Kepentingan Ikhlas dalam Beribadah
Penulis : KH. Rokhmat S. Labib
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”. [TMQ al-Kautsar (108): 2].
Daripada ayat ini dapat difahami dengan jelas bahawa solat yang diperintahkan ke atas manusia hendaklah benar-benar khusyuk kerana Allah SWT.
Terdapat banyak penjelasan dari ulama tentang pengertian ikhlas. Walau bagaimanapun, maknanya hampir sama antara satu sama lain. Antaranya, Abul Qasim al-Qusyairi berkata:
“Ikhlas adalah berniat hanya untuk Allah dalam melaksanakan amal ketaatan. Yakni menginginkan taqarrub kepada Allah dengan ketaatan tersebut, bukan untuk sesuatu yang berupa sesuatu yang tersembunyi dari makhluk, mendapat pujian dari manusia, cinta kepada pujian makhluk, atau makna lain di luar konteks mendekatkan diri kepada Allah.” [Al-Qusyairi, ar-Risâlah al-Qusyairiyyah, vol. 2]
Selain daripada ayat ini, terdapat perintah untuk ikhlas dalam beribadah dalam banyak ayat dan hadis. Antaranya ialah firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid” [TMQ al-Bayyinah(98): 5].
Juga firmanNya:
إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ ٢
“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.”[TMQ az-Zumar (39): 2].
Apabila dikaitkan dengan surah berikutnya iaitu, Surah An-Nasr, yang menyatakan tentang pertolongan Allah dan kemenangan, kaitannya jelas. Ini akan dicapai melalui keikhlasan ummah ini. Mus’ab bin Sa’d meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
«إِنَّمَا يَنْصُرُ اللهُ هَذِهِ الْأُمَّةَ بِضَعِيفِهَا بِدَعْوَتِهِمْ وَصَلَاتِهِمْ وَإِخْلَاصِهِمْ»
“Allah akan menolong umat ini disebabkan oleh orang miskin, kerana doa orang miskin tersebut, kerana solatnya dan kerana keikhlasan mereka dalam beramal” (HR. an-Nasa’i).
Sumber: Tafsir al-Wa’ie Juz ‘Amma Jilid 1
#ikhlas #ibadah