Khilafah Telah Hilang, Prof. Syarifuddin: Tiada Lagi Perlindungan dan Keamanan Umat Islam
Oleh: Rahmah
Aktivis Dakwah Malaysia, Prof. Dr. M. Syarifuddin Mohd Zain menyatakan bahawa Khilafah yang telah hilang menyebabkan tiada lagi perlindungan dan keamanan bagi umat Islam.
“Khilafah yang telah hilang menyebabkan tiada lagi perlindungan dan keamanan bagi umat Islam,” terangnya dalam Seminar Khilafah dan Alam Melayu di laman Facebook Abdul Hakim Othman- Jurucakap HTM, Sabtu (25/01/2025).
Beliau menyatakan, umat Islam pada hari ini bukan sahaja menghadapi penindasan dan kezaliman, tetapi juga keliru kepada siapa mereka perlu meminta pertolongan.
“Tidak pernah ada di mana-mana zaman pun, apabila umat Islam dibunuh dan dibantai, tidak ada yang melindungi. Kita orang Islam sendiri merasa bingung dan keliru, kepada siapa perlu kita minta pertolongan atas segala kezaliman yang kita hadapi,” ujarnya.
“Khilafah pernah memainkan peranan penting dalam kesatuan dan perlindungan bagi umat Islam. Hilangnya Khilafah, bagaimanapun telah menyebabkan umat Islam kehilangan banyak perkara penting, termasuk perlindungan dan kesatuan,” katanya.
Menurutnya, Khilafah adalah kepimpinan umat Islam di seluruh dunia. “Ia bukanlah sesuatu yang pelik. Ada ilmuwan yang belajar hingga ke Timur Tengah, tetapi kata Khilafah telah disalahertikan dengan perkataan ‘khilafiah‘ (perbezaan pendapat). Sampai sebegitu hilangnya Khilafah daripada kehidupan, kesedaran dan jiwa kaum Muslimin,” katanya.
Pentingnya Khilafah
Beliau menjelaskan, Khilafah adalah kepimpinan umum di seluruh dunia, kerana Rasulullah SAW diutus untuk menjadi rahmatan lil ‘alamin.
“Khilafah bukan khusus untuk orang Arab atau tempat tertentu saja. Rasulullah SAW diutus untuk menjadi rahmatan lil-‘alamin, bukan rahmatan lil-Arab atau rahmatan lil-Melayuwi,” jelasnya.
Beliau menyatakan bahawa Islam mengatur kehidupan dalam seluruh aspek kehidupan termasuk pemerintahan.
“Jika hendak buang air kecil sahaja Islam mempunyai peraturan, maka tidak mungkin tidak ada peraturan tentang sistem pemerintahan. Sistem pemerintahan dalam Islam adalah sistem Khilafah. Khilafah itu negaranya, Khalifah itu pemimpinnya,” jelasnya.
Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mati sedangkan di pundaknya tiada baiat (kepada khalifah), maka matinya seperti mati jahiliyah.” (HR Muslim).
Menyikapi hadis di atas, beliau menegaskan tentang pentingnya berusaha untuk mengajak kepada penegakan kembali Khilafah agar terlepas daripada dosa seperti mati jahiliah.
“Saya yakin kalau kita sampaikan tentang Khilafah dalam perbincangan dengan kawan-kawan atau siapa pun yang kita jumpa, Allah SWT akan mengeluarkan kita daripada dosa mati dalam keadaan jahiliyah ini. Sebab kita berusaha agar umat Islam membaiat seorang Khalifah,” ujarnya.
Dalam konteks Nusantara, beliau menjelaskan bahawa Khilafah Uthmaniyah memainkan peranan penting dalam sejarah hubungan dengan kesultanan di Nusantara, terutamanya dengan Kesultanan Aceh dan Kesultanan Melaka.
Menurutnya, terdapat surat menyurat antara Kesultanan Aceh dan Khilafah Uthmaniyah berkaitan pengiktirafan Sulaiman al-Qanuni sebagai Khalifah.
“Sultan dari Aceh telah menulis surat dan menyatakan Sulaiman al-Qanuni diakui sebagai Khalifatul fil ardh,” katanya.
Lanjutnya, Khilafah Uthmaniyah juga memberikan gelaran pasha kepada Sultan Melayu Melaka sebagai bukti adanya hubungan erat pada waktu itu.
“Sultan Mansur Shah dari Melaka turut diberikan gelaran “Mansur Pasha” oleh Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1471,” ujarnya.
Beliau menerangkan, selepas kejatuhan Khilafah, hubungan diplomatik antara Nusantara dan Khilafah terputus dan kehidupan umat Islam diatur dengan sistem sekular.
“Namun setelah keruntuhan sistem Khilafah, sistem sekular telah menggantikan sistem syariat Islam yang akhirnya menghancurkan kekuatan umat Islam,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa umat Islam berhadapan dengan situasi yang semakin menekan di seluruh dunia dan perlunya kesedaran akan pentingnya khilafah dan semangat kebangkitan untuk mengembalikannya.
“Semangat kebangkitan dan mengembalikan khilafah perlu menjadi agenda utama umat Islam pada hari ini. Dalam satu hari kita perlu bercakap dengan orang mengenai kewajipan menegakkan khilafah, mengenai perkara-perkara baik yang akan kita dapatkan ketika khilafah kembali tertegak,” simpulnya.