Kenyataan Media
Di Saat Musuh Membantai Saudara-saudara Kita, Kita Mengadakan Latihan Ketenteraan Bersama Musuh – Malaysia Benar-benar Sudah Hilang Kewarasan!
Pada 26 Jun hingga 2 Ogos lepas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan maritim antarabangsa (RIMPAC), yang melibatkan Amerika Syarikat dan juga entiti penjenayah Yahudi. RIMPAC merupakan latihan maritim terbesar dunia yang diadakan setiap dua tahun, dan pada tahun ini dilaporkan melibatkan 29 negara, 40 buah kapal, tiga kapal selam, 14 pasukan tentera darat, lebih 150 pesawat dan lebih 25,000 anggota tentera. Latihan ini dihoskan dan ditadbir oleh Komando Indo-Pasifik Tentera Laut AS di Pearl Harbour, dengan Kor Marin AS, Pengawal Pantai AS dan Pengawal Kebangsaan Hawaii.
Di sebalik gesaan banyak pihak agar Malaysia tidak menyertai latihan ini kerana entiti Yahudi turut terlibat di dalamnya, namun Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengendahkannya. Beliau menjawab, “Jika kami mengikuti pendekatan yang dicadangkan, kami perlu menghentikan operasi syarikat seperti Microsoft, Google, Apple dan Facebook.” Tidak lama sebelum itu, Anwar dikecam hebat kerana bersetuju menjual saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada BlackRock, sebuah syarikat yang sudah terkenal mendukung entiti Yahudi. Tambahan kepada itu, Anwar telah membawa masuk syarikat seperti Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo untuk menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) 2024 di Kuala Lumpur, yang merupakan syarikat-syarikat pembekal senjata kepada entiti Yahudi.
Di sebalik pendirian Anwar yang secara terbuka mendukung Palestin, dalam masa yang sama beliau turut mendukung syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan dengan entiti Yahudi. Bahkan, meluluskan penghantaran tentera Malaysia dalam latihan bersama yang turut melibatkan entiti penjenayah berkenaan, diketuai oleh Amerika yang merupakan pendukung nombor satu entiti tersebut. Tidakkah beliau mendengar firman Allah (swt):
﴿ وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ﴾
Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka (musuh) kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya [Al-Anfal (8): 60].
Seharusnya beliau mematuhi perintah Allah (swt) agar mempersiapkan segala kekuatan perang bagi menggerunkan musuh, dan seterusnya berjihad untuk melawan musuh, Perdana Menteri Malaysia sebaliknya menyerahkan tentera untuk menjalani latihan bersama musuh, di bawah kendalian musuh! La Haula Wa La Quwwata Illa BiLlah!! Ini adalah satu pelanggaran yang sangat jelas terhadap hukum Islam, di samping mencerminkan hilangnya rasional serta empati terhadap nasib rakyat Palestin.
Tindakan Anwar ini sebenarnya tidak ada beza pun dengan para penguasa Muslim lainnya dalam isu Palestin, yang penuh dengan retorik, dan tidak ada pernah ada langkah konkrit dalam membantu Palestin. Di sebalik kewajipan memutuskan segala hubungan dengan ad-Duwal al-Muharibah Fi’lan (negara-negara kufur yang sedang berperang dengan umat Islam), dan berjihad melawan mereka, Anwar mengambil pendirian untuk meneruskan hubungan baik dengan musuh! Malaysia nampaknya bukan lagi sudah hilang perasaan terhadap apa yang berlaku di Palestin, malah sudah hilang kewarasannya! Sesungguhnya pengkhianatan para penguasa umat Islam terhadap Palestin sudah tidak dapat diungkap lagi dengan kata-kata. Mereka sepatutnya berusaha untuk menyelamatkan umat Islam dan membebaskan Palestin, sebaliknya tindakan mereka semakin memberi kekuatan kepada musuh-musuh Allah (swt) untuk membantai umat Islam.
Wahai tentera kaum Muslimin! Sedarlah bahawa penguasa kalian telah meletakkan kalian di bawah satu penghinaan dan kemaksiatan yang besar kepada Allah (swt), dengan tidak menggerakkan kalian untuk berjihad di jalan-Nya, bahkan “menyerahkan” pula kalian di bawah kendalian musuh-musuh kalian! Kalian seharusnya bergerak untuk menyelamatkan saudara-saudara kalian serta membebaskan sepenuhnya Tanah Palestin Yang Diberkati, sebaliknya kalian mentaati penguasa yang mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Mukminin. Takutlah kalian terhadap Allah (swt) yang boleh sahaja menggantikan kalian dengan satu kaum lain yang mencintai-Nya dan dicintai oleh-Nya – yang akan berjihad di jalan-Nya, tanpa rasa takut terhadap celaan orang-orang yang mencela:
﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴾
Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kalian yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. [Al-Ma’idah (5): 54].
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: Mykhilafah