[Have Your Say #MuslimahIdeal]
Kekuatan dan Sumber Semangat Muslimah Palestin
Gharizatul baqa’ memainkan peranan penting dalam membentuk manusia. Naluri ini jika diimbangi oleh keimanan dan panduan syariat, akan menjadikan manusia bukan sekadar bertahan untuk kelangsungan hidup duniawi, tetapi juga demi mendapat keredhaan Allah SWT. Inilah salah satu faktor yang membentuk sikap kaum Muslimah di Palestin yang kita saksikan tetap teguh menghadapi tekanan, penindasan, dan penjajahan. Naluri ini, yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap manusia, mendorong mereka untuk mempertahankan hidup, kehormatan diri dan keluarga, serta agama walaupun berhadapan dengan situasi yang amat mencabar.
Selain itu, Muslimah Palestin juga sentiasa mempunyai harapan yang teguh kepada janji Allah dan yakin bahawa keadilan serta pertolongan Allah pasti tiba menjadikan mereka tidak mudah putus asa. Mereka percaya bahawa setiap titisan air mata dan pengorbanan akan dibalas di akhirat kelak. Harapan inilah yang menjadi bahan bakar semangat mereka, kerana mereka tahu bahawa ujian ini hanyalah sementara. Kekuatan yang ada pada mereka ini menjadikan mereka Muslimah ideal yang patut dicontohi oleh semua lapisan masyarakat.
Aisyah Abdul Hakim
Pelajar IPT