Penjagaan Tubuh : Amanah Seorang Muslimah
Penulis : Lia Syuhada
Tubuh adalah amanah daripada Allah SWT yang harus dijaga dengan baik. Seorang Muslimah harus memahami bahawa menjaga dan merawat tubuh adalah satu ibadat kepada Allah SWT. Menjaga tubuh merupakan bentuk syukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah. Dalil yang menunjukkan bahwa Allah menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk terdapat dalam al-Qur’an. Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” [TMQ at-Tin (95):4].
Ayat ini menegaskan bahawa Allah menciptakan manusia dengan keindahan dan kesempurnaan, baik dari segi fizikal mahu pun potensi spiritual. Hal ini menjadi salah satu sebab untuk umat Islam menjaga tubuh dan kesihatan mereka sebagai bentuk syukur atas ciptaan yang sempurna ini. Artikel ini akan membahas pentingnya menjaga tubuh dan cara-cara yang dapat dilakukan untuk merawatnya sesuai dengan ajaran Islam.
Pertama, tubuh yang sihat memerlukan amalan pemakanan yang seimbang. Seorang Muslimah haruslah bijak dalam memilih makanan yang baik dan seimbang kerana ia penting untuk kesihatan tubuh. Pemakanan yang sihat ini memberikan tenaga dan membina sistem imuniti dalam badan. Hal ini secara tidak langsung membolehkan Muslimah menjalani kehidupan yang lebih aktif. Pengambilan makanan yang seimbang adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang harus diikuti untuk memenuhi amanah yang diberikan Allah.
Kedua, cara untuk menjaga kesihatan tubuh adalah dengan melakukan senaman dan aktiviti fizikal secara teratur. Hal ini bukan sahaja dapat mengawal berat badan malah mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kencing manis dan penyakit jantung, serta meningkatkan sistem imuniti badan, meningkatkan stamina dan kesejahteraan mental. Contoh aktiviti fizikal yang boleh dilakukan oleh Muslimah adalah seperti berjalan kaki, senaman ringan, olahraga dan aktiviti harian. Apabila badan dalam keadaan sihat dan cergas maka amal ibadat dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkualiti.
Ketiga, menjaga aurat adalah salah satu aspek penting dalam menghormati tubuh. Sorang Muslimah seharusnya berpakaian sesuai dengan syariat Islam sebagai penghormatan kepada diri sendiri dan perintah Allah. Hal ini mencerminkan nilai-nilai integriti dan rasa hormat dalam masyarakat. Selain itu, menjaga aurat juga boleh memberikan rasa aman dan nyaman dalam berinteraksi sosial.
Keempat, kesihatan mental dan emosional juga sangat penting bagi Muslimah. Muslimah perlu memberi perhatian kepada kesejahteraan mental dengan mengamalkan teknik pengurusan stress seperti seperti meditasi, berdoa atau bersiar-siar yang mana dapat membantu mengatasi tekanan harian. Selain itu, berkongsi perasaan dengan orang terdekat atau mencari sokongan profesional juga boleh dilakukan. Kesejahteraan mental dan emosi yang baik akan mempengaruhi kesejahteraan keseluruhan dan kemampuan untuk menjalani kehidupan dengan lebih positif. Muslimah diberikan kelebihan dengan menjaga kesihatan mental melalui pembacaan al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT. Cara ini dapat memberikan ketenangan, membina kesabaran dan kekuatan untuk berhadapan dengan ujian hidup.
Kelima, Muslimah juga perlu memperuntukan masa dengan memberi diri peluang untuk rehat serta pulih kembali. Rehat yang mencukupi membantu tubuh dan minda untuk berfungsi dengan baik. Rehat boleh mengembalikan tenaga, meningkatkan fokus dan mengurangkan stres. Aktiviti seperti tidur yang berkualiti, bersantai, atau melakukan hobi boleh membantu menyegarkan tubuh dan minda. Melalui aktiviti-aktiviti ini akan memberi ruang untuk refleksi dan membentuk peribadi yang lebih rasional dalam menjalani kehidupan.
Memang sangat penting bagi Muslimah untuk meningkatkan kesedaran tentang pendidikan kesihatan. Akses kepada informasi yang tepat mengenai kesihatan dapat membantu mereka membuat keputusan yang bijak berkaitan dengan gaya hidup, pemakanan dan penjagaan diri. Dengan pengetahuan yang baik, mereka dapat mengambil langkah-langkah pencegahan, memahami isu kesihatan yang mungkin dihadapi dan merawat diri dengan lebih efektif. Selain itu, pendidikan kesihatan juga dapat mempromosikan kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Sebagai penutup, menjaga tubuh adalah satu aspek yang tidak boleh diabaikan. Tubuh yang sihat dan terpelihara membolehkan seorang Muslimah menjalani kehidupan yang lebih produktif dan bermakna. Mereka perlu memberikan perhatian kepada pemakanan, aktiviti fizikal dan kesihatan mental supaya dapat memenuhi tanggungjawab sebagai hamba Allah, isteri dan anggota masyarakat dengan lebih baik. Penjagaan tubuh bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, tetapi juga menjadi bentuk penghormatan kepada amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW,
“Tidak seorang pun diizinkan bergerak daripada kedudukannya pada hari akhirat sehingga dia menjawab bagaimana dia menghabiskan hidupnya, bagaimana dia gunakan pengetahuannya, dari mana dia memperoleh dan ke mana dia belanjakan hartanya dan bagaimana dia gunakan kesihatannya.” [HR Tirmidzi].