Ketika Neraka Sudah Penuh (Tafsir Surah Qaf, Ayat 30)
Oleh: Ust. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
يَوۡمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ ٱمۡتَلَأۡتِ وَتَقُولُ هَلۡ مِن مَّزِيدٖ ٣٠
“Dan (ingatlah) hari ketika Kami bertanya kepada Jahannam: ‘Adakah engkau sudah penuh?’ Ia menjawab: ‘Adakah lagi tambahan?’” [TMQ Qaf (50): 30]
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman:
يَوۡمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ ٱمۡتَلَأۡتِ ٣٠
“(Ingatlah) hari ketika Kami bertanya kepada Jahannam: ‘Adakah engkau sudah penuh?’”
Perkataan «يَوْمَ» (hari) yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Hari Kiamat. Hal ini kerana firmanNya: «يَوْمَ نَقُولُ» (hari ketika Kami bertanya) berkait dengan ayat sebelumnya, iaitu firmanNya: «وَمَا أَنَا بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ» “Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.” [TMQ Qaf (50): 29][1]
Ada pendapat lain yang menyatakan bahawa lafaz «يَوْمَ» itu dalam keadaan mansub dan berhubung dengan ayat sebelumnya: «مَا يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَيَّ يَوْمَ نَقُولُ» Maksudnya: “Tidak ada perubahan pada ketetapan Allah pada hari (ketika Allah bertanya itu).”[2]
Ada juga yang berpendapat bahawa lafaz «يَوْمَ» itu menjadi mansub kerana dikaitkan dengan fi‘l (kata kerja) yang dianggarkan seperti berikut: «وَأَنْذِرْهُمْ (يَوْمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امْتَلَأْتِ)» Maksudnya: “Berilah mereka peringatan tentang hari ketika Kami bertanya kepada Jahannam: ‘Adakah engkau sudah penuh?’” Hal ini kerana sebelumnya Allah telah berjanji kepada neraka Jahannam bahawa Dia akan memenuhkannya.[3]
Pemahaman ini turut dikemukakan oleh Abu Bakar al-Jazairi. Beliau menjelaskan bahawa maksud potongan ayat ini ialah: “Peringatkanlah, wahai Nabi Kami, kepada kaummu yang terus berada dalam kesyirikan dan kemaksiatan, bahawa azab Neraka Jahanam sedang menanti orang-orang seperti mereka. Peringatkan juga mereka tentang hari ketika Kami akan bertanya kepada Jahannam: ‘Adakah engkau sudah penuh?’”[4]
Menurut Fakhruddin ar-Razi, bentuk pertanyaan (istifham) dalam firmanNya: «هَلِ امْتَلَأْتِ» (Adakah engkau sudah penuh?) adalah sebagai penjelasan dan pembuktian terhadap firman Allah: «لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ» “Sesungguhnya Aku benar-benar akan memenuhi Neraka Jahanam (dengan jin dan manusia).” [TMQ Surah Hud (11): 119]
Begitu juga Al-Qurthubi menyatakan bahawa ayat ini merupakan pembenaran terhadap khabar yang Allah sampaikan, penegasan terhadap janjiNya, teguran kepada musuh-musuhNya, serta peringatan kepada seluruh hambaNya.[5]
Janji Allah SWT untuk memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia disebut dalam beberapa ayat, antaranya firmanNya:
وَتَمَّتۡ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ١١٩
“Dan telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (ketetapanNya): Sesungguhnya Aku benar-benar akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya.” [TMQ Hud (11): 119]
Demikian juga firmanNya:
وَلَٰكِنۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ مِنِّي لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ١٣
“Akan tetapi telah tetaplah ketetapanKu: Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia bersama-sama.” [TMQ as-Sajdah (32): 13]
Dan firmanNya lagi:
لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكَ وَمِمَّن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٨٥
“Sesungguhnya Aku benar-benar akan memenuhi Neraka Jahanam dengan kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu dalam kalangan mereka semuanya.” [TMQ Sad (38): 84–85]
Oleh itu, pertanyaan Allah SWT kepada Neraka Jahanam tersebut merupakan pembenaran dan penegasan bahawa Allah SWT benar-benar telah menunaikan janjiNya.
Setelah menerima pertanyaan itu, Neraka Jahanam memberikan jawapannya sebagaimana disebut dalam sambungan ayat:
وَتَقُولُ هَلۡ مِن مَّزِيدٖ ٣٠
“Ia menjawab: ‘Adakah lagi tambahan?’” [TMQ Qaf (50): 30]
Ini merupakan jawapan Neraka Jahanam terhadap pertanyaan Tuhannya. Jawapan tersebut datang dalam bentuk istifham (pertanyaan): «هَلْ مِنْ مَزِيدٍ» (Adakah lagi tambahan?).
Menurut ramai mufassir, bentuk istifham dalam jawapan neraka itu membuka ruang kepada dua kemungkinan tafsiran.
Tafsiran Pertama: Makna Pengingkaran (Istifham Inkari)
Sebahagian ulama mentafsirkannya sebagai bermakna penafian atau pengingkaran. Maksudnya: “Tidak ada lagi ruang yang berbaki untuk ditambah.” Ungkapan ini menyerupai sabda Rasulullah SAW:
»هَلْ تَرَكَ لَنَا عَقِيلٌ مَنْزِلاً«
“Adakah ‘Aqil meninggalkan untuk kita suatu tempat tinggal?” [HR Ahmad ibn Hanbal dan Al-Tirmidzi]
Maksudnya: «هَلْ تَرَكَ» ialah “dia tidak meninggalkan.” Dengan demikian, ungkapan Neraka Jahanam itu membawa makna al-jahd (pengingkaran).[6]
Kedua, ia boleh bermakna «الِاسْتِزَادَة» (meminta tambahan). Ertinya, Neraka Jahanam bertanya kepada Allah SWT: “Adakah lagi tambahan penghuni? Jika ada, maka tambahkanlah.”[7]
Maksudnya, setelah Jahanam dipenuhi, ia tetap menginginkan tambahan lagi sebagai manifestasi kemurkaan terhadap para pelaku maksiat dan supaya dapat menghimpit mereka di dalamnya. Menurut Al-Qurthubi, kedua-dua makna ini boleh difahami daripada ayat tersebut.[8]
Menurut Muhammad al-Qinuji, perkataan «الْمَزِيدُ» boleh merupakan masdar (kata terbitan yang bermaksud “tambahan”), seperti perkataan «الْمَجِيدِ» (kemuliaan). Maka maknanya ialah: «هَلْ مِنْ زِيَادَةٍ» (adakah lagi tambahan?).
Ia juga boleh menjadi ism al-maf‘ul (kata nama objek), yang bermaksud (yang ditambahkan), seperti perkataan «الْمَبِيعَ» (yang dijual). Maka maknanya: «هَلْ مِنْ شَيْءٍ تَزِيدُنِيهِ» (adakah sesuatu yang Engkau tambahkan kepadaku?).[9]
Para mufassir berbeza pendapat tentang makna yang lebih tepat bagi ayat tersebut. Ada yang memilih pendapat pertama, seperti Al-Khazin. Menurut beliau, pertanyaan Allah SWT itu bertujuan membenarkan khabarNya dan merealisasikan janjiNya. Adapun jawapan Neraka Jahanam, “Adakah lagi tambahan?” bermaksud: “Aku benar-benar telah penuh. Tiada lagi ruang yang berbaki.” Ini adalah bentuk istifham inkari (pertanyaan yang bermakna pengingkaran).[10]
Menurut Ibnu Athiyyah, pendapat ini juga dipegang oleh Al-Hasan, Amr dan Wasil. Mereka menyatakan bahawa ayat ini membawa makna al-taqrir wa nafiy al-mazid (membenarkan dan menafikan tambahan). Ertinya: “Adakah aku masih mempunyai ruang untuk ditambah sesuatu?”[11]
Al-Samarqandi juga menyatakan bahawa neraka itu berkata, “Sesungguhnya aku telah penuh sehingga tidak dapat ditambah lagi.”[12]
Pendapat yang sama turut dikemukakan oleh Atha’, Mujahid dan Muqatil bin Sulaiman.[13]
Sebahagian ulama lain pula memilih pendapat kedua, iaitu bahawa Jahanam masih meminta tambahan penghuni daripada Allah SWT. Antara yang berpendapat demikian ialah Ibnu Abbas sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hatim. Ibnu Abbas menyatakan bahawa Neraka Jahanam masih belum merasa penuh, lalu berkata, “Masih adakah sesuatu yang akan ditambahkan kepadaku?”
Abdurrahman al-Sa’di juga menjelaskan bahawa neraka terus-menerus meminta agar ditambah lagi daripada kalangan orang-orang berdosa dan derhaka, sebagai manifestasi kemurkaan terhadap mereka dan kebencian terhadap orang-orang kafir. Sesungguhnya Allah SWT telah berjanji kepada Jahanam untuk memenuhinya sebagaimana disebut dalam ayat lain (Surah Hud: 119), sehingga Tuhan Yang Maha Perkasa meletakkan kakiNya yang Maha Mulia, Maha Suci daripada sebarang penyerupaan, lalu setiap penjuru neraka saling menghimpit. Ketika itu Neraka Jahanam berkata, “Cukup, cukup. Aku telah cukup dan penuh.”[14]
Menurut Abu Bakar al-Jazairi, jawapan Neraka Jahanam, “Masih adakah tambahan?” diucapkan setelah semua orang kafir, lelaki dan perempuan, daripada kalangan jin dan manusia dimasukkan ke dalamnya. Namun begitu, Neraka Jahanam masih meminta tambahan dengan berkata, “Masih adakah tambahan?” Apabila tiada lagi seorang pun yang berbaki untuk dimasukkan, maka Tuhan Yang Maha Perkasa meletakkan kakiNya ke dalam neraka. Lalu bahagian-bahagiannya saling menguncup dan ia berkata, “Cukup, cukup.” Menurut al-Jazairi, hal ini sebagaimana disebut dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim ibn al-Hajjaj serta selainnya.[15]
Ibn Jarir al-Tabari pula lebih memilih pendapat kedua, iaitu bahawa Neraka Jahanam meminta tambahan penghuni. Maksudnya, Jahanam bertanya kepada Allah, “Adakah lagi tambahan penghuni yang boleh dimasukkan?”[16]
Menurut al-Tabari, pendapat ini lebih bertepatan dengan riwayat daripada Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا كانَ يَوْمُ القِيامَةِ، لَمْ يَظْلِمِ اللهُ أحَدًا مِنْ خَلْقِهِ شَيْئا، وَيُلْقِي فِي النَّارِ، تَقُولُ هَلْ مِنْ مَزِيدٍ، حتى يَضَعَ عَلَيْها قَدَمَهُ، فَهنالكَ يَمْلأها، وَيُزْوَى بَعْضُها إلى بَعْضٍ وَتَقُولُ: قَطْ قَطْ»
“Apabila tiba Hari Kiamat, Allah tidak menzalimi seorang pun daripada makhlukNya walau sedikit. Dia memasukkan para penghuni ke dalam neraka, lalu neraka berkata, ‘Adakah lagi tambahan?’ Sehinggalah Allah meletakkan kakiNya ke atasnya. Ketika itu neraka pun menjadi penuh, dan sebahagiannya berhimpit dengan sebahagian yang lain, lalu ia berkata: ‘Cukup, cukup!’”
Daripada Anas ibnu Malik RA, Nabi SAW juga bersabda:
»يُلْقَى فِى النَّارِ وَتَقُولُ هَلْ مِنْ مَزِيدٍ حَتَّى يَضَعَ قَدَمَهُ فَتَقُولُ قَطِ قَطِ«
“Penghuni neraka dicampakkan ke dalamnya, lalu neraka berkata: ‘Adakah lagi tambahan?’ Sehinggalah Allah SWT meletakkan kakiNya ke dalamnya, maka neraka berkata: ‘Cukup, cukup!’” [HR Al-Bukhari]
Daripada Anas ibnu Malik RA lagi, Rasulullah SAW bersabda:
»لَا تَزَالُ جَهَنَّمُ يُلْقَى فِيهَا وَتَقُولُ هَلْ مِنْ مَزِيدٍ حَتَّى يَضَعَ رَبُّ الْعِزَّةِ فِيهَا قَدَمَهُ فَيَنْزَوِى بَعْضُهَا إِلَى بَعْضٍ وَتَقُولُ قَطْ قَطْ بِعِزَّتِكَ وَكَرَمِكَ. وَلَا يَزَالُ فِى الْجَنَّةِ فَضْلٌ حَتَّى يُنْشِئَ اللهُ لَهَا خَلْقًا فَيُسْكِنَهُمْ فَضْلَ الْجَنَّةِ«
“Neraka Jahanam terus diisi, dan ia berkata: ‘Adakah lagi tambahan?’ Sehinggalah Tuhan Yang Maha Mulia meletakkan kakiNya ke dalamnya, lalu sebahagiannya berhimpit dengan sebahagian yang lain dan ia berkata: ‘Cukup, cukup! Demi keagungan dan kemuliaan-Mu.’ Dan di dalam syurga masih ada lebihan (ruang), sehingga Allah menciptakan untuknya makhluk yang lain, lalu Dia menempatkan mereka pada ruang tambahan di dalam syurga.” [HR Muslim]
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW juga bersabda:
»تَحَاجَّتِ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ فَقَالَتِ النَّارُ أُوثِرْتُ بِالْمُتَكَبِّرِينَ وَالْمُتَجَبِّرِينَ. وَقَالَتِ الْجَنَّةُ مَا لِى لَا يَدْخُلُنِى إِلَّا ضُعَفَاءُ النَّاسِ وَسَقَطُهُمْ. قَالَ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لِلْجَنَّةِ أَنْتِ رَحْمَتِى أَرْحَمُ بِكِ مَنْ أَشَاءُ مِنْ عِبَادِى. وَقَالَ لِلنَّارِ إِنَّمَا أَنْتِ عَذَابٌ أُعَذِّبُ بِكِ مَنْ أَشَاءُ مِنْ عِبَادِى. وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا مِلْؤُهَا. فَأَمَّا النَّارُ فَلَا تَمْتَلِئُ حَتَّى يَضَعَ رِجْلَهُ فَتَقُولُ قَطٍ قَطٍ قَطٍ. فَهُنَالِكَ تَمْتَلِئُ وَيُزْوَى بَعْضُهَا إِلَى بَعْضٍ، وَلَا يَظْلِمُ اللهُ مِنْ خَلْقِهِ أَحَدًا. وَأَمَّا الْجَنَّةُ فَإِنَّ اللهَ يُنْشِئُ لَهَا خَلْقًا»
“Syurga dan neraka saling berhujah. Neraka berkata: ‘Aku diperuntukkan bagi orang-orang yang sombong dan zalim.’ Syurga berkata: ‘Mengapa tiada yang memasukiku melainkan orang-orang yang lemah dan tidak dipandang?’ Allah SWT berfirman kepada syurga: ‘Engkau adalah rahmatKu. Denganmu Aku merahmati siapa yang Aku kehendaki daripada hamba-hamba-Ku.’ Dan Dia berfirman kepada neraka: ‘Engkau adalah azabKu. Denganmu Aku mengazab siapa yang Aku kehendaki daripada hamba-hamba-Ku. Bagi setiap satu daripada kamu berdua ada pemenuhannya.’ Adapun neraka, masih belum merasa penuh sehingga Allah meletakkan kakiNya ke dalamnya, lalu ia berkata: ‘Cukup, cukup, cukup!’ Ketika itu ia pun merasa penuh dan sebahagiannya berhimpit dengan sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun daripada makhlukNya. Adapun syurga, maka Allah sentiasa menciptakan makhluk lain untuknya.” [HR Al-Bukhari]
Hadis-hadis yang seperti juga diriwayatkan oleh Muslim ibn al-Hajjaj dan Ahmad ibn Hanbal.
Menurut Ibnu Jarir al-Tabari, hadis ini merupakan dalil yang sangat jelas bahawa ucapan Neraka Jahanam itu bermakna al-istizadah (meminta tambahan), bukan an-nafiy (menafikan).[18]
Namun demikian, Al-Qurthubi menyatakan bahawa kedua-dua makna tersebut tetap sesuai untuk difahami daripada jawapan neraka yang disebut dalam ayat tersebut.[19]
Demikianlah. Ayat ini memberitakan keadaan Neraka Jahanam pada hari akhirat kelak. Ia dipenuhi dengan para penghuninya. Khabar ini sudah tentu amat menggerunkan. Sewajarnya setiap orang berasa takut dan bimbang daripada memasukinya, dengan cara menjauhi segala perbuatan yang boleh membawa ke dalamnya.
Wallahu a‘lam bi al-sawab.
Nota kaki:
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 359. Lihat juga Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7 (Riyadh: Dar Thayyibah, 1999), 403
- Al-Tha’labi, al-Kasyf wa al-Bayân ‘an Tafsîr al-Qur`ân, 24 (Jeddah: Dar al-Tafsir, 2015), 475. Lihat juga al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur`ân, vol. 17 (Kaherah: Dar al-Maktabh al-Misriyyah, 1964), 18. al-Qinuji, Fat-h al-Bayân fî Maqâshid al-Qurân, vol. 13 (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, 1992), 176
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 18
- Al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, 5 (Madinah: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, 2000), 147
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 18
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 18
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 18
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 18
- Al-Qinuji, Fat-h al-Bayân fî Maqâshid al-Qurân, 13 (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, 1992), 177. Lihat juga al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Beirut: Dar Ibnu Kathir, 1994), 92
- Al-Khazin, Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânÎ al-Tanzil, 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 189
- Ibnu Athiyah, al-Muharrar al-Wajîz, 6 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2001), 165
- Al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, 3 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), 337
- Al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, 5, 92; al-Qinuji, Fat-h al-Bayân fî Maqâshid al-Qurân, vol. 13, 176
- Al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2000), 806
- Al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, 5, 147
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 361
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 361
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 363
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 18
#SurahQaf #TafsirAlQuran #Neraka #SyurgaNeraka #Pembalasan #Iman #kufur