[Siri Sinar Ramadhan] Ramadhan Bulan al-Quran
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Firman Allah SWT: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang hak dan yang batil)” [TMQ al-Baqarah (2): 185].
Penurunan Al-Quran di Bulan Ramadhan
Berdasarkan ayat di atas, Ibnu Katsir mentafsirkan bahawa Allah SWT memuliakan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain di mana bulan ini terpilih sebagai bulan turunnya al-Quran. Ayat ini turut menjelaskan bahawa Ramadhan adalah bulan yang istimewa kerana di dalamnya Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan panduan bagi umat manusia serta memberikan penjelasan tentang kebenaran (hak) dan kebatilan (batil).
Peristiwa penurunan al-Quran ketika Lailatul Qadar, merupakan salah satu malam yang terdapat dalam bulan Ramadhan. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Lailatul Qadar” [TMQ al-Qadr (97): 1]. Kaum muslim sangat dianjurkan untuk meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana keutamaan malam tersebut berdasarkan firmanNya, “Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan” [TMQ al-Qadr (97): 3].
Hikmah di Sebalik Penurunan Al-Quran pada Bulan Ramadhan
Penurunan Al-Quran pada bulan mulia ini membawa pelbagai hikmah dan pengajaran. Beberapa hikmah utama yang dapat diambil daripada penurunan Al-Quran di bulan Ramadhan adalah:
Petunjuk Hidup: Al-Quran memberikan petunjuk jelas dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Di bulan Ramadhan, setiap kaum muslim digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran, memahami maknanya, dan mengamalkannya dalam kehidupan.
Membezakan antara Hak dan Batil: Al-Quran bukan sahaja menjadi sumber petunjuk, tetapi menjadi panduan dalam membezakan mana yang benar dan yang salah. Dalam bulan Ramadhan, setiap umat Islam diberikan peluang untuk membersihkan diri daripada segala bentuk dosa dengan memperbanyakkan amal ibadah serta menjauhi perkara yang dapat merosakkan iman.
Mendekatkan Diri kepada Allah: Ramadhan memberi peluang kepada setiap kaum Muslim untuk memperbaiki hubungan dengan Allah melalui ibadah seperti solat Terawih, membaca al-Quran, dan perbanyakkan berdoa. Penurunan Al-Quran pada bulan ini memberi motivasi untuk lebih mendalami kitab Allah SWT, sebagai sumber petunjuk dan rahmat.
Oleh itu, bulan Ramadhan harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menghayati ajaran al-Quran serta melaksanakannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.