[Hadits Shiyam] Rezeki Berada di Tangan Allah Taala (Bahagian 1/2)
Allah SWT berfirman, “Kami tidak meminta rezeki kepadamu. Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” [TMQ Thaha (20): 132].
“Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [TMQ Asy-Syuura (42): 19].
“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.” [TMQ Al-Maaidah (5): 88].
“Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).” [TMQ Al-Baqarah (2): 212].
“Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi.” [TMQ Faathir (35): 3].
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab sahihnya, bahawa Nabi SAW bersabda, “Seandainya engkau bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, maka pasti (Allah memberikanmu) rezeki, sebagaimana seekor burung (yang pada pagi hari terbang keluar sarangnya) dalam keadaan lapar, tetapi (pulang pada petang hari) dalam keadaan kenyang.”
Nas-nas di atas menyandarkan permasalahan rezeki seluruhnya hanya kepada Allah SWT dan bersandarkan kepada-Nya. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa Allahlah yang memberikan rezeki kepada manusia.
Selain nas-nas yang disebut di atas, masih banyak nas-nas lain yang menisbahkan dan menyandarkan permasalahan rezeki hanya kepada Allah SWT saja. Semua itu menunjukkan sandaran yang hakiki dan tujuan dari persoalan rezeki. Jadi, ia bukanlah persoalan penciptaan perbuatan (untuk meraih rezeki) dengan penciptaan rezeki itu sendiri, sebagaimana yang difahami dari ayat lain.
Adapun apa yang terdapat (dalam nas) yang menisbahkan rezeki terhadap selain Allah, maka hal itu bukan dimaksudkan menyandarkan rezeki kepada manusia. Pemahaman seperti ini sesungguhnya tidak dijumpai, baik di dalam ayat mahupun hadis. Sebab, Allah sendirilah yang memberikan rezeki. Rezeki itu dinisbahkan kepada manusia (sebagai perantara), yang disampaikan kepada manusia lainnya sebagai pemberian. Contohnya, dalam firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 5].
Maksud ayat ini adalah berikanlah kepada mereka makanan. Ini pun jika yang dimaksudkan rezeki itu sama dengan harta, iaitu setiap benda yang memiliki nilai seperti kata (waksuhum) dalam ayat tersebut. Contoh lainnya adalah firman Allah SWT, “Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya” [TMQ An-Nisaa’ (4): 8].
Ayat ini bermaksud berilah mereka rezeki dari hasil yang kalian usahakan. Ini berupa perintah untuk memberikan rezeki tersebut, bukan menisbahkan rezeki kepada mereka. Jadi, tidak ada nisbah rezeki dengan makna sebagai pelaku (pemberi rezeki-peny.), kecuali Allah Taala.
Firman Allah (nahnu narzukukum) atau pun (wa rizqu rabbika) atau juga ayat (kulu wasyrabu min rizqillahi), semuanya menunjukkan bahawa nisbah rezeki disandarkan kepada Allah. Makna seperti ini perlu difahami apa adanya.
Tidak diterima takwil makna-makna lainnya. Allah SWT satu-satunya Yang Maha Memberi Rezeki dan rezeki itu ada di tangan Allah sahaja. Firman Allah, “Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya!” [TMQ Yunus (10): 31].
Akidah umat Islam dalam soal rezeki ini sepatutnya menerima bulat-bulat apa yang telah dijelaskan dalam ayat-ayat yang sangat jelas bentuknya. Namun, kadang-kadang apabila melihat usaha yang mereka lakukan itu mendatangkan keberuntungan, timbul keraguan terhadap apa yang mereka terima dengan sepenuh hati iaitu Allah satu-satunya Yang Maha Memberi Rezeki.
Kemudian keluarlah dari mulut mereka bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Pemberi Rezeki, tetapi ini adalah kerana hasil kerja keras mereka. Ini menunjukkan rezeki itu datang hasil usaha mereka, bukan dari Allah. Ini juga bermaksud, jika mereka tidak berusaha, nasib baik tidak akan datang. Malah, mereka melihat sendiri bahawa rezeki juga diberikan kepada orang yang tidak berusaha.
Puncanya adalah kerana masyarakat mencampur adukkan isu pemilikan dan rezeki dengan keadaan yang boleh mendatangkan rezeki. Juga bercampur dengan sebab-sebab tertentu yang mendatangkan rezeki. Pada dasarnya, terdapat perbezaan antara pemilikan dan rezeki.
[Bersambung ke Bahagian 2]
Sumber: Hadits Shiyam