[Tafsir Al-Quran] Seruan kepada Rasulullah SAW pada Permulaan Kenabian [Tafsir Surah Al-Muddaththir (74): 1-7] – Bahagian 2/3
Oleh: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Allah SWT berfirman,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُدَّثِّرُ ١ قُمۡ فَأَنذِرۡ ٢ وَرَبَّكَ فَكَبِّرۡ ٣ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرۡ ٤ وَٱلرُّجۡزَ فَٱهۡجُرۡ ٥ وَلَا تَمۡنُن تَسۡتَكۡثِرُ ٦ وَلِرَبِّكَ فَٱصۡبِر ٧
“Wahai orang yang berselimut, bangunlah! Kemudian berilah peringatan! Tuhanmu, agungkanlah! Pakaianmu, bersihkanlah! Perbuatan dosa, tinggalkanlah! Janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak! Untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah!” [TMQ Al-Muddaththir (74): 1-7]
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman: (وَثِيَابَكَ فَطَهِّرۡ ) (Pakaianmu, bersihkanlah). Kata thiyâb ialah bentuk jamak daripada perkataan as-thawb (pakaian). Dari segi bahasa, perkataan ini bermaksud sesuatu yang digunakan, dipakai. [1]
Thahhir ialah fi’l al-amr daripada perkataan thahhara yang bermaksud membersihkan dan mensterilkan daripada najis, cacat, dan seumpamanya. [2] Menurut Ibnu Asyur, makna hakiki at-tathhîr (penyucian) ialah membersihkan dan menghilankgan najis. [3]
Makna hakiki ini juga disampaikan oleh ahli-ahli tafsir dalam menafsir ayat ini. Menurut Ibnu Zaid, dahulu orang-orang musyrik tidak pernah bersuci. Kemudian Allah SWT memerintahkannya untuk bersuci dan membersihkan pakaiannya. [4] Ibnu Sirrin juga berkata tentang ayat ini, “Basuhlah pakaianmu dengan air!” [5]
Menurut Ibnu Jarir, pendapat Ibnu Sirrin dan Ibnu Zaid ini lebih jelas maknanya. [6]As-Syaukani juga memilih tafsiran ini. Menurutnya, yang dimaksudkan dengan as-thiyâb di sini ialah pakaian yang dipakai. Dengan begitu, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW untuk menyucikan pakaian dan menjaganya daripada najis serta menghilangkan najis yang mengenainya [7]
Jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya yang menyuruh mengagungkan Allah SWT yang salah satu bentuknya ialah mengucapkan kalimah takbir, sedangkan takbir adalah pembuka solat, maka perintah menyucikan pakaian dalam ayat ini sangat relevan kerana salah satu syarat yang mesti dipenuhi sebelum solat adalah suci dari najis dan hadas. Menurut As-Syaukani, ayat ini menjadi dalil kewajipan menyucikan pakaian dalam solat. [8]
Menurut Ibnu ‘Asyur, penyebutan takbir adalah isyarat tentang pensyariatan solat yang pembukanya ialah takbir. Kemudian diiringi dengan perintah menyucikan pakaian dalam ayat ini. Ini adalah isyarat pensyariatan taharah atau bersuci.
Boleh jadi ini adalah isyarat bagi pensyariatan solat. Seperti yang dinyatakan dalam riwayat Ma’mar dari Az-Zuhri, ia berlaku sebelum solat difardhukan [HR Muslim].
Justeru, melalui ayat ini Allah SWT memfardhukan solat kepadanya yang bukan solat lima waktu. Hal ini telah disebut dalam riwayat bahawa baginda menunaikan solat di Masjidil Haram. [9]
Selain mempunyai makna hakiki, dua perkataan tersebut, iaitu as-thiyâb (pakaian) dan at-that-hîr (pensucian) juga mengandungi makna majâz atau kinâyah. Kata at-that-hîr (penyucian) secara majâzi boleh bermakna اَلتَّزْكِيَةُ (penyucian) (Lihat: Surah Al-Ahzab [33]: 33). [10]
Perkataan as-thiyâb juga mengandungi beberapa makna secara majâz. Thahhir di sini ialah perintah membersihkan dan menyucikan. Oleh itu, sebahagian ulama juga mentafsirkan dua perkataan tersebut, iaitu as-thiyâb (pakaian) dan at-tahthîr (penyucian) dengan makna majâzi (bukan makna sebenarnya), baik kedua-duanya atau salah satunya.
Ada yang mentafsirkan pakaian tersebut sebagai amal perbuatan, sedangkan menyucikan adalah dengan menjauhi perbuatan maksiat dan haram. Mujahid dan Ibnu Zaid berkata, “Amalmu, perbaikilah.” [11]
Penjelasan yang sama turut dikemukakan oleh Abu Rizin. Beliau juga menambah, jika sesorang itu terbiasa melakukan perbuatan buruk, dia akan dikatakan pakaian yang kotor.
