[HADIS] Setiap Kebajikan adalah Sedekah
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Tidak ada alasan sedikit pun bagi seorang Muslim untuk tidak bersedekah. Baik ia kaya ataupun miskin. Tidak perlu menunggu kaya untuk bersedekah. Orang miskin juga boleh bersedekah. Ini kerana, amalan sedekah tidak semestinya perlu berupa harta. Ia boleh juga berupa sumbangan tenaga, pemikiran ataupun ucapan. Bahkan sekadar senyuman yang tulus juga termasuk bersedekah, sebagaimana sabda Nabi SAW:
تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَأَمْرُكَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيُكَ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَإِرْشَادُكَ الرَّجُلَ فِي أَرْضِ الضَّلَالِ لَكَ صَدَقَةٌ وَبَصَرُكَ لِلرَّجُلِ الرَّدِيءِ الْبَصَرِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِمَاطَتُكَ الْحَجَرَ وَالشَّوْكَةَ وَالْعَظْمَ عَنْ الطَّرِيقِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِفْرَاغُكَ مِنْ دَلْوِكَ فِي دَلْوِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
“Senyummu di hadapan wajah saudaramu adalah sedekah. Amar makruf nahi mungkarmu adalah sedekah. Petunjuk jalanmu kepada orang tersesat adalah sedekah. Pencerahanmu kepada orang yang lemah adalah sedekah. Tindakanmu membuang kerikil, duri dan tulang-belulang dari jalanan adalah sedekah. Tindakanmu menuangkan air dari bekas airmu ke bekas air saudaramu adalah sedekah.” (HR at-Tirmidzi).
Para Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya memborong banyak pahala. Mereka solat seperti kami solat. Berpuasa seperti kami berpuasa. Bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Beliau bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kalian apa yang dapat kalian sedekahkan?
Sungguh setiap tasbih adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap memerintah kepada kemakrufan adalah sedekah. Setiap melarang kepada kemungkaran adalah sedekah. Bahkan bersenggama (dengan isteri) kalian ada sedekahnya juga.” (HR Muslim, Abu Dawud dan Ahmad).
Alhasil, siapapun kita, kaya atau miskin, tetap perlu membudayakan sedekah dengan melakukan pelbagai amal kebajikan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang lain:
كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ
“Setiap kebajikan adalah sedekah.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Wa maa tawfiiqii illa bilLaah.