HAKIKAT HIDUP ZUHUD
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Setiap Muslim sejatinya berlaku zuhud di dunia yang fana ini. Begitu pentingnya zuhud, Imam al-Hasan al-Bahsri sering menasihati Khalifah Umar bin Abdul Aziz agar sentiasa hidup zuhud kerana kata beliau, “Zuhud itu menenangkan hati dan badan. Sesungguhnya Allah SWT pasti akan menanyai kita tentang perkara halal yang kita nikmati. Lalu bagaimana dengan perkara haram yang kita nikmati?” (Abu Bakar al-Baihaqi, Kitâb az-Zuhd al-Kabîr, 1/68).
Persoalannya, apakah itu zuhud? Imam Hanbali menjawab, “Zuhud itu ada tiga jenis. Pertama: Meninggalkan yang haram. Ini adalah zuhud orang biasa. Kedua: Meninggalkan perkara mubah/halal yang tidak bermanfaat. Ini adalah zuhud orang istimewa. Ketiga: Meninggalkan semua perkara yang menyibukkan dari usaha mengingati Allah SWT. Ini adalah zuhud orang yang arif (yang makrifat kepada Allah SWT, pen.).” (Madârik as-Sâlikîn, II/14).
Lalu bagaimana supaya kita boleh hidup zuhud? Dalam hal ini, Imam al-Hasan al-Bahsri memberi nasihat kepada kita, “Sesiapa yang mengenal hakikat Allah SWT akan mencintai-Nya. Sesiapa yang mengenal hakikat dunia akan zuhud terhadapnya.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, Mukhtashar Minhâj al-Qâshidîn, 1/339).
Apa yang pasti zuhud bukanlah bererti menjauhi dunia atau hidup dalam kemiskinan. Sufyan ats-Tsauri berkata, “Zuhud bukanlah bermaksud mesti memakan makanan yang keras (tidak sedap), dan bukan juga memakai pakaian dari kain kasar. Namun, zuhud adalah membatasi angan-angan dan bersungguh-sungguh dalam menunggu kematian (dengan banyak beramal).” (Sîrah Sufyân ats-Tsawrî, t.p, t.t.).
Akibatnya, mungkin orang kaya, tetapi kekayaan mereka tidak menyebabkan mereka mencintai dunia. Dia justeru menggunakan hartanya sebagai sarana untuk terus mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Dia memanfaatkan hartanya untuk beribadah kepada Allah SWT, berinfak di jalan-Nya, bersedekah membantu fakir miskin, berwakaf untuk kepentingan Islam dan umat Islam, dsb. Kerana, kata Imam Ali KW, “Zuhud itu ialah kamu lebih percaya dengan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di tanganmu sendiri.”
Kerana yakin bahawa balasan yang ada di sisi Allah SWT itu lebih baik, Abu ad-Dahdah tidak segan-segan mewakafkan kebunnya yang menumbuhkan 900 pohon kurma (yang tentunya dapat menghasilkan wang berbilion setahun, pen.) kepada Rasulullah SAW. (HR Abu Ya’la dan ath-Thabrani). Bagaimana dengan kita?
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.
#hadis #hidupzuhud