Jika sudah terbiasa melakukan perbuatan yang baik maka dikatakan pakaian yang bersih. Makna yang serupa juga disampaikan oleh As-Suddi. [12]
Sebahagian yang lain mentafsirkan as-thiyab dengan khuluq (akhlak, budi pekerti). Antara yang berpendapat demikian ialah Muhammad bin Ka’b al-Qurazhi dan Al-Hasan al-Basri.
Mereka berkata, “Akhlakmu, perbaikilah!” Sebabnya ialah akhlak manusia meliputi semua keadaannya, sebagaimana pakaiannya yang juga melitupi dirinya. [13]
Ada juga yang memaknakan as-thiyâb (pakaian) dengan makna hakiki, tetapi perkataan at-tath-hîr (penyucian) diertikan sebagai majâzi. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ikrimah dan Ad-Dahhak yang berkata, “Janganlah kamu memakainya untuk melakukan maksiat.”
Diriwayatkan oleh Al-Ajlah al-Kindi, Ibnu Abbas RA pernah didatangi oleh seorang lelaki yang bertanya tentang makna ayat ini, kemudian dijawab, “Janganlah kamu memakainya untuk perbuatan maksiat dan khianat.” [14]
Ibnu Abbas dalam riwayat lain mengatakan maksud ayat ini ialah, “Janganlah kamu memakai pakaian melainkan dari pendapatan yang halal supaya kamu dapat menyucikan daripada yang haram.”
Ibnu Abbas juga berkata, “Janganlah pakaian yang kamu pakai itu datang dari pendapatan yang tidak suci.” [15]
Dikatakan juga, “Janganlah kamu memakai pakaianmu untuk melakukan maksiat.” [16]
Ada juga yang mengambil semua tafsiran tersebut seperti Wahbah az-Zuhaili. Menurutnya, ayat ini menyuruh menyucikan pakaian daripada najis kerana bersuci adalah wajib dalam solat dan sunat dalam perkara lain. Caranya ialah dengan mencuci dan menjaganya daripada najis. Ia juga boleh bermaksud, “Bersihkanlah dirimu daripada perbuatan-perbuatan dan akhlak yang tercela.” [17]
Menurutnya, kedua-dua makna itu benar kerana sebenarnya kesucian pancaindera atau kebersihan biasanya beriringan dengan kesucian maknawi, iaitu steril dan jauh daripada maksiat. Begitu juga sebaliknya kerana adanya kotoran beriringan dengan banyaknya dosa.” [18]
Perkataan thiyâbaka (pakaianmu) didahulukan daripada perkataan thahhir (sucikanlah) yang berguna li al-ihtimâm (untuk menunjukkan kepentingan) dalam perintah bersuci. [19]
Kemudian Allah SWT berfirman: وَٱلرُّجۡزَ فَٱهۡجُرۡ (Perbuatan dosa, tinggalkanlah). Dari segi bahasa, perkataan al-hajr bermaksud at-tark (meninggalkan). [20] Yang diperintahkan untuk ditinggalkan dan berpaling daripadanya ialah ar-rujz.
Sebahagian ulama membacanya dengan meng-kasrah-kan huruf ar-râ‘ (ar-rijz). Sebahagian yang lain membacanya dengan men-dhammah-kannya (ar-rujz). Kedua-duanya mempunyai makna yang sama. [21]
Menurut Abu Ishaq, kedua-dua perkataan tersebut bermakna perbuatan yang membawa kepada azab. [22]Menurut Mahmud Shafi, makna hakiki perkataan ar-rujz ialah al-’azâb as-syadîd (azab yang sangat pedih). Namun menurutnya, ayat ini bermakna penyembahan kepada berhala.
