TOP 14 PENEMUAN ISLAM TERPENTING DI ERA KHILAFAH
Oleh: Fahmi Amhar
Kehidupan sehari-hari di zaman moden ini tidak dapat dibayangkan seandainya tidak ada jejak karya ilmuwan Islam di dalamnya. Berikut ini adalah 14 penemuan terpenting yang dipilih dari laman sesawang Science Museum of Univ. of Manchester (www.1001inventions.com). Pemilihan dimulai dari yang paling dekat dengan semua orang, iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, urusan pendidikan dan kesihatan, pengangkutan, hiburan, hingga politik. Tentu saja, siapa pun boleh membuat senarai seperti ini sesuai selera masing-masing.
- Minum Kopi
Kita mulakan dengan minuman paling popular di dunia. Kononnya kopi ditemukan di Ethiopia, ketika seorang penggembala Muslim melihat kambing-kambingnya lebih segar setelah memakan biji-bijian dari sejenis tumbuhan. Dia lalu merebus biji tersebut dan membuat kopi pertama di dunia. Sejarah lalu mencatat setelah biji-biji kopi tersebut dibawa ke Yaman, digunakan oleh para sufi untuk menghilangkan rasa mengantuk tatkala beribadah di malam hari. Pada akhir abad 15 kopi tiba di Mekah dan Turki hingga akhirnya tiba di Venice pada tahun 1645. Kopi yang dalam bahasa Arabnya “qahwa”, di Turki disebut “kahve”, di Itali disebut “caffe”, dan di England disebut “coffee”.
- Tatacara Makan
Tatacara makan yang berupa tiga urutan hidangan makanan yang bermula daripada sup, diikuti dengan ikan atau daging, lalu makan buah dan kacang, diperkenalkan oleh Ali bin Nafi, yang dikenal popular dengan Ziryab di Cordoba pada abad 9. Dia juga memperkenalkan cara minum dengan gelas kristal (bukan lagi cangkir logam atau seramik).
- Memakai Sabun dan Syampu
Mencuci dan mandi adalah hal penting bagi umat Islam, tidak hairan jika mereka menyempurnakan resepi untuk sabun yang kita gunakan saat ini. Bangsa Mesir kuno atau orang Romawi sudah mengenal sabun, tapi orang Islamlah yang menggabungkan minyak sayuran dengan sodium hidroksida dan aromatik. Syampu diperkenalkan ke England oleh seorang Muslim yang membuka pemandian “Mahomed’s India Vapour bath” di pinggir laut Brighton pada 1759 M. Dari situlah syampu diperkenalkan dan beliau dianugerahkan waran pelantikan sebagai “pakar bedah syampu“ kepada kerabat diraja, Raja George IV dan William IV.
- Membentang Karpet
Karpet sebagai kelengkapan rumah yang selesa adalah produk teknik tenunan umat Islam, campuran bahan kimia tempatan dan corak yang ditata dengan rapi. Menurut pujangga Belanda Erasmus, sebelum rumah-rumah Eropah mengenal karpet, lantai-lantai biasanya ditutup dengan rumput, dan selama bertahun-tahun, ia menyimpan kahak, muntah, najis anjing dan banyak lagi. Tidak hairanlah bagaimana akhirnya karpet berkembang dengan cepat di sana.
- Taman untuk Meditasi
Bangsa Eropah sudah biasa memiliki dapur dan taman ubat-ubatan (herba), tapi orang-orang Islamlah yang mengembangkan gagasan kebun sebagai tempat keindahan dan meditasi. Taman dengan julukan “The Royal Pleasure Garden” pertama dibuka di Eropah pada abad ke-11 oleh Muslim Sepanyol. Di samping itu kita juga mengenal bunga yang berasal dari daerah kaum Muslim termasuk carnation dan tulip.
- Menulis dengan Pena
Tidak ada pendidikan tanpa tulis-menulis. Fountain pen (pena cair) diciptakan untuk Sultan Mesir pada 953 M setelah dia menuntut pena yang tidak akan mengotorkan tangan atau pakaian. Pena menyimpan dakwat dalam takungan dan sebagai pena moden, ia berfungsi berdasarkan sistem graviti dan sistem kapilari. Beratus-ratus tahun kemudian, di Eropah orang masih perlu menulis dengan bulu ayam yang titisan dakwatnya sering mengotorkan kertas atau tangan mereka.
- Mengira “Cara Arab”
Sistem angka mungkin berasal dari India tapi sistem perincian angka berasal dari Arab dan pertama kali muncul dalam karya Al-Khwarizmi dan Al-Kindi sekitar tahun 825 M. Isi buku al-Khawarizmi, Al-Jabr wa-al-Muqabilah, masih dipakai sehingga kini. Karya ini dibawa ke Eropah 300 tahun kemudian oleh ahli matematik Itali, Fibonacci. Algoritma dan banyak teori trigonometri datang dari dunia Muslim. Dan penemuan Al-Kindi mengenai analisis frekuensi telah menciptakan asas ilmu kriptologi moden.
