Memuliakan Ilmu
Oleh: Arief B. Iskandar
Imam Malik Rahimahullah adalah salah seorang ulama yang sangat memuliakan ilmu. Diriwayatkan, dalam sebuah kunjungan ke Kota Madinah untuk menziarahi makam Rasulullah SAW, Khalifah Bani Abbasiyyah ketika itu, Harun ar-Rasyid, tertarik untuk mengikuti kajian Kitab Al-Muwaththa’ karya Imam Malik.
Atas sebab itu, Khalifah menghantar Yahya bin Khalid al-Barmaki untuk memanggil Imam Malik. Namun, Imam Malik menolak untuk datang menghadap Khalifah sambil berkata kepada utusan Khalifah itu, “Al-‘Ilmu yuzâr wa lâ yazûr, yu’tâ wa lâ ya’tî (Ilmu itu dikunjungi, bukan mengunjungi. Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi).” (Lihat: Al-‘Ashami, Samth an-Nujûm al-‘Awâlî fî Anbâ’ al-Awâ’il at-Tawâlî, II/2014).
Demikianlah sikap Imam Malik. Di tangan beliau, ilmu benar-benar diletakkan pada kedudukan yang mulia dan terhormat. Bukan mudah untuk direndahkan atau dipandang rendah. Bahkan oleh seorang penguasa besar, seperti Khalifah Harun ar-Rasyid sekalipun.
Inilah yang juga dilakukan oleh Imam Malik. Demi untuk menuntut ilmu dan mengumpul hadis, beliau sanggup mendatangi tidak kurang 900 orang ulama dalam majlis mereka. Tidak jarang beliau menempuh perjalanan yang sangat jauh. Dengan segala penat-lelahnya, wajarlah Imam Malik menjadi salah seorang ulama terkemuka pada zamannya sehingga kini.
Bukan sahaja Imam Malik, semua ulama—dengan ilmu mereka, juga dengan segala penat-lelah mereka dalam menimba ilmu—menempati kedudukan yang mulia. Bukan sahaja di tengah-tengah umat, tetapi juga di sisi Allah SWT. Bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Demikianlah firman Allah SWT (Lihat: surah al-Mujadilah [58]: 11).
Memang, tidak semua muslim dapat mencapai kedudukan sebagai ulama atau menjadi orang yang berilmu. Tiada masalah. Sebab, yang wajib dan dituntut ke atas setiap muslim ialah belajar atau menuntut ilmu. Hal ini sekaligus merupakan cara dalam memuliakan ilmu. Kerana itu benarlah apa yang dinyatakan oleh Abu ad-Darda’ RA. Seperti yang dinukilkan oleh Imam Ahmad rahimahulLaah dalam kitabnya, Az-Zuhd:
أُطْلُبُوا الْعِلْمَ، فَإِنْ عَجَزْتُمْ فَأَحَبُّوا أَهْلَهُ، فَإِنْ لَمْ تُحِبُّوْهُمْ فَلاَ تُبْغِضُوْهُمْ
“Carilah oleh kalian ilmu. Jika kalian lemah (dalam menuntut ilmu), cukuplah mencintai ahli ilmu (para ulama). Jika kalian tidak dapat mencintai ulama, maka jangan sesekali membenci mereka.”
Namun begitu, kewajipan belajar atau menuntut ilmu hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Bukan dengan main-main dan tidak serius. Generasi salafus-soleh terdahulu kebanyakannya serius dan bersungguh-sungguh dalam belajar dan menuntut ilmu. Sabar. Tidak mudah bosan. Apatah lagi berputus asa. Kerana itu, para penuntut ilmu sentiasa mengamalkan apa yang dinyatakan oleh sebahagian ulama salaf:
مَنْ لَمْ يَصْبِرْ عَلَى ذلِّ التَّعلُّمِ بَقِيَ عمُرَه فِي عِمَايَةٍ الْجَهَالَةِ، وَمَنْ صَبَرَ عَلَيْهِ آلَ أمرُه إلى عزِّ الدُّنيا والآخرةِ
“Sesiapa yang tidak sabar atas kesulitan dalam belajar, pasti dia akan menghabiskan hidupnya dalam kesesatan kerana kebodohan. Sebaliknya, sesiapa yang sabar dalam belajar, dia akan mencapai kemuliaan di dunia dan akhirat.” (Ibnu Jamaah, Tadzkirah as-Saami’ wa al-Mutakallim, hlm. 91).