Perbuatan tersebut diungkapkan dengan perkataan ar-rujza yang bermakna azab yang sangat pedih kerana azab tersebut berpunca daripada penyembahan berhala. Hubungan majaz tersebut ialah al-musababiyyah (akibat yang ditimbulkan). [22]
Tafsiran ini juga disampaikakan oleh ramai ahli tafsir. Menurut Ibnu Abbas RA, ar-rujz ialah al-ashnâm (patung-patung). Justeru, makna ayat ini ialah, “Tinggalkanlah patung-patung itu.” [24]
Hal yang sama telah dinyatakan oleh Mujahid, Ikrimah, Qatadah, Az-Zuhri, dan Ibnu Zaid. Mereka memaknakannya sebagai al-ashnâm (berhala-berhala). [25]
Dalil untuk tafsiran ini adalah firmanNya,
فَٱجۡتَنِبُواْ ٱلرِّجۡسَ مِنَ ٱلۡأَوۡثَٰنِ ٣٠
”Jauhilah oleh kamu berhala-berhala yang najis itu.” [TMQ Al-Hajj (22): 30]. [26]
Menurut Al-Khazin, ayat ini bermakna, “Tinggalkanlah berhala-berhala itu dan janganlah kamu mendekatinya.” [27]
Abu Bakar al-Jazairi juga berkata, “Patung-patung yang disembah oleh kaummu itu jauhilah dan janganlah kamu mendekatinya. Jauhilah terus dan pertahankanlah sikapmu ini dalam dakwahmu.” [28]
Menurut sebahagian yang lain, ar-rujz bukan saja berhala, tetapi juga merangkumi segala bentuk maksiat dan perbuatan buruk yang lain. Fakhruddin memetik penjelasan Al-‘Utbi yang mengatakan bahawa makna ar-rujza adalah azab. Hal ini sebagaimana dalam firmanNya,
لَئِن كَشَفۡتَ عَنَّا ٱلرِّجۡزَ لَنُؤۡمِنَنَّ لَكَ
”Sesungguhnya jika engkau dapat menghilangkan azab itu daripada kami, nescaya kami akan beriman kepadamu.” [TMQ Al-A’raf (7): 134]
Makna ar-rijza di sini ialah azab. Tipu daya syaitan juga disebut rijz kerana ia menjadi sebab bagi azab. Begitu juga berhala disebut atas sebab yang sama. Atas dasar itu, ayat ini menunjukkan kewajipan menjauhi segala maksiat. [29]
Penjelasan ini turut dikemukakan oleh Az-Zamakhsyari. Menurutnya, ar-rujz, sama ada dibaca kasrah atau dhammah, bermakna azab. Makna ayat ini ialah, “Tinggalkanlah segala yang membawa kepada azab, sama ada penyembahan berhala atau dosa-dosa yang lain.” Maksudnya, “Keteguhan dalam meninggalkannya, kerana dia berlepas diri daripadanya.” [30]
Begitu juga Al-Baidhawi, menurutnya, makna ayat ini ialah, “Oleh itu, tinggalkanlah azab dengan sikap yang teguh meninggalkan segala yang membawa kepada azab, sama ada syirik atau keburukan yang lain.” [31]
Az-Zuhaili berkata, “Tinggalkanlah patung dan berhala. Janganlah kamu menyembahnya kerana ia adalah penyebab azab. Juga tinggalkan segala sebab dan maksiat yang membawa kepada azab di dunia dan akhirat.” [32]
Ada juga yang mentafsirkannya sebagai perbuatan maksiat dan dosa. Ibrahim berkata, “Itu adalah al-ithm (dosa).”
Ad-Dahhak berkata, “Tinggalkanlah perbuatan maksiat!” [33]
Ibnu Jarir At-Thabari membezakan antara huruf al-tâ‘yang di-kasrah-kan dan yang di-dhammah-kan. Bagi yang men-dhammah-kan huruf al-tâ‘, maknanya ialah al-awthân (patung-patung, berhala-berhala). Maka, makna ayat ini ialah, “Tinggalkanlah menyembah patung-patung itu dan janganlah kamu taat setia kepadanya.”
Bagi yang meng-kasrah-kannya, maknanya ialah al-‘azâb (siksaan). Maka, maknanya ialah “Jauhilah perbuatan yang menyebabkan kamu mendapat azab.” [34]
Menurut pendapat yang lain, perkataan ar-rujz adalah perkataan untuk menunjukkan al-qabîh al-muqtazir (sesuatu yang buruk dan kotor). Maka firmanNya, “Wa ar-rujz fa[u]hjur” adalah perintah yang menghimpunkan semua akhlak yang mulia.
Seolah-olah dikatakan kepadanya, “Tinggalkanlah perangai yang kasar, keji, dan semua perkara yang buruk. Jangan pula berperangai seperti perangai orang-orang musyrik yang buruk itu.”
Perintah ini relevan dengan takwil orang yang mentafsirkan firmanNya, “Wa thiyâbaka fathahhir“ untuk memperbaiki akhlak dan membersihkan jiwa dari kemaksiatan dan keburukan. [35]
Semua tafsiran itu masih dalam skop makna bahasa. Menurut Ibnu Manzhur, ar-rijz bermakna al-qazar (kekotoran, kenajisan), sebagaimana perkataan ar-rijz (kekotoran, kekejian) juga boleh bermakna al-azâb (azab, seksaan). Perkataan ar-rijz dan ar-rujz bermakna penyembahan berhala. [36]
Menurut Abdurrahman as-Sa’di, makna ar-rujz di sini boleh jadi ialah patung-patung dan berhala-berhala yang disembah selain Allah SWT. Kemudian Allah SWT memerintahkannya untuk meninggalkan dan berlepas diri daripadanya dan segala yang dinisbahkan kepada patung dan berhala itu, sama ada berupa perkataan mahupun perbuatan.
