[Kenyataan Media] Belasungkawa Atas Pemergian Seorang Pengembang Dakwah
﴿مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً﴾
“Di antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka, di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (pula) yang sedang menunggu-nunggu (giliran), dan mereka tidak merubah (janjinya)” [Al-Ahzab (33): 23].
Hizbut Tahrir Malaysia berbelasungkawa, dan menerima qadha’ Allah (swt) atas pemergian salah seorang anggotanya yang dihormati:
USTAZ SYAHRIL BIN NOHONG (ABU QAIM BI AMRILLAH)
yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Rabu 25 Jumadil Akhir 1446 H bersamaan 25 Disember 2024 M di Sandakan, Sabah. Ustaz Syahril, 46 dijemput oleh Allah (swt) ke sisi-Nya semasa tidur, dengan meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.
Beliau merupakan generasi awal Hizbut Tahrir di Sandakan, Sabah, dan seorang yang terkenal zuhud, peramah, komited dan sangat ikhlas dalam perjuangannya menegakkan agama Allah. Di saat kebenaran sampai kepadanya, beliau terus menerimanya tanpa sedikit pun persoalan. Beliau telah menghabiskan seluruh hidupnya dengan belajar, mengajar dan memperjuangkan Islam serta berusaha mendirikan Khilafah tanpa jemu dan lelah. Di sebalik kehidupannya yang serba kekurangan, beliau tidak pernah goyah mahupun mengeluh dalam perjuangan, dan sungguh beliau merupakan seorang sahabat yang sangat baik dan disenangi ramai.
Semoga Allah (swt) mengampuni segala dosanya, menerima segala amalannya, melapangkan dan memperindah tempat istirahatnya, dan seterusnya menempatkan beliau di syurga-Nya bersama para Nabi, as-Siddiqin, asy-Syuhada’ dan as-Solehin; dan semoga Allah (swt) memberikan ketabahan serta kesabaran kepada ahli keluarga yang ditinggalkannya. Walaupun kami sangat sedih dan berduka dengan pemergiannya, namun kami hanya mengucapkan sesuatu yang diredhai oleh Rabb kami:
﴿ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴾
“Sesungguhnya kita ialah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali” [Al-Baqarah (2): 156].
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia