[Tafsir] Bersabar dan Bertasbih
Penulis : Ust. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
فَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ قَبۡلَ طُلُوعِ ٱلشَّمۡسِ وَقَبۡلَ ٱلۡغُرُوبِ ٣٩ وَمِنَ ٱلَّيۡلِ فَسَبِّحۡهُ وَأَدۡبَٰرَ ٱلسُّجُودِ ٤٠
(Surah Qaf [50] : 39-40)
Ayat ini memerintahkan Rasulullah SAW supaya bersabar terhadap kata-kata orang-orang kafir dan bertasbih kepada Allah.
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman:
فَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ ٣٩
“Maka bersabarlah engkau (Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan.” [TMQ Qaf (50):39]
Khithab atau seruan dalam ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW.[1] Dhamir al-wāw (kata ganti) pada perkataan يَقُولُونَ (mereka katakan) merujuk kepada kaum musyrikin[2], juga kaum Yahudi.[3] Dengan kata lain, mereka ialah al-mukazzibīn (golongan yang mendustakan).[4] Merekalah yang disebutkan dalam ayat sebelumnya [TMQ Qaf (50): 36].[5]
Dari sudut bahasa, perkataan الصَّبْرُ (as-sabr) bermaksud: « حبس النفس على ما تكرهه، أو يشق عليها » (menahan diri daripada perkara-perkara yang dibenci atau yang dirasakan berat). Demikian penjelasan Abu al-Abbas al-Qurthubi.[6]
Menurut Ar-Raghib al-Asfahani, as-sabr ialah « الإمساك في ضيق » (menahan diri dalam keadaan sempit). Dalam ungkapan: صَبَرْتُ الدَّابَّةَ (Aku menahan haiwan tunggangan), maksudnya ialah: “aku menahannya tanpa memberinya makan.” Dalam ungkapan: صَبَرْتُ فُلَانًا (Aku menahan si Fulan), maksudnya ialah: « خلفته خلفة لا خروج له منها » (aku meninggalkannya dalam keadaan terkurung tanpa jalan keluar baginya). Oleh itu, perkataan as-sabr bererti « حبس النّفس على ما يقتضيه العقل والشرع » (menahan jiwa agar tetap berada pada apa yang dituntut oleh akal dan syariat), atau menahan jiwa daripada perkara yang dituntut oleh akal dan syariat supaya dijauhi.[7]
Berdasarkan pengertian sabar tersebut, dapat difahami bahawa kata-kata yang diucapkan oleh orang-orang kafir terhadap Rasulullah SAW ialah kata-kata yang buruk dan menyakitkan. Bukan kata-kata yang baik dan benar yang disukai, tidak dibenci, dan tidak menyakitkan. Demikianlah penjelasan para mufasir mengenai ayat ini.
Menurut al-Baidhawi, perkara yang diperkatakan oleh kaum musyrikin ialah pengingkaran mereka terhadap Hari Kebangkitan. Hal ini kerana sesungguhnya Allah Yang Maha Berkuasa, yang menciptakan alam semesta tanpa mengalami sebarang keletihan, juga Maha Berkuasa untuk membangkitkan mereka semula serta membalas segala amalan mereka. Boleh juga apa yang diperkatakan oleh kaum Yahudi ialah kekufuran dan penyerupaan (Allah dengan makhluk). Penjelasan yang sama turut dikemukakan oleh ramai mufasir lain seperti az-Zamakhsyari, az-Zuhaili, Ibnu ‘Asyur dan lain-lain.[8]
Berkenaan ucapan kaum musyrikin yang mengingkari Hari Kiamat, perkara itu telah disebutkan pada permulaan surah ini, iaitu dalam Surah Qaf [50]: 2.[9]
Terhadap semua kata-kata tersebut, Rasulullah SAW diperintahkan supaya bersabar. Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, Allah SWT berfirman kepada Nabi Muhammad SAW, “Bersabarlah, wahai Muhammad, terhadap apa yang dikatakan oleh kaum Yahudi ini, serta apa yang mereka ada-adakan terhadap Allah dan pendustaan mereka terhadapNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi mereka.”[10]
Wahbah az-Zuhaili berkata, “Wahai Nabi, bersabarlah terhadap ucapan kaum musyrikin yang mengingkari Hari Kebangkitan. Hal ini kerana Zat yang berkuasa menciptakan alam semesta tanpa mengalami keletihan sudah tentu berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia selepas kematian serta menghukum mereka. Begitu juga, bersabarlah terhadap ucapan kaum Yahudi dan golongan lain yang menyerupakan Allah SWT dengan makhluk, mendustakan engkau dan kufur.”[11]
Menurut as-Syaukani, ayat ini merupakan penghibur hati bagi Nabi SAW, di samping menjadi perintah supaya baginda bersabar terhadap kata-kata kaum musyrikin. Maksudnya ialah, “Anggaplah perkara ini sebagai sesuatu yang ringan bagimu. Janganlah engkau bersedih kerana kata-kata mereka. Hadapilah segala yang mereka lontarkan kepadamu dengan penuh kesabaran.”[12]
Ibnu Kathir berkata, “Bersabarlah terhadap mereka dan tinggalkanlah mereka dengan cara yang baik.”[13]
Dengan demikian, perintah supaya bersabar di sini bererti baginda diperintahkan untuk terus menyampaikan dakwah, tanpa terganggu dan tanpa berhenti disebabkan kata-kata buruk dan menyakitkan daripada orang-orang kafir. Kata-kata mereka hendaklah dianggap seperti angin yang berlalu, yang tidak wajar didengarkan atau diberi perhatian.
