Penghormatan Kepada Penghuni Syurga (Surah Qaf Ayat 35)
Oleh: KH Rokhmat S. Labib, M.E.I.
لَهُم مَّا يَشَآءُونَ فِيهَا وَلَدَيۡنَا مَزِيدٞ ٣٥
“Mereka di dalamnya memperoleh apa sahaja yang mereka kehendaki, dan di sisi Kami ada tambahan (lagi).” [TMQ Qaf (50): 35]
Dalam ayat sebelumnya, diberitakan tentang peristiwa yang dialami oleh orang-orang bertakwa pada Hari Kiamat, iaitu ketika syurga didekatkan kepada mereka. Mereka juga dipersilakan masuk ke dalam syurga dalam keadaan aman. Kepada mereka dikatakan: “Masuklah kamu ke dalam syurga itu dengan aman. Itulah hari kekekalan.” [TMQ Qaf (50): 34]
Ayat ini kemudian menerangkan dengan lebih lanjut keadaan mereka di dalam syurga, bahawa mereka akan memperoleh apa sahaja yang mereka inginkan.
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman:
لَهُم مَّا يَشَآءُونَ فِيهَا … ٣٥
”Mereka di dalamnya memperoleh apa saja yang mereka kehendaki…” [TMQ Qaf (50): 35].
Para penghuni syurga akan memperoleh pelbagai kenikmatan yang mereka inginkan. Perkara ini juga disebut dalam banyak hadis Nabi SAW. Daripada Ibnu Mas‘ud RA, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«إِنَّكَ لَتَنْظُرُ إِلَى الطَّيْرِ فِي الْجَنَّةِ فَتَشْتَهِيهِ فَيَجِيءُ مَشْوِيًّا بَيْنَ يَدَيْكَ»
“Sesungguhnya engkau melihat seekor burung di dalam syurga, lalu engkau menginginkannya. Maka burung itu pun datang di hadapanmu dalam keadaan telah dipanggang.” [HR al-Bazzar]
Ibnu Abu Hatim RA juga meriwayatkan daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَيَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمُ اللُّقْمَةَ فَيَجْعَلُهَا فِي فِيهِ، ثُمَّ يَخْطُرُ عَلَى بَالِهِ طَعَامٌ آخَرُ فَيَتَحَوَّلُ الطَّعَامُ الَّذِي فِي فِيهِ عَلَى الَّذِي اشْتَهَى» ثُمَّ قَرَأَ: وَفِيهَا مَا تَشۡتَهِيهِ ٱلۡأَنفُسُ وَتَلَذُّ ٱلۡأَعۡيُنُۖ وَأَنتُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ [الزخرف: 71].
”Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggamanNya, sesungguhnya seseorang daripada kamu ketika mengambil sesuap makanan lalu memasukkannya ke dalam mulutnya, tiba-tiba terlintas dalam fikirannya keinginan terhadap makanan lain, maka makanan yang berada di dalam mulutnya itu pun berubah menjadi makanan lain yang diinginkannya. Kemudian Rasulullah SAW membaca firman-Nya (yang bermaksud): “Di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan yang menyedapkan pandangan mata, dan kamu kekal di dalamnya.” [TMQ az-Zukhruf (43): 71]
Bukan sahaja keinginan untuk menikmati makanan dipenuhi, bahkan keinginan untuk memiliki anak juga akan ditunaikan. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا اشْتَهَى الْمُؤْمِنُ الْوَلَدَ فِى الْجَنَّةِ كَانَ فِى سَاعَةٍ وَاحِدَةٍ كَمَا يَشْتَهِى»
“Apabila seorang Mukmin menginginkan anak di dalam syurga, maka anak itu akan wujud dalam sekelip mata sebagaimana yang diinginkannya.” [HR Ahmad dan at-Tirmizi]
Malah, jika ada dalam kalangan mereka yang ingin bercucuk tanam, keinginan itu juga akan diperkenankan. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menceritakan:
