[ Opini Muslimah Ideal ]
Hentikan Budaya Buli !
Secara peribadi, anak lelaki saya pernah dibuli oleh insan yang bergelar guru sewaktu di sekolah rendah. Ianya satu kejadian yang sangat menyakitkan hati seorang ibu dan menyedihkan kerana guru tersebut telah mencalar akauntabiliti keguruan. Sebagai ibu yang pernah bertugas sebagai guru, saya segera membuat laporan kepada pihak pentadbir secara bertulis dan bersemuka. Namun penyelesaian yang dijanjikan yang diputuskan kedua belah pihak tidak kunjung tiba dan akhirnya sepi begitu saja. Tindakan lanjut bersama pihak sekolah tidak dapat diteruskan kerana kami sekeluarga berpindah ke negeri lain. Walaupun hampir 5 tahun berlalu ianya tetap segar diingatan anak saya. Jelas sekali pihak sekolah mahu menutup mulut mengenai isu guru membuli pelajar ini. Tidak sepatutnya institusi pendidikan mempunyai pendirian menyebelahkan guru walaupun guru tersebut cemerlang di sekolah seterusnya menutup mata dan telinga hingga mengabaikan kebajikan dan hak seorang pelajar.
Isu buli ini tidak akan berkesudahan jika pihak pentadbir sekolah tidak bersungguh-sungguh membanterasnya baik guru atau pelajar sebagai pelaku. Akhirnya setiap mangsa buli terbiar rosak emosi dan mentalnya, mengganggu keperibadiannya serta mencederakan fizikalnya. Lebih parah apabila mangsa buli meninggal dunia tanpa pembelaan sewajarnya. Bacalah di media sosial betapa banyak kes buli setiap hari di pelbagai jenis institusi. Kita semua boleh menilai setiap satunya.
Tidak ada cara lain untuk saya, anak-anak saya, ibu bapa dan anak-anak yang lain terlepas dari pengalaman yang menyakitkan ini, juga pengadilan yang tidak adil, melainkan menggantikan sistem rosak ini dengan sistem terbaik yang telahpun tercatat dalam kitab suci Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah S.A.W. Hanya syariat Islam yang tiada cacat cela yang mampu mengatur dan mengurus kehidupan manusia di dunia. Imam Malik meriwayatkan sebuah hadis iaitu maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi S.A.W).”
Wallahualam.
———————————————————–
*Segmen khas sharing umum dari sahabat muslimah sempena Kempen Muslimah Ideal : Seni Membentuk Generasi Pemimpin