[Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam]
Nasionalisme di Iran dan Pakistan
- Iran
Munculnya nasionalisme Iran boleh ditelusuri kembali ke abad ke-19 sepanjang tempoh penyusupan kaum misionaris ke negeri kaum muslim. Sejak saat itu, Iran juga mengalami berbagai intervensi, pendudukan, dan kolaborasi asing. Akan tetapi, tempoh kunci yang perlu untuk digarisbawahi adalah masa sejak meletusnya apa yang disebut “Revolusi Islam” pada 1979 yang telah mengubah bentuk negeri itu secara total.
“Revolusi Islam” di Iran telah menghapus sistem kerajaan Syah Iran dan menggantikannya dengan sistem yang didakwa sebagai sistem Islam. Namun, jika kita mencermati lebih dalam, sistem pemerintahan Iran masih jauh dari sistem Islam yang sesungguhnya. Sekalipun jilbab dan khimar merupakan hal yang biasa ditemui, demikian juga dengan janggut dan suara azan bukanlah hal yang asing, tetapi hukum yang diterapkan mencerminkan hukum bukan Islam. Selain itu, perlembagaan Iran mengharuskan bahawa ketua negara adalah orang Iran. Hal ini jelas bertentangan dengan Islam. Sebabnya, suku, ras, dan warna kulit bukanlah syarat untuk jawatan sebagai ketua negara. Jadi, “Revolusi Islam” Iran pun tidak mencabut nasionalisme, tetapi sebaliknya lebih menguatkannya.
- Pakistan
Pakistan dibentuk pada 1947 untuk memberi ruang hidup kepada orang-orang muslim di benua kecil India. Sekalipun visi yang disebarkan secara meluas kepada umat adalah bahawa Pakistan akan menjadi negara Islam, tetapi dalam kenyataannya Pakistan telah dibentuk sebagai negara nasionalis yang sekular. Pada 11 Ogos 1947, Perhimpunan konstituen Pakistan bersidang buat pertama kali di Karachi. Dalam sidang itu, Muhammad Ali Jinnah yang terpilih untuk memimpin perjalanan sidang mengatakan, “Saya kira kita perlu selalu mengingat cita-cita kita. Anda akan menjumpai bahawa seiring dengan waktu berjalan, orang-orang Hindu akan berhenti menjadi Hindu dan orang Islam berhenti menjadi Islam. Namun, itu bukan dalam segi keagamaan, sebab hal itu merupakan keimanan individu dalam peribadi masing-masing. Akan tetapi (yang saya maksud adalah) dalam segi politik sebagai warganegara. …” [1]
Ketika seorang muslim meninggalkan identitinya sebagai muslim dalam aspek politik, hal ini bermakna bahawa Islam tidak akan memiliki peranan sedikit pun dalam roda pemerintahan. Dia memang akan tetap melaksanakan ibadah ritualnya, tetapi dia akan menjadi seorang sekular kerana sekularisme adalah pemisahan agama daripada urusan bernegara.
Jadi, pandangan Jinnah tentang Pakistan adalah sebagai negara sekular. Lebih-lebih lagi orang-orang Islam juga diserukan untuk berpendirian di bawah slogan nasionalisme, Pakistan Zindabad (Pakistan Abadi) yang sering terdengar sampai saat ini, baik di Pakistan mahupun di luar Pakistan.
Pembentukan negara Pakistan sebenarnya dimaksudkan untuk menyatukan dan membangkitkan kaum muslim. Akan tetapi percubaan ini telah cacat sejak dari awalnya, ketika timbul perselisihan antara Pakistan Timur dan Pakistan Barat. Sekalipun faktanya lebih dari separuh penduduk di seluruh Pakistan berbicara dalam bahasa Bengali, kaum elit penguasa di Pakistan Barat malah menetapkan Bahasa Urdu sebagai bahasa negara dengan alasan bahasa ini digunakan di Pakistan Barat.
Kenyataan ini diperburuk dengan anggapan bahawa orang Bengali merupakan etnik yang lebih rendah kedudukannya sehingga tanggungjawab pemerintah dipegang oleh orang-orang dari Pakistan Barat. Selain itu, sebahagian besar pembangunan industri juga dilakukan di Pakistan Barat sehingga orang-orang Bengali menjadi semakin terpinggirkan.
Faktor-faktor ini dan juga hasutan yang dilakukan oleh India untuk menghancurkan kesatuan kaum muslim telah menyebabkan perebutan pengaruh antara kekuatan Pakistan Timur dan Barat.
Kemuncaknya, perebutan pengaruh ini berkembang menjadi permusuhan antara etnik, iaitu yang disebut etnik Pakistani dan etnik Bengali. Nasionalisme mencapai klimaksnya pada 1971 ketika Zulfikar Ali Bhutto menolak untuk menyerahkan kekuasaan kepada Mujibur Rahman dari Pakistan Timur yang memenangi pilihanraya umum dengan kemenangan yang sangat tipis. Mujibur Rahman lalu mendirikan Negara Bengali yang kemudian disebut Bangladesh. Dengan demikian porak-porandalah kesatuan Pakistan.
Membangun Pakistan berdasarkan pada garis nasionalisme tidaklah mampu menyelesaikan permasalahan kaum muslim. Perpecahan kaum muslim telah menyebabkan mereka lemah dari aspek ketenteraan mahupun ekonomi, khususnya Bangladesh yang bahkan sampai saat ini senantiasa dirundung penderitaan akibat kemiskinan dan korupsi yang merajalela.
Nota kaki:
[1] Speeches of Quaid Azzam, Mohammed Ali Jinnah as Governor-General of Pakistan, Sind Observer Press, Karachi, 1948.
Sumber: Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam