Pemikiran Islam Menyelamatkan Manusia
Oleh: Aslah
Pemikiran Islam merupakan satu khazanah yang tak ternilai yang telah meletakkan Islam dan umatnya di titik kegemilangan tertinggi pada satu masa dahulu. Ini kerana pemikiran Islam mampu mengubah manusia dari penghambaan terhadap manusia berubah menghambakan diri kepada pencipta manusia iaitu Al-Khaliq, dari pemikiran yang rosak dan dangkal kepada pemikiran yang cemerlang, dari ikatan yang sementara kepada ikatan yang kukuh dan kekal, dari hubungan berasaskan manfaat semata kepada hubungan berasas akidah, dan dari keduniaan kepada redha Allah.
Persoalannya, kenapa setelah begitu indah dan bagusnya gambaran pemikiran Islam membentuk dan mengubah manusia, umat Islam saat ini terlihat ‘Indah khabar dari rupa’ sahaja? Realitinya, umat Islam kini justeru sinonim dengan keterbelakangan, ketinggalan dalam ilmu pengetahuan dan kemajuan sains teknologi, kemunduran ekonomi, kemiskinan, peperangan dan kerosakan anak muda dan remaja.
Jika kita ceritakan mengenai masalah sosial remaja yang semakin tidak dapat dibendung, sudah cukup memeningkan kepala kita untuk berfikir kenapa itu semua terjadi. Kurangnya minat belajar dalam kalangan anak muda sehingga merekodkan trend penurunan dalam pendaftaran di Institut Pengajian Tinggi. Mereka berpendapat ilmu yang diperoleh tidak berguna kerana ada cara lebih mudah untuk menjadi kaya secara instant iaitu menjadi pempengaruh di media sosial.
Malah lebih parah, masalah jenayah seksual dan pembunuhan yang meningkat sehingga manusia kini tidak lagi merasa selamat walaupun berada di dalam rumah sendiri. Paling tidak, hukum buatan manusia yang dikiblatkan oleh umat Islam kini menghukum para pelaku jenayah seksual ini hanya maksima penjara 30 tahun sahaja. Jelas, masalah-masalah ini sebenarnya berpunca daripada jauhnya dan lemahnya pemikiran Islam di kalangan umat Islam sendiri.
Pemikiran Islam yang sepatutnya menjadi landasan dalam berfikir, membuat penilaian dan bertingkah laku tidak lagi dipelajari, apalagi diamalkan. Islam saat ini seolah-olah hanya sebuah agama yang mengatur ibadah dan akhlak individu sahaja. Sedangkan Islam merupakan sebuah cara hidup lengkap yang datang daripada Al-Khaliq, pencipta alam semesta dan kehidupan. Makanya, cara berfikir umat lah yang perlu diubah, kembali mengambil ajaran Islam dan mengamalkan dalam kehidupan.
Nescaya kita akan menyaksikan umat sangat gemar bahkan berlumba-lumba untuk menuntut ilmu seperti saat kegemilangan Islam dahulu. Negara Islamlah yang memulai institusi pengajian tinggi. Para pemuda pemudi Islam menjadi orang yang minat membaca dan belajar kerana mengharapkan ganjaran di akhirat sebagaimana firman Allah, “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (Surah Al-Mujadalah : 11).
Apa yang perlu dilakukan oleh umat saat ini ialah belajar Islam secara kaffah sehingga terbentuk pemikiran dan pemahaman Islam yang jelas dan tersusun sehingga mampu membangun keperibadian Islam dan itu sebenarnya perlu berguru. Malah turut memerlukan peranan negara yang menerapkan sistem pendidikan Islam yang berasaskan akidah dan mengusahakan media hanya untuk menyebarkan ilmu pengetahuan yang mendidik dan meningkatkan ketakwaan.