«أن النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَوْمًا يُحَدِّثُ، وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ: (أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اسْتَأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ، فَقَالَ لَهُ: أَلَسْتَ فِيمَا شِئْتَ؟ قَالَ: بَلَى، وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ، قَالَ: فَبَذَرَ، فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ، فَكَانَ أَمْثَالَ الْجِبَالِ، فَيَقُولُ اللهُ: دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ، فَإِنَّهُ لَا يُشْبِعُكَ شَيْءٌ). فَقَالَ الْأَعْرَابِيُّ: وَاللهِ لَا تَجِدُهُ إِلَّا قُرَشِيًّا أَوْ أَنْصَارِيًّا، فَإِنَّهُمْ أَصْحَابُ زَرْعٍ، وَأَمَّا نَحْنُ فَلَسْنَا بِأَصْحَابِ زَرْعٍ، فضحك النبي صلى الله عليه وسلم»
“Suatu hari, Nabi SAW sedang berbicara, dan di sisi baginda terdapat seorang lelaki daripada kalangan penduduk pedalaman (Arab Badwi). Baginda bersabda: “Sesungguhnya ada seorang lelaki daripada penghuni syurga yang meminta izin kepada Tuhannya untuk bercucuk tanam. Lalu Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah engkau sudah berada dalam segala yang engkau kehendaki?’ Dia menjawab: ‘Benar, tetapi aku suka bercucuk tanam.’ Maka dia pun menabur benih, lalu dalam sekelip mata tanaman itu tumbuh, sempurna, dan dapat dituai, sehingga hasilnya menjadi seperti gunung-ganang. Lalu Allah berfirman: ‘Ambillah ini untukmu, wahai anak Adam, kerana tiada sesuatu pun yang dapat membuatmu puas.’” Lalu lelaki Badwi itu berkata: “Demi Allah! Engkau tidak akan mendapati orang itu melainkan seorang Quraisy atau seorang Ansar, kerana mereka itu orang yang biasa bercucuk tanam. Adapun kami, bukanlah orang yang biasa bercucuk tanam.” Maka Nabi SAW pun tertawa. [HR al-Bukhari]
Allah SWT berfirman:
﴿…وَلَدَيۡنَا مَزِيدٌ﴾
“…Dan di sisi Kami ada tambahannya.”
Di samping memperoleh apa sahaja yang mereka inginkan, mereka juga mendapat: « لَدَيْنا مَزِيدٌ » (Dan di sisi Kami ada tambahannya). Maksudnya, tambahan kenikmatan dan penghormatan di dalam syurga. [1]
Menurut Fakhruddin ar-Razi, lafaz « مَزِيدٌ » (tambahan) boleh membawa maksud « الزِّيَادَةُ » (tambahan), sepertimana dalam firman Allah SWT:
﴿لِّلَّذِينَ أَحۡسَنُواْ ٱلۡحُسۡنَىٰ وَزِيَادَةٌ﴾
”Bagi orang-orang yang berbuat baik, disediakan pahala terbaik (syurga) dan tambahannya” [TMQ Yunus (10): 26].[2]
Ia juga boleh bermaksud sesuatu yang ditambahkan, iaitu: “Di sisi Kami ada yang Kami tambahkan kepada mereka apa yang mereka harapkan dan apa yang mereka sukai.”[3]
Menurut as-Syaukani, yang dimaksudkan dengan tambahan itu ialah pelbagai kenikmatan yang tidak pernah terlintas dalam hati mereka dan tidak pernah tergambar dalam khayalan mereka.[4] Penjelasan yang sama turut dikemukakan oleh al-Baidhawi dan Wahbah az-Zuhaili.[5]
Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, tambahan itu ialah kenikmatan lain selain daripada apa yang telah disebutkan akan diberikan kepada mereka. Beliau juga menyatakan bahawa ramai ulama berpendapat, antara nikmat tambahan tersebut ialah melihat wajah Allah secara langsung.[6]Pendapat yang sama turut dikemukakan oleh al-Khazin.[7]
Menurut Abdurrahman as-Sa’di, “Yang dimaksudkan ialah pahala yang disediakan oleh Allah SWT Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga, dan belum pernah terlintas dalam hati manusia. Malah, yang lebih agung dan lebih besar daripada semua kenikmatan itu ialah melihat wajahNya yang Mulia, mendengar firman-Nya, serta menikmati kedekatan denganNya.” [8]
Dalam beberapa hadis Nabi SAW disebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan nikmat tambahan ialah memandang kepada Zat Allah SWT. Tafsiran ini turut dinyatakan oleh ramai ulama, antaranya al-Jazairi.[9]
Daripada Anas bin Malik RA, berkaitan firman Allah SWT: “Dan di sisi Kami ada tambahannya” [TMQ Qaf (50): 35], bahawa Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Mulia menampakkan diriNya kepada mereka pada setiap hari Jumaat.[10]
Terdapat juga hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَّكِئُ فِي الْجَنَّةِ سَبْعِينَ سَنَةً قَبْلَ أَنْ يَتَحَوَّلَ، ثُمَّ تَأْتِيهِ امْرَأَتُهُ، فَتَضْرِبُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ، فَيَنْظُرُ وَجْهَهُ فِي خَدِّهَا أَصْفَى مِنَ الْمِرْآةِ، وَإِنَّ أَدْنَى لُؤْلُؤَةٍ عَلَيْهَا تُضِيءُ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، فَتُسَلِّمُ عَلَيْهِ “. قَالَ: فَيَرُدُّ السَّلَامَ، وَيَسْأَلُهَا مَنْ أَنْتِ؟ وَتَقُولُ: أَنَا مِنَ الْمَزِيدِ، وَإِنَّهُ لَيَكُونُ عَلَيْهَا سَبْعُونَ ثَوْبًا أَدْنَاهَا مِثْلُ النُّعْمَانِ مِنْ طُوبَى فَيَنْفُذُهَا بَصَرُهُ حَتَّى يَرَى مُخَّ سَاقِهَا مِنْ وَرَاءِ ذَلِكَ، وَإِنَّ عَلَيْهَا مِنَ التِّيجَانِ إِنَّ أَدْنَى لُؤْلُؤَةٍ عَلَيْهَا لَتُضِيءُ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ»
“Sesungguhnya seorang lelaki akan bersandar di dalam syurga selama tujuh puluh tahun sebelum dia beralih dari tempatnya. Kemudian datang kepadanya isterinya (daripada kalangan bidadari syurga), lalu menepuk bahunya. Dia pun menoleh dan melihat wajahnya terpantul pada pipi bidadari itu, lebih jernih daripada cermin. Mutiara yang paling rendah yang dipakainya menerangi antara timur dan barat. Bidadari itu memberi salam kepadanya, lalu dia menjawab dan bertanya: “Siapakah engkau?” Dia menjawab: “Aku termasuk daripada (bidadari) tambahan kurniaan (al-Mazīd).” Dia memakai tujuh puluh lapis pakaian, yang paling bawah seperti bunga Nu‘man dari pohon Tuba. Namun pandangan matanya menembusi pakaian itu sehingga dia dapat melihat sumsum betisnya. Di atasnya terdapat mahkota-mahkota, dan mutiara paling rendah pada mahkotanya itu menerangi antara timur dan barat.” [HR Ahmad]
Menurut Fakhruddin ar-Razi, dalam ayat ini terdapat susunan yang menunjukkan kemuncak kebaikan. Ia dimulai dengan penghormatan kepada mereka melalui firman Allah SWT:
﴿وَأُزۡلِفَتِ ٱلۡجَنَّةُ لِلۡمُتَّقِينَ﴾
“Dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa.”
