Islam satu-satunya Jalan kepada Perubahan Hakiki
Mentaati Allah (SWT) dalam semua perkara – termasuk urusan politik – adalah satu kewajipan, seperti solat, puasa, zakat, atau haji. Ia adalah sebahagian daripada ikrar yang kita buat kepada Allah (SWT) apabila kita mengucapkan Syahadat, iaitu mengakui bahawa tiada ilah selain Allah (SWT). Sesungguhnya Allah tidak menciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadah – iaitu mentaati-Nya.
Allah SWT berfirman: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (TMQ Adz-Dzaariyaat [51]:56)
Dari segi pemerintahan (contohnya, urusan politik, ekonomi, dll.,) Allah (SWT) berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (TMQ An-Nisaa’ [4]:59)
“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” (TMQ An-Nisaa’ [4]:60)
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” (TMQ Al-Maaidah [5]:49)
Kewajipan untuk memerintah dengan perintah Allah (SWT) ini hanya wujud dalam satu cara: Khilafah.
Sahih Muslim meriwayatkan dari Abu Hazim, dia berkata:
“Aku menemani Abu Hurairah selama lima tahun dan mendengar dia bercakap tentang sabda Nabi (saw): ‘Para Nabi memerintah Bani Israel, setiap kali seorang Nabi meninggal, Nabi lain menggantikannya, tetapi tidak akan ada Nabi sesudahku. Akan ada Khulafaa’ dan mereka akan berjumlah banyak.’ Mereka bertanya: ‘Lalu apa yang kamu perintahkan kepada kami?’ Beliau berkata: ‘Tunaikan bai’ah kepada mereka satu demi satu dan berikan mereka haknya. Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada mereka tentang apa yang Dia amanahkan kepada mereka.’”
Selain itu, Rasulullah (SAW) bersabda:
“Barangsiapa yang melepaskan tangannya dari ketaatan, nescaya dia akan bertemu dengan Allah tanpa bukti bagi dirinya sendiri, dan barangsiapa yang mati tanpa ada bai’at di lehernya, maka dia mati sebagai kematian Jahiliyah.” (HR Muslim)
“ Sesungguhnya seorang imam adalah perisai, orang-orang berperang dari belakangnya dan menjadikannya pelindung,…” (HR Muslim)
“Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” (HR Muslim)
Dalam hadis-hadis ini, Rasulullah (SAW) dengan jelas mendefinisikan bahawa pemerintahan/kekuasaan umat Islam hendaklah dengan seorang Khalifah. Malah, selepas kewafatan Rasulullah (SAW), para Sahabat (RA) memastikan bahawa umat diperintah oleh seorang Amir/Khalifah, bermula dengan Abu Bakar (RA). Pada gilirannya, Ummah mengekalkan sistem ini selama lebih 1,300 tahun, iaitu, mentaati seorang Khalifah semasa memerintah Islam di negeri mereka, dari timur di Asia Tenggara hingga ke barat di Maghribi.