Nahdhah Fikriyah Disember 2024
[NF133] Pendidikan Tinggi Membentuk Muslimah Ideal
Penulis : Hidayah Muhammad
Muqaddimah
Sejak bermulanya serangan dahsyat ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, rejim Zionis secara sengaja menyasarkan dan memusnahkan bangunan sekolah serta institusi pendidikan di sana. Mengikut data United Nations Childrens Fund (UNICEF), 564 sekolah di Gaza musnah akibat dibom Israel dalam masa 10 bulan terakhir (Oktober 2023 – Ogos 2024). Dianggarkan hampir 93% sekolah di Gaza mengalami kemusnahan teruk, dan 85% sekolah perlu dibina semula. Sekolah-sekolah di wilayah lain seperti Deir el-Barah, Khan Younis dan Rafah juga turut dibedil oleh rejim Zionis sehingga rosak dan musnah.
Selain itu kesemua 12 buah universiti yang terdapat di Semenanjung Gaza turut dibedil. Sebahagiannya musnah sama sekali, manakala beberapa buah lagi mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat beroperasi. Pengeboman ke atas institusi pendidikan yang terdapat di Gaza bukanlah benda baru. Pada Tahun 2021, Ketua Pengarah Perhubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Gaza, Ahmed Abu Ayesh Alnajjar berkata “Sejak 1948, Israel sengaja menyasarkan (untuk menghancurkan) institusi pendidikan kerana sekolah adalah sumber pengetahuan utama bagi anak-anak kami. Mereka mahu mewujudkan generasi yang jahil, mereka mahu rakyat Palestin buta huruf. Israel tahu jika sebuah negara dipenuhi dengan orang yang tidak tahu membaca atau menulis, mudah untuk mengawalnya,” katanya dalam temu bual menerusi telefon dengan Bernama dari Gaza.
Kadar Celik Huruf Tertinggi di Dunia
Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, kadar buta huruf dalam kalangan rakyat Palestin adalah 2.2% (2022) dan hanya 1.9% (2023). Kadar celik huruf mereka adalah tertinggi di dunia iaitu 98%. Menewaskan negara-negara yang lebih maju dan kaya seperti Arab Saudi, UAE dan lain-lain. Perkara ini sewajarnya menjadi contoh buat seluruh umat Islam.
Walaupun rakyat Palestin hidup dalam keadaan perang tetapi semangat mereka dalam menuntut ilmu sangat tinggi. Bukan itu sahaja, semangat mereka dalam menyumbang tenaga untuk mendidik anak-anak Palestin juga wajar dijadikan contoh teladan bagi kita.
Salah seorang Muslimah Palestin bernama Jihad Butto yang telah menggenggam ijazah pada usia 85 tahun membuktikan bahawa menuntut ilmu merupakan satu keperluan tanpa mengenal usia. Ibu kepada 7 orang anak ini memilih untuk menyambung pengajiannya bahkan mendapat ijazah daripada Kfar Bara Center for Islamic Studies. Menerusi ilmu yang beliau peroleh, beliau kini mencurahkannya kepada wanita-wanita di kawasannya pula dengan mengajarkan mereka pelbagai topik.
Seorang lagi sosok Muslimah yang turut menyumbang dalam bidang pendidikan di Palestin adalah Noor Nassar iaitu seorang wanita Palestin yang mewujudkan sebuah sekolah bergerak bagi membantu kanak-kanak yang tidak dapat hadir ke sekolah akibat konflik dan peperangan. Idea untuk mewujudkan sekolah bergerak yang diberi nama ‘School Without Borders’ (sekolah tanpa sempadan) itu muncul selepas beliau mendapati ada kanak-kanak di tahun pertama persekolahannya tidak dapat mengira satu hingga sepuluh. Katanya,
“Saya berjaya mengubah kanak-kanak yang tidak berminat untuk bersekolah semasa perang, menjadi minat untuk belajar.”
