Pengajaran Hanya Bermanfaat bagi Orang yang Berakal
Oleh: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.]
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكۡرَىٰ لِمَن كَانَ لَهُۥ قَلۡبٌ أَوۡ أَلۡقَى ٱلسَّمۡعَ وَهُوَ شَهِيدٞ
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” [TMQ Qaf (50): 37]
Dalam ayat sebelumnya, Allah SWT mengingatkan manusia, terutama orang-orang kafir, tentang kaum-kaum sebelum mereka yang memiliki kekuatan yang lebih besar daripada mereka. Mereka kemudian dibinasakan kerana kekufuran mereka.
Ayat ini kemudian menegaskan bahawa semua kejadian ini seharusnya menjadi peringatan bagi mereka.
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman:
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكۡرَىٰ لِمَن كَانَ لَهُۥ قَلۡبٌ
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal.”
Ayat ini dimulakan dengan perkataan «إِنَّ» (sesungguhnya). Ini ialah harf tawkid. Perkataan ini berfungsi untuk menegaskan berita yang akan disebutkan selepasnya. Huruf lam pada perkataan «لَذِكْرَىٰ» juga memberikan makna tawkid (penegasan). Dengan demikian, terdapat dua perkataan yang berfungsi sebagai ta’kid (penegasan) dalam ayat ini.
Kemudian, perkataan «ذَٰلِكَ» merupakan ism al-isyārah (kata tunjuk). Perkara yang ditunjukkan boleh berupa berita yang paling hampir yang telah disampaikan sebelumnya, iaitu pembinasaan generasi-generasi terdahulu yang memiliki kekuatan yang lebih dahsyat. Ia juga boleh merujuk kepada semua yang telah disebutkan sebelumnya, iaitu syurga yang didekatkan kepada orang-orang yang bertakwa, neraka yang dipenuhi para penghuninya, dan selain daripada itu.[1]
Menurut Syihabuddin al-Alusi, perkara yang ditunjukkan ialah pembinasaan (kaum tersebut), atau apa yang disebutkan dalam surah ini.[2]
Muhammad al-Amin al-Harari juga berkata, “Sesungguhnya pada apa yang telah disebutkan daripada kisah mereka, atau pada apa yang disebutkan dalam surah ini, dari awal hingga akhir, berupa pelbagai pengajaran, berita dan pembinasaan negeri-negeri.”[3]
Demikian juga yang dijelaskan oleh al-Qurthubi. Mufassir tersebut berkata, “Pada apa yang telah kami sebutkan dalam surah ini.”[4]
Tentang makna firmanNya: «إِنَّ فِي ذَٰلِكَ» (Sesungguhnya pada yang demikian itu), Burhanuddin al-Biqa’i berkata, “Perkara-perkara yang menakjubkan berupa pelbagai nasihat yang Kami bentangkan di sini—sebagaimana yang kamu lihat—dengan gaya-gaya yang mengagumkan dan cara-cara yang luar biasa, sama ada dalam pembinasaan mahupun selainnya.”[5]
Ditegaskan dalam ayat ini bahawa semua yang telah disebutkan sebelumnya itu menjadi az-zikrā (peringatan, kenangan). Perkataan «الذِّكْرَى» ialah ism masdar, yang bermaksud «التَّذَكُّرُ» (mengingati kembali) dan «التَّذْكِرَةُ» (peringatan). Kedua-dua perkataan tersebut merupakan bentuk masdar daripada kata yang sama, iaitu: «ذَكَرَهُ، يَذْكُرُهُ، ذِكْرًا وَذِكْرَى» (dia telah mengingatinya; dia sedang mengingatinya; dengan zikr[an] [ingatan] dan zikrā [peringatan]).[6]
Menurut kebanyakan para mufassir, perkataan az-zikrā dalam ayat ini bermaksud «تَذْكِرَةً وَعِظَةً» (peringatan dan nasihat).[7]
Secara lebih khusus, Ibnu ‘Asyur mengatakan bahawa az-zikrā ialah «التَّذْكِرَةُ الْعَقْلِيَّةُ» (peringatan yang bersifat rasional). Maksudnya ialah «التَّفَكُّرُ فِي تَدَبُّرِ الْأَحْوَالِ» (merenung dengan penuh pemikiran dan pertimbangan terhadap keadaan-keadaan) yang telah menimpa mereka sehingga berakhir dengan kebinasaan, supaya mereka dapat mengqiyaskan keadaan-keadaan tersebut dengan keadaan mereka sendiri. Dengan itu mereka mengetahui bahawa apa yang akan menimpa mereka adalah sama seperti apa yang telah menimpa orang-orang tersebut. Ini merupakan qiyas rasional yang dapat difahami oleh orang yang berakal cerdas dengan sendirinya, tanpa memerlukan adanya pihak yang memberikan peringatan.[8]
Kemudian disebutkan:
لِمَن كَانَ لَهُۥ قَلۡبٌ ٣٧
“…bagi orang-orang yang mempunyai akal.”
