[Nota Ibu Muslimah Ideal] Syukur Membawa Berkat
Seorang ibu pernah bertanya, “Kenapa anak saya selalu meminta lebih? Dia ada banyak mainan, tetapi masih tidak puas hati. Apa yang saya silap?”
Jawapannya mudah: anak itu belum diajar untuk bersyukur.
📖 Firman Allah SWT:
“ Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras” (TMQ Ibrahim [14]:7)
Dalam kehidupan moden hari ini, kita mudah lupa untuk bersyukur. Anak-anak kita dikelilingi oleh iklan yang menggoda mereka untuk sentiasa mahukan lebih – lebih mainan, lebih gajet, lebih hiburan. Jika kita tidak mendidik mereka untuk menghargai apa yang mereka ada, mereka akan membesar menjadi individu yang tamak dan tidak puas dengan kehidupan.
Bagaimana mendidik anak-anak untuk bersyukur?
• Ajar mereka mengucapkan “Alhamdulillah” dalam setiap keadaan. Bila dapat hadiah, bila sihat, bila selesai makan, biasakan mereka untuk berterima kasih dan bersyukur kepada Allah.
• Jangan biasakan mereka dengan kemewahan berlebihan walaupun ibu bapa mampu. Jika mereka dapat semua yang mereka mahu tanpa usaha, mereka tidak akan menghargainya.
• Galakkan mereka berkongsi dan bersedekah. Jadikan ibadah sedekah sebagai rutin amalan rutin kekeluargaan. Ajak mereka memberi sebahagian daripada duit atau mainan mereka kepada yang memerlukan.
• Tunjukkan teladan dengan bersyukur dalam kehidupan seharian. Jika kita sebagai ibu selalu merungut, anak-anak akan belajar perkara yang sama. Betulkan ibu-ibu? Jadi berhati-hatilah dalam bercakap dan bersikap wahai ibu-ibu.
Ayuh ibu-ibu, mari kita refleksi diri:
Pernahkah kita duduk bersama anak-anak dan berbincang tentang erti syukur dalam kehidupan?
Adakah kita selalu mengingatkan mereka bahawa bukan semua orang di dunia ini bernasib baik seperti mereka?
Ibu-ibu sekalian, anak-anak yang belajar bersyukur sejak kecil akan membesar menjadi insan yang rendah hati dan berakhlak baik. Mulakan dengan ajaran kecil hari ini, dan lihat bagaimana ia membentuk peribadi mereka untuk masa depan.