[Pemikiran Politik Islam] Lingkungan Politik (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Medium politik atau lingkungan politik adalah lingkungan orang-orang yang senantiasa mengikuti berbagai berita, aktiviti, serta peristiwa politik untuk memberikan pandangan politik mereka dalam rangka mengurus kepentingan umat. Dengan kata lain, lingkungan politik merupakan lingkungan para ahli politik (baik penguasa mahupun bukan) atau lingkungan tempat mereka hidup dan melakukan berbagai tindakan politik.
Lingkungan politik bervariasi sesuai dengan berbagai pemikiran yang dianut manusia dan digunakan untuk mengurus kepentingan mereka. Lingkungan politik juga bervariasi sesuai dengan perbezaan tahap peradaban. Itulah sebabnya negara-negara yang menganut ideologi kapitalisme memiliki lingkungan politik yang berbeza dengan negara-negara yang menganut ideologi komunisme. Begitu juga berbeza dengan lingkungan politik di negeri-negeri yang menganut ideologi Islam.
Demikian pula, negara-negara berperadaban maju mempunyai lingkungan politik yang berbeza dengan lingkungan politik yang terdapat pada negara-negara yang berperadaban lemah dan tertutup. Jadi, lingkungan politik yang terdapat di negara Perancis, misalnya, berbeza dengan lingkungan politik yang terdapat di negara seperti Rusia.
Demikian pula, lingkungan politik yang terdapat di Abbysinia berbeza dengan yang terdapat di negara seperti Kanada. Namun demikian, lingkungan politik yang terdapat di suatu negara, misalnya Amerika, boleh saja mirip dengan lingkungan politik yang ada di Lebanon, walaupun kedua negara tersebut berbeza tahap kebebasan dan kemerdekaannya.
Sebagaimana dinyatakan di atas, lingkungan politik adalah lingkungan para ahli politik. Mereka terlibat dalam berbagai aktiviti politik dan memberikan pendapatnya sesuai dengan sudut pandang dan pemikirannya mengenai kepentingan manusia serta cara mengurusnya.
Para ahli politik di Amerika Syarikat menganut idea kebebasan dan kapitalisme. Tujuan mereka adalah pemenuhan keinginan individu dalam kehidupan. Oleh kerana itu, mereka sepenuhnya liberal. Mereka menganggap bahawa membangkang terhadap pemerintah merupakan bahagian yang tidak terpisahkan dalam kehidupan politik mereka. Sedangkan kritikan yang agresif terhadap pemerintah mereka mahupun pihak lainnya dianggap merupakan salah satu hak mereka.
Hal ini berbeza dengan yang terjadi di Rusia pada masa-masa komunisme dan kejayaan Kesatuan Soviet. Para ahli politiknya menganut pemikiran pencapaian kolektif (kelompok) dan ideologi sosialisme-komunisme. Perhatian utama mereka tertuju pada perlindungan terhadap kelompok mereka. Mereka memandang pihak lain sebagai musuh dan lawannya.
Oleh kerana itu, dalam lingkungan politik di Amerika ditemukan suatu sikap berseberangan (pembangkangan) dan rencana-rencana menentang pemerintah di negeri mereka dan juga terhadap negara-negara lain, walaupun sama-sama negara kapitalis.
Lingkungan politik seperti itu berbeza dengan yang terdapat di Rusia pada masa kejayaan komunisme kerana di Rusia tidak ditemukan sikap berseberangan (opposition) terhadap pemerintah. Kritikan politik kepada pemerintah atau kepada negara lain tidak boleh dilakukan.
Dengan demikian, lingkungan politik di Amerika tidak terbatas meliputi pemerintah dan orang-orang yang mengurusi kepentingan rakyatnya saja. Namun, lingkungan politik di sana bersifat terbuka mencakup pemerintah dan selainnya, termasuk orang-orang yang mengurus kepentingan rakyat, baik secara praktikal mahupun yang melakukan aktiviti politiknya melalui lisan dan pemikiran.
Lingkungan politik yang dimaksud di sini adalah lingkungan yang memungkinkan keberadaan dan keterlibatan setiap individu di dalamnya. Lingkungan ini bukan yang bersifat eksklusif untuk penguasa saja, tetapi lingkungan yang boleh dimasuki oleh setiap orang. Dengan kata lain, lingkungan ini bukan lingkungan politik tertutup yang tidak dapat dimasuki oleh masyarakat umum.
Pada saat ini tidak terdapat lingkungan politik Islam akibat tidak adanya negara yang (sepenuhnya) diatur dengan pemikiran-pemikiran Islam. Namun demikian, pemerhatian sekilas pada sejarah Islam (khususnya pada masa-masa awal) menunjukkan adanya suatu lingkungan politik Islam, yakni ketika kaum muslim diatur dengan pemikiran-pemikiran Islam.
Lebih-lebih lagi pada saat sistem pemerintahan Islam diterapkan sebagaimana pemahaman para penguasa. Mereka berusaha merealisasikan tujuan Rasulullah SAW dalam kenyataan, iaitu ketika mereka disebut khalifah (penerus Nabi), bukan sekadar penguasa.
Sesungguhnya, negara Islam akan segera tegak kembali sesuai janji Allah SWT dan hal itu tinggal menunggu waktu. Oleh kerana itu, merupakan kewajipan bagi para pejuang yang berusaha menegakkan kembali aturan-aturan Islam untuk terlebih dahulu menggambarkan lingkungan politik Islam. Mereka juga perlu beraktiviti untuk mewujudkan suatu lingkungan politik agar mereka tidak asing dengan lingkungan politik Islam, sebagaimana mereka dulu asing dengan sistem pemerintahan Islam.
Pengamatan sekilas pada pemikiran Islam yang sebahagian di antaranya merupakan pemikiran yang berkaitan dengan sistem pemerintahan menunjukkan bahawa pemikiran Islam merupakan pemikiran politik. Lebih-lebih lagi, pemikiran Islam perlu ditegakkan dalam kehidupan sebagaimana pemikiran politik. Bahkan, pemikiran yang berhubungan dengan akidah Islam merupakan pemikiran politik.
Oleh kerana itu, hampir seluruh lingkungan politik Islam merupakan lingkungan politik. Lebih-lebih lagi, dalam negara yang diatur dengan sistem Islam, keberadaan lingkungan politik Islam merupakan suatu kewajaran (alamiah) dan kenescayaan. Fakta sejarah dan kenyataan menunjukkan bahawa suatu lingkungan politik hendaklah dibangunkan oleh kaum muslim.
Menggambarkan lingkungan politik Islam sebagaimana yang ada pada masa lalu, dapat dilakukan dengan cara mempelajari berbagai realiti dalam lingkungan politik. Hal ini dapat pula dilakukan dengan jalan mempelajari pemikiran-pemikiran Islam. Usaha untuk membangun lingkungan politik Islam, khususnya apabila Negara Islam telah berdiri, memerlukan perhatian, pelaksanaan, dan penerapan kesedaran politik, serta berbagai latihan dalam kehidupan.
Langkah pertama dalam usaha membangun lingkungan politik Islam adalah memiliki sekelompok orang yang senantiasa mengikuti berbagai berita, aktiviti, dan peristiwa politik di dunia. Para ahli politik ini perlu berusaha mengikuti berbagai aktiviti politik. Ini dilakukan agar mereka dapat memahaminya, lalu berupaya untuk mengurus kepentingan umat sesuai dengan pemahaman tersebut dan berlandaskan sudut pandang Islam.
Apabila orang-orang yang bermental ahli politik ini telah tersedia, langkah pertama untuk mewujudkan lingkungan politik dan hal-hal lain yang terkait telah selesai dilaksanakan. Sesungguhnya, adanya lingkungan politik akan membantu tegaknya negara. Begitu pula sebaliknya, lingkungan politik memerlukan tegaknya negara dan pemerintahan.
Oleh kerananya, masalah yang mendasar adalah mewujudkan usaha yang sungguh-sungguh dalam mengikuti berbagai aktiviti politik. Nantinya usaha ini akan digunakan sebagai landasan dalam mengurus kepentingan umat sesuai dengan pemikiran-pemikiran Islam. Seperti yang telah dikatakan, bahawa tujuan dari usaha mengikuti dan menganalisis berbagai berita dan aktiviti politik adalah untuk memberikan pandangan mengenai berbagai aktiviti politik kepada umat. Siapa pun yang tidak berusaha mengikuti berita dan aktiviti politik, dia bukanlah seorang ahli politik. Orang semacam itu tidak akan mampu berjuang membangun suatu lingkungan politik kerana dia tidak dapat memberikan segala sesuatu yang tidak dia miliki.
Orang-orang yang mengikuti setiap berita dan aktiviti politik, tetapi tidak berupaya menganalisisnya, mereka sama dengan orang-orang yang mengumpulkan informasi semata-mata untuk tujuan ilmu pengetahuan. Orang seperti ini hanya akan membahayakan dirinya dan orang lain. Ini kerana dia hanya dapat memberikan pendapatnya sesuai dengan bagaimana berita atau aktiviti politik itu muncul.
Tanpa analisis, dia akan tersesat dan menyesatkan orang lain. Oleh kerana itu, menganalisis setiap berita atau peristiwa sama pentingnya dengan usaha mengikuti berita dan peristiwa politik. Namun demikian, membataskan aktiviti hanya dengan mengikuti berita dan aktiviti politik, menganalisisnya, serta melaporkan hasil analisisnya kepada umat, tidak dapat menjadikan seseorang sebagai seorang ahli politik.
Orang seperti itu tidak akan mampu membangun lingkungan politik dan berfungsi di dalamnya. Aktiviti-aktiviti tersebut hanya akan menjadikannya sebagai seorang wartawan atau pemerhati politik yang dapat menjadikan suatu sumber berita dan sumber informasi yang baik, tetapi tidak dapat menjadi seorang ahli politik. Oleh sebab itu, dia pperlu menghubungkan pemerhatian dan analisisnya dengan usaha memberikan pandangannya kepada umat.
Dengan demikian, telah jelas bahawa tujuan dari usaha mengikuti dan menganalisis berita dan peristiwa politik adalah untuk memberikan pandangan tentang masalah tersebut kepada umat. Dalam kaitan itu, penyampaian pandangan mengenai suatu peristiwa politik tidak boleh dilakukan dari sudut pandang neutral.
Penyampaian pendapat dari sudut pandang neutral hanya akan menjadikan pendapat tersebut sebagai suatu presentasi tentang pemahaman seseorang. Penyampaian pendapat perlu dilandaskan pada suatu sudut pandang tertentu tentang kehidupan. Dengan kata lain, penyampaian pendapat mesti didasarkan kepada suatu kesedaran politik.
Barulah pendapat-pendapat yang disampaikan menjadi sesuatu yang mempunyai wajaran dan bernilai politik. Penyampaian pendapat dengan cara tersebut akan memberikan manfaat dalam upaya mengurus kepentingan umat.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.