Boleh jadi juga yang dimaksudkan dengan ar-rujz tersebut ialah semua perbuatan dan perkataan yang buruk. Maka, ia adalah perintah kepada Rasulullah SAW untuk meninggalkan segala dosa, yang kecil mahupun yang besar, yang kelihatan mahupun yang tidak, termasuk syirik dan dosa-dosa lainnya. [37]
Perlu diingat, larangan ke atas Nabi SAW terhadap perbuatan tersebut bukan bermakna bagind telah melakukannya. Perintah itu bermula dari bagindakerana baginda adalah teladan dan supaya terus-menerus menjauhi maksiat. Itu sebagaimana yang dinyatakan dalam firmanNya,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ ٱتَّقِ ٱللَّهَ وَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَٱلۡمُنَٰفِقِينَۚ ١
”Wahai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik.” [TMQ Al-Ahzab (33): 1].
Juga dalam firmanNya,
وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَٰرُونَ ٱخۡلُفۡنِي فِي قَوۡمِي وَأَصۡلِحۡ وَلَا تَتَّبِعۡ سَبِيلَ ٱلۡمُفۡسِدِينَ
”Telah berkata Musa kepada saudaranya Harun, ’Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku, dan perbaikilah, dan janganlah engkau mengikuti jalan orang-orang yang membuat kerosakan.’” [TMQ Al-A’raf (7): 142]. [38]
Larangan kepada Nabi SAW supaya tidak taat kepada orang-orang kafir dan munafik tidak bermakna baginda pernah melakukannya. Begitu juga larangan Musa AS kepada Harun AS supaya tidak mengikuti jalan orang yang membuat kerosakan tidak bermakna perbuatan itu pernah dilakukannya.
Menurut Fakhruddin ar-Razi, maksud perintah tersebut ialah perintah untuk terus-menerus meninggalkan (berhala dan perbuatan buruk tersebut).
Ia seperti seorang muslim yang berdoa, “Tunjukkanlah kami.” Ia tidak bermaksud, “Sesungguhnya kami tidak berada di atas petunjuk, maka tunjukkanlah kami.” Namun, maksudnya, “Teguhkanlah kami untuk berada di atas petunjuk.”
Begitu juga dengan maksud ayat ini. [39]
*Bersambung di bahagian 3/3
Nota kaki:
1 Majma’ al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Qahirah, Al-Mu’jam al-Wasîth, vol. 1 (Kaherah: Dar al-Da’wah, tt), 125
2 Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’ashirah, vol. 2, 1417
3 Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 297
4 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 12; Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 262; Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 65
5 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 12
6 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 12
7 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 388-389. Tafsiran yang sama juga dikemukakan oleh Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5, 463
8 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 389
9 Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 296
10 Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 297
11 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 61. Lihat juga Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 263
12 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 62. Lihat juga At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 12; Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol. 10, 326; Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl fî Tafsîr Al-Qur‘ân, vol. 5, 174
13 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 64
14 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 263; Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl fî Tafsîr Al-Qur‘ân, vol. 5, 174
15 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 65. Lihat juga Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 263
16 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 263
17 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 29, 219
18 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 29, 220
19 Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 298
20 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 389
21 Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl fî Tafsîr Al-Qur‘ân, vol. 5, 174; Muhyiddin Darwisy, I’râb al-Qur‘ân wa Bayânuhu, vol. 10 (Damsyiq: Dar Ibn Kathir, 1995), 273
22 Ibnu Manzhur, Lisân al-‘Arab, vol. 4 (Beirut: Dar Shadir, tt), 348
23 Mahmud Shafi, Al-Jadwâl fî al-I’râb, vol. 29 (Damsyiq: Dar ar-Rasyid, 1998), 149
24 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân Al-‘Azhîm, vol. 8, 264
25 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 13. Lihat juga Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 264; Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 66; Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl fî Tafsîr Al-Qur‘ân, vol. 5, 174
26 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 65
27 Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tan‘zîl, vol. 4, 362
28 Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5, 463
29 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 699
30 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4, 645
31 Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta‘wîl, vol. 5 (Beirut: Dar Ihya‘ at-Turath al-‘Arabi, 1998) , 259
32 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 29, 220
33 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 13. Lihat juga Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 264
34 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 12
35 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 699-670
36 Ibnu Manzhur, Lisân al-‘Arab, vol. 4 (Beirut: Dar Shadir, tt), 348
37 al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân, 895
38 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 29, 220. Lihat juga Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 264; Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 65
39 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 700