Itu bermaksud, berita tentang pembinasaan orang-orang terdahulu, tentang syurga dan neraka serta tentang semua perkara penting dan menakjubkan yang disebutkan menjadi peringatan, pengajaran dan nasihat bagi orang yang memiliki akal (qalb).
Perkataan «قَلْبٌ» dalam bahasa Arab merujuk kepada beberapa makna. Dalam konteks ayat ini, menurut Ibnu ‘Abbas, ia bermaksud ‘aql (akal).[9] Demikian juga menurut Mujahid.[10] Penjelasan yang sama dikemukakan oleh ramai mufassir.[11]
Dari sudut bahasa, perkataan al-qalb bermaksud al-‘aql (akal). Demikian sebagaimana diterangkan oleh as-Sam’ani. Menurut as-Sam’ani, apabila seseorang berkata kepada orang lain: «مَا لَكَ مِنْ قَلْبٍ» (kamu tidak mempunyai hati), maksudnya ialah: «مَا لَكَ مِنْ عَقْلٍ» (kamu tidak mempunyai akal). Demikian juga apabila dikatakan: «أَيْنَ قَلْبُكَ» (di manakah hatimu?), maksudnya ialah: «أَيْنَ عَقْلُكَ» (di manakah akalmu?).[12]
Menurut Ibnu ‘Asyur, «الْقَلْبُ» ialah «الْعَقْلُ وَإِدْرَاكُ الْأَشْيَاءِ عَلَى مَا هِيَ عَلَيْهِ» (akal serta kemampuan memahami segala sesuatu sebagaimana hakikatnya).[13]
Wahbah al-Zuhaili juga mentafsirkan qalb di sini sebagai «عَقْلٌ يَعِي بِهِ وَيَتَفَكَّرُ فِي الْحَقَائِقِ» (akal yang dengannya seseorang memahami dan merenungkan pelbagai hakikat).[14]
Sudah tentu, peringatan, nasihat dan pengajaran itu hanya berguna bagi orang yang memiliki dan menggunakan akal dengan benar. Al-Qurthubi berkata, “Maksudnya ialah akal, yang dengannya seseorang melakukan tadabbur (merenung, berfikir dan memerhatikan).”[15]
Bagi mereka yang memiliki akal, tetapi tidak menggunakannya dengan benar, maka mereka seperti orang yang tidak berakal. Abu Hayyan al-Andalusi berkata, “Orang yang memiliki qalb (akal), tetapi tidak mengerti atau memahami, maka dia seperti orang yang langsung tidak mempunyai hati.“[16]
Penjelasan yang sama juga dikemukakan oleh az-Zamakhsyari dalam tafsirnya.[17]
Kesimpulan ini juga diperkukuhkan oleh penggunaan perkataan «قَلْبٌ» dalam bentuk nakirah. Menurut Wahbah al-Zuhaili, hal itu mengandungi isyarat bahawa setiap hati yang tidak mahu berfikir dan tidak melakukan tadabbur, pada hakikatnya seolah-olah tidak wujud.[18]
Al-Baidhawi juga berkata, “Pada penggunaan bentuk nakirah dan pengaburan perkataan qalb[un] terdapat unsur pengagungan, sekali gus isyarat bahawa setiap hati yang tidak berfikir dan tidak melakukan tadabbur adalah seperti hati yang tidak wujud sama sekali.”[19]
Dengan demikian, peringatan dan pengajaran hanya berguna bagi orang yang memiliki dan menggunakan akal dengan benar. Ibnu Athiyah berkata, “«لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ» bermaksud: bagi orang yang mempunyai «قَلْبٌ وَاعٍ» (akal yang sedar atau memahami), sehingga dia dapat mengambil manfaat daripadanya.”[20]
Dengan memiliki akal yang digunakan dengan benar itu, seseorang akan menjadi sedar. Lalu dia akan berhenti daripada segala bentuk kekufuran dan kemaksiatan serta menggantikan semua itu dengan keimanan dan ketakwaan. Ibnu Jarir al-Thabari berkata, “Maksudnya, bagi sesiapa sahaja daripada umat ini yang mempunyai akal, maka dia akan berhenti daripada perbuatan yang dahulu mereka lakukan berupa kekufuran terhadap Tuhan mereka. Hal itu kerana mereka takut azab akan menimpa mereka sebagaimana azab yang telah menimpa orang-orang tersebut.“[21]
Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan firmanNya: «لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ» berkata, “Qalb (akal) yang sejahtera, yang dengannya seseorang dapat memahami hakikat apa yang disaksikannya daripada pelbagai peristiwa, lalu memikirkannya sebagaimana yang sepatutnya. Hal ini kerana sesiapa yang mempunyai qalb seperti itu, maka dia akan mengetahui bahawa poros kehancuran mereka ialah kekufuran. Oleh itu dia akan menjauhinya hanya dengan menyaksikan kesan-kesan (kehancuran tersebut), tanpa memerlukan peringatan tambahan.”[22]
Kemudian Allah SWT berfirman:
أَوۡ أَلۡقَى ٱلسَّمۡعَ وَهُوَ شَهِيدٞ ٣٧
“…atau yang memberikan pendengarannya, sedangkan dia menyaksikannya.”