Seterusnya, Intisar al-Arabid iaitu seorang Muslimah yang tidak pernah berputus asa dalam mencurahkan ilmu kepada anak-anak muridnya. Walaupun sekolah-sekolah dimusnahkan oleh rejim zionis namun guru ini mempunyai inisiatif untuk mengajar murid di tempat perlindungan di kota Rafah secara percuma bagi anak-anak yang ingin bersekolah. Langkah itu dilakukan agar pendidikan anak-anak Gaza tidak berhenti akibat peperangan.
Kurikulum yang diajarkan al-Arabid di sekolahnya meliputi Matematik, ilmu pengetahuan dan bahasa Arab. Namun, beliau berasa sukar untuk terus mengajar kerana kekurangan pen, kertas, buku catatan dan buku pelajaran. Oleh sebab itu, beliau membuat keputusan untuk lebih fokus mengajar para murid untuk menghafal dengan mengatakan bahawa hal itu akan membantu mereka untuk menjadi lebih cerdas dan fokus.
Kepentingan Ilmu Untuk Membentuk Muslimah Ideal
Pada pandangan Islam, pendidikan bukan sekadar medium untuk memindahkan ilmu. Melalui pendidikan, keperibadian Islam dalam diri pelajar dapat terbentuk dengan pola pemikiran Islam dan pola sikap Islam. Pemikiran Islam adalah berkaitan dengan kefahaman pelajar tentang hukum-hukum Islam (wajib, sunnah, mubah, makruh dan haram). Manakala pola sikap Islam pula berkaitan dengan tingkah laku pelajar mengikut syariat Islam dalam semua aspek kehidupan.
Apabila seseorang meningkatkan pemahaman Islamnya melalui pembelajaran, maka sekaligus telah menguatkan aqliyah Islamiyah dan akan meningkatkan ketaatannya untuk menguatkan nafsiyah Islamiyahnya. Inilah proses untuk membentuk muslimah ideal, perlu ilmu yang bermanfaat (Islam) yang mampu membentuk keperibadian yang terzahir pada pola fikir dan pola sikap.
Khatimah
Bagi rakyat Palestin pendidikan adalah senjata untuk menentang kekejaman rejim Zionis. Walaupun rejim zionis telah memusnahkan sekolah dan institusi pendidikan, namun rejim zionis tidak dapat memusnahkan atau mematikan semangat mereka dalam menuntut ilmu.
Prof Dr Abdul Fattah El-Awaisi berkata, “Jika kamu ingin Baitul Maqdis terbebas dengan cepat, maka kamu perlulah mempersiapkan keilmuanmu dengan banyak mambaca dan mempelajari ilmu yang bermanfaat. Apakah itu ilmu bermanfaat? Ilmu yang boleh membawamu dekat kepada Allah, ialah Islam.”
Rujukan:
- https://www.google.com/amp/s/www.astroawani.com/berita-dunia/pendidikan-senjata-utama-rakyat-palestin-perang-penguasaan-isreal-299854%3famn=1
- https://harakahdaily.net/index.php/2024/04/24/israel-musnahkan-semua-12-universiti-di-gaza/
- https://www.ismaweb.my/2024/09/09/palestin-catat-penurunan-85-peratus-kadar-buta-huruf-dalam-2-dekad-lalu/
- https://muslimahhtm.com/2024/10/25/nasib-buruk-anak-anak-akibat-konflik-di-dunia/
- https://www.astroawani.com/berita-dunia/genggam-ijazah-pada-usia-85-tahun-wanita-palestin-ini-buktikan-ilmu-merentas-masa-dan-usia-326185
- https://harakahdaily.net/index.php/2024/06/19/wanita-palestin-wujudkan-sekolah-bergerak-di-gaza/
- https://spritofaqsa.or.id/pendidikan-tak-boleh-putus-guru-palestina-buka-kelas-untuk-anak-anak-gaza.html
- https://youtube/BzaX4zbfMEO?si=ub1P9bzPdvSaLYHS