- Alat Bedah
Hospital moden tidak boleh dibayangkan tanpa bilik pembedahan. Banyak peralatan bedah moden yang direka bentuk persis dengan yang dibuat pada abad ke-10 oleh Abu Qosim Az-Zahrawi. Pisau bedah, gergaji tulang, playar, gunting halus untuk pembedahan mata dan sebanyak 200 alat ciptaan lainnya tetap di guna pakai oleh ahli bedah moden. Dialah yang menemukan Catgut, alat yang digunakan untuk jahitan internal yang dapat melarut secara semulajadi (penemuan itu terjadi ketika seekor monyet menelan tali kecapinya) dan ternyata benda tersebut juga boleh digunakan untuk membuat kapsul ubat-ubatan. Pada abad ke-13, petugas perubatan Muslim lainnya bernama Ibn Nafis memperincikan tentang peredaran darah, 300 tahun sebelum William Harvey menemukannya. Doktor Muslim juga menemukan ubat bius daripada campuran opium dan alkohol serta menemukan jarum berongga yang dipakai untuk menyedut katarak daripada mata, sebuah teknik yang masih digunakan sampai saat ini.
- Vaksinasi
Teknik inokulasi dengan kuman yang lemah untuk merangsang imuniti nampaknya ditemui di dunia Islam dan dibawa ke Eropah dari Turki oleh isteri duta Inggeris ke Istanbul pada tahun 1724 Masihi. Kanak-kanak Turki telah diberi vaksin cacar lembu untuk melawan penyakit cacar yang membawa maut sekurnag-kurangnya 50 tahun sebelum Jenner dan Pasteur di Barat menemuinya.
- Aci engkol (crankshaft)
Aci engkol adalah peranti yang menukar putaran kepada gerakan linear dalam hampir semua mesin di dunia moden. Ciptaan mekanikal yang paling penting dalam sejarah manusia ini dicipta oleh Al-Jazari untuk mengangkut air untuk tujuan pengairan. Dalam bukunya tahun 1206 M mengenai Pengetahuan tentang Alat Mesin, beliau menunjukkan perincian penggunaan injap dan omboh, mereka-bentuk beberapa jam kuasa hidro dan mekanik berat, sekaligus menjadikan beliau bapa dunia robotik. Salah satu daripada 50 ciptaannya adalah kunci kombinasi.
- Pesawat Terbang
Penemu prinsip pesawat terbang atau kapal terbang adalah Abbas Ibnu Firnas, seribu tahun sebelum Wright bersaudara menambahkan mesin padanya. Abbas Ibnu Firnas pada tahun 852 M melompat dari menara Masjid Agung di Cordoba menggunakan jubah longgarnya yang dipadu dengan kayu. Dia berharap untuk meluncur seperti burung, sebaliknya yang diperoleh adalah apa yang kini dianggap sebagai parasut pertama. Pada tahun 875 M, ketika usianya sudah 70 tahun, setelah menyempurnakan alat terbangnya dengan memakai sutera dan bulu helang dia pun mencuba lagi, melompat dari sebuah gunung. Dia terbang dan mampu bertahan di ketinggian selama sepuluh minit namun jatuh ketika mendarat. Dia membuat kesimpulan bahawa ini berlaku kerana dia tidak memberikan ekor kepada perantinya supaya ia akan perlahan apabila mendarat.
- Kamera
Tidak mampu dibayangkan saat ini ada suatu acara pun tanpa diabadikan dengan kamera. Ibn al-Haitham adalah tokoh yang membuat kamera pin-hole pertama setelah mengamati cara cahaya datang melalui lubang di jendela-jendela. Semakin kecil lubang, semakin jelas bentuknya, dia lalu menghasilkan Kamera Obscura pertama (dari kata “qamara” dalam bahasa Arab untuk ruangan gelap atau ruang peribadi). Dia juga disebut sebagai orang pertama yang merancang secara fizikal sebuah pemikiran falsafah menjadi bentuk eksperimen ilmiah.
- Geografi
Tidak ada urusan politik tanpa geografi. Pada abad ke-9 M, ahli geografi Muslim telah menganggap bahawa bumi itu bulat. Ibn Hazm mengatakan, “bahawa matahari selalu vertikal terhadap satu titik tertentu di Bumi, itu adalah bukti bumi itu bulat”. Hal itu terjadi 500 tahun sebelum Galileo. Ahli astronomi Muslim menghitung lilitan bumi kira-kira 40,253 km – hanya 253 km melebihi perkiraan semasa. Al-Idrisi membawa glob yang menggambarkan dunia ke Raja Sicily, Roger II pada 1139 M.
- Senjata Api
Senjata api adalah kelengkapan standard pasukan polis dan tentera di mana pun pada saat ini. Orang China mencipta serbuk mesiu (peledak), dan menggunakannya dalam bunga api mereka, tetapi jurutera Muslim yang memurnikannya dengan kalium nitrat untuk tujuan ketenteraan. Pada abad ke 15 mereka telah membuat roket, yang mereka disebut sebagai “telur bergerak sendiri dan membakar”, dan sebuah terpedo paduan bom berbentuk buah pir dengan tombak di bahagian depan yang akan menusuk dirinya dan meledak bila ditembakkan ke kapal musuh.
Semua penemuan ini terjadi kerana adanya sinergi para ilmuwan yang terdidik dan diprasaranakan oleh Daulah Khilafah, kemudian disebarkan ke seluruh dunia dengan semangat rahmatan lil ‘alamin.