[Kenyataan Media] Anwar Sifatkan Musuh Allah, Musuh Rasul-Nya dan Musuh Kaum Mukminin Sebagai “Teman Sejati”!
Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India telah pun berakhir pada 21/08/2024. Seperti lawatannya ke China sebelum ini, Anwar menjanjikan kepada rakyat Malaysia potensi pelaburan yang berjumlah berbilion ringgit dari India sebagai membuktikan kejayaan lawatannya. Lawatan ke India kali ini menyaksikan pemeteraian lapan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan India serta tujuh MoU B2B (Perniagaan kepada Perniagaan) antara kedua-dua negara. Anwar turut mengadakan pertemuan dengan tiga syarikat gergasi korporat India iaitu Tata Group, Emami Agro Tech Limited dan HCL Technologies. “Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, kerana mengundang saya untuk lawatan rasmi ke India yang sangat memuaskan,” kata Anwar kepada media Malaysia selepas berakhirnya lawatan tersebut.
Begitulah lawatan seorang ketua negara sekarang ini, yang tidak lepas daripada misi mencari manfaat, bukannya misi untuk menyampaikan Islam kepada pemimpin kafir, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) dahulu. Walaupun sudah jelas terbukti bahawa Modi ialah seorang yang anti Islam dan anti Muslim, Anwar dilihat berjalan berpegangan tangan dengan rakan sejawatnya itu seperti teman yang sangat intim. Apa yang lebih menjengkelkan ialah apabila Anwar, dalam ucapannya, telah menyifatkan Modi sebagai seorang yang sangat baik dan “mere dosti” (teman sejati)!
Wahai Perdana Menteri Malaysia! Jika anda tidak tahu, biar kami terangkan kepada anda siapakah Modi dan parti hindunya yang ekstrem Bharatiya Janata Party (BJP). Sejak Modi dan partinya mula berkuasa pada 2014, India telah menjadi negara yang sangat berbahaya kepada Islam dan penduduk Muslim di sana, yang berjumlah kira-kira 200 juta (14%) dari keseluruhan 1.45 bilion penduduk. Modi telah mempromosikan idea kedaulatan Hindu dan melaksanakan segala polisi yang memihak kepada penganut Hindu. Dari sudut lain, dia telah masuk campur dalam urusan umat Islam hingga ke tahap menyekat beberapa perkara ibadat. Dari sinilah kaum Muslimin di India mula ditindas, dan penindasan semakin meningkat dari semasa ke semasa hingga ke tahap pembunuhan beramai-ramai. Modi mahu menjadikan India sebagai negara beragama Hindu sepenuhnya dengan menghapuskan Islam dan umat Islam di benua tersebut. Dia dengan lancang menuduh kaum Muslimin sebagai pendatang yang membahayakan penganut Hindu. Atas tuduhan liar dan propaganda yang dilakukannya, muncul ramai ekstremis Hindu yang mula menghina Islam, menyerang dan membunuh umat Islam, membakar dan memusnahkan masjid-masjid dan rumah-rumah, serta melakukan pelbagai bentuk kekejaman terhadap umat Islam, tanpa mengira wanita dan kanak-kanak yang lemah dan tak berdosa. Semuanya berlaku kerana polisi dan propaganda keji serta restu dari Modi.
Kaum Muslimin dibunuh sewenang-wenangnya hanya disebabkan mereka memakan daging lembu, atau dituduh menghina berhala kaum Hindu, atau kerana dituduh memandang perempuan Hindu. Kita tidak boleh lupa tragedi pada tahun 2002 di mana pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan oleh penyokong BJP di Gujarat, yang mana Modi adalah Ketua Menteri pada waktu itu. Ribuan umat Islam yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, telah dirogol dan dibakar hidup-hidup, menjadi cacat dan ramai yang hilang begitu sahaja akibat kekejaman pelampau Hindu. Ratusan ribu umat Islam telah kehilangan rumah dan harta benda dan terpaksa melarikan diri daripada puak fanatik Hindu yang mengganas. Pembantaian ini tercetus dengan restu daripada pihak berkuasa negeri yang diketuai oleh Modi.
Sejak berkuasa, Modi telah mempersiapkan India untuk melakukan apa yang dinamakan sebagai “chuddhi” (pembersihan), iaitu untuk mengembalikan berjuta-juta orang India yang telah memeluk Islam atau Kristian sejak dulu, ke agama Hindu. Ini kerana, Modi mendakwa bahawa nenek moyang mereka adalah Hindu. Jadi, cucu-cicit mereka mesti kembali kepada agama asal nenek moyang mereka. Untuk menjayakan agenda ini, Modi tidak putus-putus melakukan usaha dan propaganda secara meluas dan menyebarkan pembohongan serta tuduhan liar, untuk membuatkan penganut Hindu percaya bahawa hak-hak mereka sedang tergugat di negara mereka sendiri, dan agama, budaya serta kewujudan mereka sedang terancam, terutamanya oleh orang Islam.
Wahai Perdana Menteri Malaysia! Itu hanyalah secebis kejahatan, kekejaman dan agenda Modi yang terang lagi bersuluh terhadap saudara-saudara seakidah anda yang sedang berada di India. Terbaru, sejak meletusnya serangan Yahudi ke atas kaum Muslimin di Palestin, banyak laporan telah mendedahkan bantuan senjata yang begitu besar, yang dibekalkan oleh Modi kepada entiti haram Yahudi. Tidak hairanlah Modi diberi julukan “Neetanyahu Asia” atas tindakannya terhadap kaum Muslimin selama ni. Modi bukan sahaja membantai saudara-saudara kita di India, malah dia sanggup membantu siapa sahaja yang ingin membantai saudara-saudara kita di luar India! Sungguh besar kebencian dan permusuhan mereka terhadap Islam dan kaum Muslimin. Benarlah firman Allah (swt):
﴿لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا﴾
“Sesungguhnya kalian dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik” [Al-Ma’idah (5): 82]
Wahai Perdana Menteri Malaysia! Dengan semua kejahatan Modi yang jelas lagi nyata, dan banyak lagi yang tidak dapat diungkap di sini, bagaimana mungkin anda boleh menyifatkan Modi sebagai teman sejati, dan menjalin segala hubungan baik dengannya? Ke manakah perginya kewarasan anda? Tidakkah anda mendengar firman Allah (swt):
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya” [Ali Imran (3): 118].
Wahai kaum Muslimin! Kejahatan Modi wajib dihentikan segera, dan sebagaimana Palestin, India wajib dikembalikan ke tangan kaum Muslimin sepenuhnya. Namun, melihat kepada para penguasa kaum Muslimin pada hari ini, sememangnya tidak ada harapan untuk perkara ini berlaku. Satu-satunya harapan yang tinggal hanyalah dengan tegaknya Khilafah, dan di bahu setiap daripada kitalah terletaknya kewajipan untuk menegakkannya.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: mykhilafah