Dari sudut bahasa, perkataan «أَلْقَاهُ» bermaksud «طَرَحَهُ» (melemparkannya).[23] Dalam ungkapan «أَلْقَى السَّمْعَ» (dia mencurahkan atau memberikan pendengarannya), ia bermaksud «اسْتَمَعَ مَا يُقَالُ لَهُ» (dia mendengar dengan teliti apa yang dikatakan kepadanya). Demikian juga maksud ungkapan «أَلْقِ سَمْعَكَ إِلَيَّ» (curahkan pendengaranmu kepadaku), ialah «اسْتَمِعْ مِنِّي» (dengarkan atau perhatikanlah apa yang aku katakan).[24]
Ad-Dahhak menyebutkan bahawa orang-orang Arab berkata: «أَلْقَى فُلَانٌ سَمْعَهُ» (Si Fulan mencurahkan pendengarannya), yang bermaksud «اسْتَمَعَ بِأُذُنَيْهِ» (dia mendengar dengan kedua-dua telinganya).[25]
Dalam konteks ayat ini, yang didengarkan ialah al-Quran. Sebagaimana diterangkan oleh al-Baghawi, makna ayat ini ialah «اسْتَمَعَ الْقُرْآنَ» (mendengar atau menyemak al-Quran).[26]
Penjelasan yang sama juga dikemukakan oleh Ibnu Athiyah, iaitu bahawa firman Allah SWT itu bermaksud: “Dia mengarahkan pendengarannya kepada khabar-khabar yang mengandungi nasihat dan meneguhkannya dalam pendengarannya. Itulah yang dimaksudkan dengan «إِلْقَاءُ لَهُ عَلَيْهَا» (mencurahkan pendengaran kepadanya).” Termasuk dalam makna ini ialah firman Allah SWT:
وَأَلۡقَيۡتُ عَلَيۡكَ مَحَبَّةٗ مِّنِّي ٣٩
“Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang daripadaKu.” [TMQ Taha (20): 39].[27]
Menurut Ibnu Asyur, ungkapan «إِلْقَاءُ السَّمْعِ» (mencurahkan pendengaran) merupakan majaz untuk menunjukkan betapa kuatnya sikap menyemak al-Quran dan nasihat Rasulullah SAW; seolah-olah seluruh pendengaran mereka dicurahkan sepenuhnya ke arah itu sehingga tidak ada lagi sesuatu pun yang menyibukkan mereka untuk didengar selain daripadanya.[28]
Adapun perkataan «الشَّهِيدُ» (orang yang menyaksikan) ialah «الْمُشَاهِدُ» (orang yang menyaksikan). Bentuk sighat al-mubalaghah (bentuk hiperbola) pada perkataan tersebut digunakan untuk menunjukkan kuatnya aktiviti menyaksikan perkara yang diperingatkan; iaitu memusatkan pandangan mata kepadanya dengan penuh perhatian demi memahami maksudnya melalui pelbagai isyarat atau raut wajah yang mengiringi ucapannya, kerana sesungguhnya penglihatan membantu kefahaman.[29]
Secara keseluruhannya, Wahbah al-Zuhaili menerangkan bahawa pada kisah umat-umat terdahulu dalam surah ini dan surah sebelumnya terdapat pengajaran adab dan nasihat, sama ada sesama individu mahupun sesama golongan. Pada semua itu terdapat pengajaran, nasihat dan teladan bagi orang-orang yang mahu mengambil pelajaran daripadanya. Mereka ialah setiap orang yang mempunyai akal yang difungsikan untuk berfikir dan merenungkan pelbagai hakikat yang berlaku serta hubungan antara sebab dan akibat.[30]
Demikianlah. Pelbagai peristiwa yang menimpa orang-orang terdahulu seharusnya menjadi peringatan, pengajaran dan nasihat bagi orang-orang yang datang kemudian. Antara kejadian yang perlu diperhatikan, direnungkan dan dijadikan pengajaran ialah pelbagai azab di dunia yang ditimpakan kepada orang-orang kafir. Inilah yang ditegaskan dalam ayat ini. Hal ini juga disebutkan dalam firmanNya:
أَوَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَيَنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَكَانُواْ أَشَدَّ مِنۡهُمۡ قُوَّةٗۚ ٤٤
“Tidakkah mereka mengembara di bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan para rasul), padahal orang-orang itu lebih besar kekuatannya daripada mereka?” [TMQ Fatir (35): 44]
