria tersebut, pada akhirnya, sebagaimana sindiran Jan Schimdt, apa yang dilakukan Pan-Islamisme Khilafah Uthmaniyyah di Hindia-Belanda? Selain secara umum membantu membangkitkan perasaan keislaman yang begitu luas sebelum berkembangnya gerakan nasionalisme, sangat sedikit tindakan sebenar yang telah Khilafah Uthmaniyyah lakukan di Hindia-Belanda. Tidak ada kapal perang Khilafah Uthmaniyyah yang pernah sampai di pantai Aceh ketika berkecamuk perang dari 1873 sampai 1903. Ketika ada warganegara Belanda yang tinggal di wilayah Uthmaniyyah, mereka tidak pernah terkena boikot. Ini difahami kerana, selain daripada kelemahan Khilafah Uthmaniyyah sejak abad ke-19, dasar luarnya juga mula terhad sejak Khilafah Uthmaniyyah meninggalkan Islam sebagai asas hubungan antarabangsa. Sebagai gantinya mereka menerima pakai beberapa undang-undang Eropah dalam rangka hubungan antarabangsa pada tahun 1856.(7) Ini bermakna Khilafah Uthmaniyyah tidak boleh campur tangan dengan begitu bebas dalam urusan Hindia Timur, yang dikawal oleh kerajaan penjajah Belanda.
Ironinya lagi, yang pada akhirnya meruntuhkan dominasi penjajahan atas kaum Muslim di Hindia-Belanda bukanlah – setidaknya, bukan yang utama – semangat persatuan Islam yang diilhamkan daripada gagasan Khilafah Utsmaniyyah, melainkan satu gagasan yang justeru lahir daripada rahim Barat, apa lagi kalau bukan nasionalisme. (8)
Sedangkan pada tahun 1924, justeru nasionalismelah yang telah berperanan besar dalam proses kehancuran Khilafah Utsmaniyyah, sekaligus melenyapkan institusi Khilafah yang sudah berjalan sejak masa Khalifah Abu Bakar dan Al-Khulafâ’ ar-Rasyidun setelahnya di abad ke-7.
Catatan kaki:
- Anthony Reid, “Pan-Islamisme Abad Kesembilan Belas di Indonesia dan Malaysia”, dalam Nico J.G. Kaptein, ed., Kekacauan dan Kerusuhan: Tiga Tulisan Tentang Pan-Islamisme di Hindia-Belanda Timur pada Akhir Abad Kesembilan Belas dan Awal Abad Kedua Puluh, Penerjemah Lilian D. Tedjasudhana (Jakarta: INIS, 2003), 17.
- Van de Putte kepada Cremers, 4 Januari 1866; Read kepada Cremers, 31 Juli 1865. Dikutip dari Anthony Reid, “The Ottomans in Southeast Asia”, ARI Working Series, No. 36: 11.
- Snouck Hurgronje, Kumpulan Karangan Snouck Hurgronje, (Jakarta: INIS, 1996), 6:72-73.
- 0smail Hakk1 Göksoy, “Ottoman-Aceh Relations as Documented in Turkish Sources”, dalam R. Feener, dkk., ed., Mapping The Acehnese Past, (Leiden: KITLV Press, 2011), 87.
- Anthony Reid, “Pan-Islamisme Abad Kesembilan Belas di Indonesia dan Malaysia”, dalam Nico J.G. Kaptein, ed., Kekacauan dan Kerusuhan, 18.
- 0smail Hakk1 Göksoy, “Acehnese Appeals for Ottoman Protection in the Late Nineteenth Century”, dalam A.C.S. Peacock dan Annabel Teh Gallop, ed., From Anatolia to Aceh, 177.
- Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Penerjemah Abu Faiz (Yogyakarta: Penerbit Quwwah, Februari 2017), 67.
- Jan Schimdt, “Pan-Islamisme di Antara Porte, Den Haag, dan Buitenzorg”, dalam Nico J.G. Kaptein, ed., Kekacauan dan Kerusuhan, 163-164.
Sumber: Alwaie
#Uthmaniyyah #Khilafah #jejakkhilafah #islamdinusantara