Setelah Ujian Ada Pertolongan
Allah ﷻ berfirman (yang bermaksud):
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” [TMQ al-Baqarah (2): 214]
Merupakan sunnatullah bahawa harga untuk syurga itu tinggi; iaitu ditimpa dengan ujian berupa penderitaan, kesusahan dan malapetaka yang besar. Terkadang beratnya ujian itu bahkan membuatkan para Rasul ‘alaihimus salâm dan orang-orang yang beriman bersama mereka berkata: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”.
Pada saat itulah, pertolongan daripada Allah ﷻ (nashrullah) datang kepada mereka kerana pertolongan Allah itu dekat bagi orang-orang yang teguh di atas kebenaran dan bersabar atas ujian. Pada ketika itu, orang-orang beriman akan bergembira dengan pertolongan Allah ﷻ, seolah-olah tidak pernah ditimpa ujian sebelumnya, dan tidak pernah melihat penderitaan dan kesusahan, kerana dia hanya melihat betapa besarnya nikmat yang mereka rasakan. Dan keredhaan Allah ﷻ sungguh jauh lebih besar.
Kata “am” (ataukah) di sini bermakna bal wal-hamzah, jadi maknanya adalah “Bal a hasibtum an tadkhulul-jannah” (bahkan/sebaliknya, adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga?) iaitu menolak atau mengesampingkan anggapan yang diajukan tersebut. Dengan demikian, tidak ada jalan untuk masuk syurga tanpa adanya ujian.
Frasa “matâ nashrullâh” (bilakah datangnya pertolongan Allah?) diucapkan seolah-olah mereka sangat merindukan dekatnya pertolongan itu, maka dengan frasa “alâ inna nashrallâhi qarîb” (ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat).” Allah ﷻ menjawab dengan peringatan (alâ) sekaligus penegasan (inna) yang memberikan ketenangan di dalam hati mereka, bahawa pertolongan itu dekat dan janji tersebut akan segera dipenuhi.
Sumber: Kitab “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syeikh ‘Atha’ bin Khalil
#tafsirquran #ujian #kehidupan #PertolonganAllah