Akan tetapi, peringatan dan pengajaran itu tidak berguna bagi semua orang. Antara mereka yang mengambil pengajaran ialah orang yang mempunyai akal dan mahu menggunakan akalnya dengan benar, serta mencurahkan pendengarannya, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat ini. Dalam ayat yang lain disebutkan:
لَقَدۡ كَانَ فِي قَصَصِهِمۡ عِبۡرَةٞ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِۗ ١١١
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal.” [TMQ Yusuf (12): 111]
Demikian juga firmanNya:
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكۡرَىٰ لِأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ٢١
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang berakal.” [TMQ az-Zumar (39): 21]
Mereka sebenarnya telah dikurniakan akal yang mampu berfikir, namun mereka tidak mahu menggunakan akal tersebut. Oleh itu, mereka layak menerima azab.
Wallāhu a‘lam bissawab.
Nota Kaki
- Al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 28, hlm. 150
- Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994), hlm. 341
- Al-Harari, Tafsîr Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, 27, hlm. 476
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, hlm. 23
- Al-Biqa’i, Nazhm al-Durar fî Tanâsub al-Âyât wa al-Suwar, 18 (Kaherah: Dar al-Kitab al-Islamiy, tt), 436
- Al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 28, hlm. 150
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, hlm. 23; al-Harari, Tafsîr Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, jil. 27, hlm. 476
- Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 30, hlm. 323
- Al-Khazin,Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânÎ al-TanzÎl, 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), hlm. 190
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, hlm. 409.
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, hlm. 23; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, jil. 5 (Beirut: Dar Ibnu Kathir, 1994), hlm. 95
- Al-Sam’ani, Tafsîr al-Qur‘ân, 5 (Riyadh: Dar al-Wathan, 1997), hlm. 247
- Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr, 30, hlm. 324
- Al-Zuhaili, Tafsîr al-Munîr, 26, hlm. 311.
- Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, hlm. 23.
- Abu Hayyan al-Andalusi, al-Bahr al-Muhîth fî al-Tafsîr, 9 (Beirut: Dar al-Fikr, tt), hlm. 541
- Al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabiyy, 1984), hlm. 391
- Al-Zuhaili, Tafsîr al-Munîr, 26, hlm. 311.
- Al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, 5 (Beirut: Dar Ihya‘ al-Turath al-‘Arabiy, 1998), hlm. 144.
- Ibnu Athiyah, al-Muharrar al-Wajîz, 6 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2001), hlm. 167
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), hlm. 372
- Al-Harari, Tafsîr Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, 27, hlm. 476.
- Zainuddin al-Razi, Mukhtâr al-Shihhâh (Beirut: al-Maktabah al-‘Ashriyyah, 1999), hlm. 284
- Al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, 5, hlm. 95.
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, hlm. 409; al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, jil. 22, hlm. 464.
- Al-Baghawi, Ma’âlim al-Tanzîl, 7 (Beiryt: Dar al-Thayyibah, 1997), hlm. 364
- Ibnu Athiyah, al-Muharrar al-Wajîz, 6 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2001), hlm. 167
- Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 30, hlm. 324.
- Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 30, hlm. 324.
- Al-Zuhaili, Tafsîr al-Munîr, 26, hlm. 314.
#TafsirAlQuran #SurahQaf #Manfaat #PelajarandariAlQuran #ManusiaBerakal #ManfaatPeringatanAlQuran #OrangBijak #Akal