[Siri Sinar Ramadhan] Meninggalkan Dusta
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan masih melakukannya, maka Allah SWT tidak berhajat (tidak menerima) kepada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya (iaitu puasanya)” [HR Bukhari].
Hadis ini memberi peringatan kepada mereka yang berpuasa tetapi masih melakukan perbuatan berdusta. Maksud utama hadis ini adalah ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menuntut kita menjaga akhlak dan tingkah laku.
Jika seseorang masih berbohong atau melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam, puasanya sah tetapi tidak mendapat pahala dan hilang nilai spiritualnya. Oleh itu, Rasulullah SAW menegaskan bahawa Allah SWT tidak berhajat kepada kelaparan dan dahaga yang ditanggung oleh orang yang berpuasa tetapi tetap berbuat dosa.
Hadis ini menjadi peringatan penting untuk memastikan puasa bukan hanya secara fizikal, tetapi juga secara penghayatan dan perbuatan. Peringatan Rasulullah SAW tentang kerugian yang menimpa orang berpuasa namun tidak mendapat sebarang pahala ini perlu diambil perhatian serius oleh semua umat Islam. Keadaan ini pasti mempunyai kaitan dengan tingkah laku sepanjang berpuasa.
Perkara yang boleh merosakkan ibadah puasa ialah berdusta dalam pertuturan seharian. Mungkin ada orang yang sudah sering berkata dusta. Dengan berpuasa, sepatutnya dia dapat menjauhkan diri daripada berdusta. Boleh jadi pendustaan dibuat dalam suasana gurauan. Namun perlu disedari bahawa perbuatan berdusta tetap haram di sisi Islam meskipun gurauan.
Jelaslah bahawa ibadah puasa bukan sahaja melibatkan hubungan manusia dengan Allah SWT sahaja, tetapi juga hubungan manusia sesama manusia dan juga dengan diri sendiri. Allah SWT tidak memandang amalan puasa orang yang berdusta dan amat rugilah orang yang berpuasa tetapi masih berdusta kerana apa yang mereka dapat hanyalah lapar dan dahaga.