Penuntut ilmu juga benar-benar memahami dan sudah tentu mengamalkan apa yang dinyatakan oleh Imam Syafie Rahimahullah:
مَنْ لَمْ يَذُقْ ذُلَّ التَّعَلُّمِ سَاعَةً، تَجَرَّعَ ذُلَّ الْجَهْلِ طُوْلَ حَيَاتـِهِ
“Sesiapa yang tidak pernah merasai kehinaan (kesulitan/penderitaan) dalam menuntut ilmu walau sesaat, nescaya dia pasti akan menelan kepahitan akibat kebodohan sepanjang hidupnya.” (Asy-Syafii, Diiwan al-Imaam asy-Syaafi’i, hlm. 33-34).
Oleh itu, cara seorang penuntut ilmu memuliakan ilmu tidak lain adalah dengan “menghinakan” dirinya di hadapan ilmu. Salah satu caranya ialah dengan bersungguh-sungguh dalam belajar dan menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi, ilmu tidak mungkin dapat dicapai kecuali dengan belajar penuh keikhlasan, kesungguhan, kerja keras dan segala pengorbanan.
Kerana itulah penuntut ilmu sentiasa mengamalkan kata-kata ulama berikut:
اَلْعِلْمُ لاَ يُعْطِيْكَ بَعْضَهُ حَتَّى تُعْطِيْهِ كُلَّكَ
“Ilmu itu tidak akan memberi kamu walaupun hanya sebahagiannya daripadanya sehingga kamu berkorban untuk ilmu itu seluruh jiwa-ragamu.” (Qadhi Abu Yusuf, Al-Jaami’ li Akhlaaq ar-Raawi, 2/174).
Kerana itu dikatakan juga:
وَإِذَا أَعْطَيْتَهُ بَعْضَكَ لَمْ يُعْطِكَ شَيْئًا مِنْهُ
“Jika engkau hanya mengorbankan sebahagian daripada dirimu dalam menuntut ilmu, maka ilmu tidak akan memberi kamu bahagiannya walaupun sedikit.”
Cara lain untuk memuliakan ilmu ialah dengan memuliakan mu’allim (guru) dan ulama. Sebanyak mana pun ilmu yang dicapai oleh seorang pelajar, hal itu tidak akan menjadi berkat jika dia tidak memuliakan gurunya (mu’allim) dan ulama. Lebih-lebih lagi sampai merendah-rendahkan mereka.
Dalam Kitab Kifâyah al-Atqiyaa’ wa Minhâj al-Ashfiyaa’, disebutkan: “Barangsiapa yang merendahkan gurunya maka Allah SWT akan menimpakan tiga musibah berat kepada dirinya: (1) Lupa atas ilmu yang telah dihafalnya; (2) Tumpul lisannya (dalam menyampaikan ilmu); (3) Hidup dalam keadaan faqir di akhir hayatnya.” (Lihat juga: An-Nawawi, Salaalim al-Fudhala, hlm. 84).
Dengan demikian, memuliakan guru dan ulama adalah satu kemestian. Untuk itu, kata-kata Imam Ali RA berikut patut difikirkan bagi mereka penuntut ilmu. Beliau berkata:
أَنَا عَبْدُ مَنْ عَلَّمًنِي حَرْفًا وَاحِدًا إِنْ شَاءَ بَاعَ وَإِنْ شَاءَ اسْتَرَقَ
“Aku adalah hamba sahaya dari siapapun yang mengajar aku walaupun hanya satu huruf. Jika dia mahu, dia boleh menjual diriku. Jika dia mahu, dia boleh menjadikan diriku kekal sebagai hambanya.” (Az-Zarnuji, Ta’liim al-Muta’allim, hlm. 15-16).
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.
#MemuliakanIlmu