Tidak disebutkan: « قُرِّبَ الْمُتَّقُونَ مِنَ الْجَنَّةِ » (orang-orang bertakwa didekatkan kepada syurga), sebaliknya syurga yang didekatkan kepada mereka, sebagai bentuk penghormatan kepada mereka kerana Allah SWT mendekatkan syurga kepada mereka. Di dalamnya terdapat kebaikan. Seterusnya Allah SWT berfirman kepada mereka, “Ini untuk kamu,” dengan firmanNya:
﴿هَٰذَا مَا تُوعَدُونَ﴾
”Inilah yang dijanjikan kepada kamu.”
Kemudian dijelaskan bahawa semua itu merupakan balasan pahala atas amal soleh mereka melalui firmanNya:
﴿لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ﴾
”Kepada setiap hamba yang sentiasa kembali [kepada Allah] lagi memelihara [semua peraturanNya]”.
Juga dalam firmanNya: « مَنْ خَشِيَ الرَّحْمنَ » ([iaitu] orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah). Hal ini kerana, pemanfaatan orang yang memiliki sesuatu dengan imbuhan lebih sempurna daripada pemanfaatan orang yang memperoleh sesuatu tanpa imbuhan kerana pemilikan tanpa imbuhan berkemungkinan boleh diambil semula. Seterusnya Allah SWT menambah lagi penghormatan kepada mereka melalui firman-Nya: « اُدْخُلُوها » (masuklah kamu ke dalamnya [syurga itu]). Sebagaimana telah dijelaskan, seseorang yang dibukakan pintu tetapi tidak ada yang menyambut kedatangannya di hadapan pintu, itu bukanlah penghormatan yang sempurna. Kemudian disebutkan: « ذلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ » (itulah hari kekekalan).
Maksudnya, janganlah kamu takut dengan apa yang sebelum ini dialami oleh kedua ibu bapamu (Adam dan Hawa) yang dikeluarkan dari syurga. Kamu akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan keluar darinya selepas itu. Kemudian diterangkan bahawa mereka kekal di dalamnya. Allah SWT berfirman: Janganlah kamu takut akan terputusnya rezeki sedangkan kamu masih memerlukannya. Sebagaimana yang berlaku di dunia, seseorang yang dipanjangkan usianya akan kembali menjadi lemah dan berhajat kepada orang lain. Di dalam syurga, kamu dikurniakan kekekalan, dan segala kenikmatan yang kamu nikmati tidak akan habis. Kamu juga akan memperoleh apa sahaja yang kamu inginkan pada bila-bila masa. Kepada Allah SWT jualah kesudahan segala sesuatu. Apabila telah sampai kepadaNya dan berada di hadapanNya, maka tidak dapat digambarkan apa yang ada di sisiNya, dan belum pernah dilihat oleh sesiapa pun. Keagungan mereka yang berada di sisiNya menunjukkan betapa agungnya apa yang ada di sisiNya.
Inilah susunan kemuncak kebaikan tersebut.[11]
Di dalam syurga, kamu dikurniakan kekekalan, dan segala kenikmatan yang kamu nikmati tidak akan habis. Kamu juga akan memperoleh apa sahaja yang kamu kehendaki pada bila-bila masa.
Demikianlah balasan kebaikan daripada Allah SWT di akhirat bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa, yang tunduk serta patuh kepada seluruh syariat-Nya. Siapakah yang tidak merindui untuk menjadi salah seorang daripada mereka?!
Wallāhu a‘lam bi al-ṣawāb.
Nota kaki:
- Al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, 5, 149
- Ha ini juga disampaikan oleh Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 407
- Al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 127, 146
- Al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, 5, 93
- Al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, 5, 143; al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, 26, 307
- Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 366
- Al-Khazin,Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, 4, 190
- Al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân, 807
- Al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, 5, 148
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 407
- Al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 127, 149
#TafsirAlQuran #SurahQaf #Syurga