[Nafsiyah] 7 LANGKAH AGAR ISTIQAMAH
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
SETIAP Muslim tentulah menginginkan agar boleh kekal istiqamah di dalam ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Lalu apakah langkah-langkah yang mesti ditempuhi agar kita mampu tetap istiqamah dalam ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT?
Terdapat beberapa perkara yang mesti dilakukan, antaranya ialah:
Pertama, beriman secara benar dan lurus. Keyakinan, ucapan dan tindakan kita hendaklah menyatu. [Lihat: TMQ Ibrahim (14): 27]
Kedua, mengkaji, menghayati dan mengamalkan seluruh isi al-Quran. [Lihat: TMQ an-Nahl (16): 102; TMQ al-Furqan (25): 32].
Ketiga, menjalankan segala amalan dengan ikhlas dan selalu berusaha untuk terikat dengan syariah Islam. [TMQ al- Bayyinah (89): 5].
Keempat, banyak melakukan amalan-amalan sunnah—seperti solat malam, puasa sunat, dll—selain konsisten dalam menjalankan pelbagai kewajipan.
Kelima, membaca kisah-kisah orang soleh terdahulu sehingga boleh dijadikan teladan dalam bersikap istiqamah. Dalam al-Quran banyak diceritakan kisah-kisah para nabi, rasul dan orang-orang yang beriman yang terdahulu. Kisah-kisah ini Allah SWT jadikan untuk meneguhkan hati Rasulullah SAW dan tentunya orang-orang Mukmin [Lihat: TMQ Hud (11): 11].
Keenam, bergaul dengan orang-orang soleh. Allah SWT menyatakan dalam al-Quran bahawa salah satu sebab utama yang menguatkan para Sahabat adalah keberadaan Rasulullah SAW di tengah-tengah mereka. Allah SWT juga memerintahkan agar kita selalu bersama dan bergaul dengan orang-orang yang baik [Lihat: TMQ at Taubah (9): 119]. Para ulama turut menasihatkan agar kita selalu dekat dengan orang-orang soleh [Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 8/435].
Ketujuh, memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar diberi sifat istiqamah. Allah SWT memuji orang- orang beriman yang selalu berdoa kepadaNya untuk meminta keteguhan iman ketika menghadapi ujian [Lihat: TMQ Ali ‘Imran (3): 146-148; TMQ al-Baqarah (2): 250; TMQ Ali Imran (3): 8).]
Wa maa tawfiiqii illaa billaah.