Kemudian Allah SWT berfirman:
وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ قَبۡلَ طُلُوعِ ٱلشَّمۡسِ وَقَبۡلَ غُرُوبِهَاۖ ١٣٠
“Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum matahari terbenam.”
Selain diperintahkan supaya bersabar, Rasulullah SAW juga diperintahkan untuk bertasbih sambil memuji TuhanNya. Perkataan سَبِّحْ merupakan fi‘l al-amr (kata kerja perintah) daripada perkataan التَّسْبِيحُ (at-tasbih).
Menurut az-Zajjaj, at-tasbih ialah « تَنْزيهُ اللَّهِ مِنَ السوءِ وتنزيهه تعالى » (menyucikan Allah daripada segala keburukan dan menyucikan Dia Yang Maha Tinggi.”[14] Penjelasan yang sama turut dikemukakan oleh as-Sam‘ani dan al-Baghawi.[15]
Muhammad al-Amin asy-Syinqithi menyebut bahawa tasbih ialah « تنزيه اللّٰه عن كل ما لا يليق بكماله وجلاله » (menyucikan Allah daripada segala sesuatu yang tidak layak dengan kesempurnaan dan keagunganNya). Pada asalnya, tasbih dari sudut bahasa ialah « الإِبعاد عن السوء » (menjauhkan daripada keburukan), yang diambil daripada perkataan « سبح », yang bermaksud berjalan pantas atau berenang sehingga menjadi jauh.[16]
Al-Fadhl bin al-Hubab mendengar Ibnu Aisyah berkata:
«الْعَرَبُ إِذَا أَنْكَرَتِ الشَّيْءَ وَأَعْظَمَتْهُ قَالَتْ: سُبْحَانَ، فَكَأَنَّهُ تَنْزِيهُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَنْ كُلِّ سُوءٍ، لَا يَنْبَغِي أَنْ يُوصَفَ بِغَيْرِ صِفَتِهِ، وَنُصِبَتْهُ عَلَى مَعْنَى تَسْبِيحًا لِلَّهِ»
“Orang Arab, apabila mereka mengingkari sesuatu dan menganggapnya sebagai perkara yang besar, mereka akan berkata, “Subhān (Maha Suci).” Seolah-olah ucapan itu merupakan penyucian Allah ‘Azza wa Jalla daripada segala keburukan. Tidak layak sama sekali Allah disifatkan dengan selain daripada sifat-sifatNya. Lafaz tersebut dibaca dalam bentuk nasab (Subhāna) dengan maksud sebagai ungkapan penyucian kepada Allah.”[17]
Ibnu Taimiyah berkata, “Perintah untuk bertasbih kepada Allah menghendaki agar kita menyucikanNya daripada segala kekurangan dan keburukan, di samping menetapkan segala sifat kesempurnaan bagiNya. Hal ini kerana tasbih memestikan penyucian dan pengagungan, sedangkan pengagungan menuntut penetapan segala sifat yang menjadi pujian bagiNya. Oleh itu, perintah tersebut merangkumi penyucian, pujian, takbir kepada Allah serta mentauhidkanNya.”[18]
Dengan demikian, bertasbih kepada Allah SWT bererti menjauhkan hati dan fikiran daripada sebarang pemikiran serta sangkaan tentang kekurangan atau keburukan yang disandarkan kepada Allah; serta membersihkan Allah daripada segala aib yang disandarkan kepadaNya oleh orang-orang musyrik dan ateis. Dengan pengertian inilah Allah SWT disucikan [Lihat: Surah al-Mu’minun (23): 91; Surah as-Saffat (37): 158–159; Surah al-Hasyr (59): 23].
Penjelasan yang lebih luas tentang makna at-tasbih diterangkan oleh ar-Raghib al-Asfahani. Perkataan tersebut bermaksud « تنزيه اللّٰه تعالى » (menyucikan Allah SWT). Asal katanya bererti « المرّ السّريع في عبادة اللّٰه تعالى » (bergerak dengan pantas dalam beribadah kepada Allah SWT). Makna ini digunakan bagi perbuatan yang baik, sebagaimana ungkapan « الإبعاد » (menjauhkan) digunakan bagi perkara yang buruk. Oleh sebab itu dikatakan, « أبعده اللّٰه » (semoga Allah menjauhkan dia).
Adapun perkataan at-tasbih dijadikan sebagai istilah umum bagi semua bentuk ibadah, sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan mahupun niat. Allah SWT berfirman:
فَلَوۡلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلۡمُسَبِّحِينَ ١٤٣
“Kalaulah dia bukan daripada golongan yang banyak bertasbih kepada Allah.” [TMQ as-Saffat (37): 143].
Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah orang-orang yang mendirikan solat. Namun, pendapat yang lebih kuat ialah ia merangkumi ketiga-tiga perkara tersebut, iaitu ucapan, perbuatan dan niat. Allah SWT berfirman:
وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ ٣٠
“Dan kami bertasbih dengan memujiMu.” [TMQ al-Baqarah (2): 30].[19]
Dalam ayat ini, perintah untuk bertasbih disertai dengan pujian kepada Allah SWT: « وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ » (dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu). Menurut sebahagian mufasir, inilah makna yang terkandung dalam ayat tersebut. As-Syaukani berkata, “Sucikanlah Allah daripada segala sesuatu yang tidak layak bagiNya, disertai dengan memujiNya pada waktu fajar dan waktu Asar.” Menurut beliau, tafsiran ini lebih tepat bagi ayat tersebut berbanding beberapa tafsiran yang lain.[20] Pendapat yang sama turut dikemukakan oleh al-Qinuji.[21]
Menurut Qatadah, maksud ayat ini ialah solat Subuh sebelum matahari terbit dan solat Asar sebelum matahari terbenam.[22]
Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Abu Shalih, Ibnu Jarir at-Thabari dan al-Khazin.[23] Pendapat ini dikuatkan dengan hadis bahawa Ibnu Abbas mengatakan solat sebelum matahari terbenam ialah solat Zuhur dan solat Asar.[24] Dengan demikian, ayat ini memerintahkan pelaksanaan solat Subuh yang waktunya sebelum matahari terbit, serta solat Zuhur dan solat Asar yang waktunya sebelum matahari terbenam.[25]
Demikianlah. Ayat ini memerintahkan Rasulullah SAW supaya bersabar dan bertasbih kepada Allah dengan disertai pujian kepadaNya sebelum matahari terbit dan sebelum matahari terbenam.
Wallahu a‘lam bissawwab.
Nota kaki:
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17 (Kaherah: Dar al-Maktabah al-Misriyyah, 1964), 24; al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), hlm. 376
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, hlm. 24
- Lihat al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 26 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), hlm. 376
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), hlm. 409
- Lihat al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 26 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), hlm. 326
- Abu al-‘Abbas, al-Mufhim limâ Asykala min Talkhîsh Kitâb Muslim, 7 (Damsyiq: Dar Ibn Kathir, 1996), hlm. 80
- Al-Asfahani, al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), hlm. 474
- Al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, 5 (Beirut: Dar Ihya‘ al-Turath al-‘Arabiyy, 1998), hlm. 144. Lihat juga al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, jil. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabiy, 1987), hlm. 392; al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, 26 (Damsyiq: Dar al-Fikr, 1991), hlm. 311
- Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 30 (Tunisia: Dar al-Tunisiyah, 1984), hlm. 326
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 26 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), hlm. 376
- Al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, 26, hlm. 311
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), hlm. 409
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), hlm. 409
- Al-Zajjaj, Ma’ânî al-Qur‘ân wa I’râbuhu, 5 (Beirut: ‘Alam al-Kitab, 1988), hlm. 218
- Al-Sam’ani, Tafsîr al-Qur‘ân, 5 (Riyadh: Dar al-Wathan, 1997), hlm. 55. Lihat juga al-Baghawi, Ma’âlim al-Tanzîl, jil. 7 (Beiryt: Dar al-Thayyibah, 1997), hlm. 364
- Al-Syinqithi, Adhwâ‘ al-Bayân fî Îdhâh al-Qur‘ân b al-Qur‘ân, 7 (Riyadh: Dar ‘Atha’at al-‘Ilm, 2019), hlm. 859
- Al-Thabarani, al-Du’â‘ (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), hlm. 500
- Ibnu Taimiyyah, Majmû’ al-Fatâwâ, 16 (‘Alam al-Nasyr, 1995), hlm. 125
- Al-Asfahani, al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), hlm. 392
- Al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, 5 (Beirut: Dar Ibnu Kathir, 1994), hlm. 95
- Al-Qinuji, Fat-h al-Bayân, 13 (Beirut: ‘Alam al-Kutub, 2003), hlm. 183
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 26, hlm. 376-377
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, jil. 24; al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, jil. 26, hlm. 376-376; al-Khazin. Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, jil. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), hlm. 191
- Al-Khazin. Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, 4, hlm. 191
- Al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, 26, hlm. 311
#tafsir #sabar #bertasbih #dakwah