Tidak Boleh Menyerupai Orang Kafir Walaupun Dengan Alasan Toleransi Agama
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman mengatakan bahawa haram bagi orang Islam untuk menyerupai orang kafir dalam ucapan dan sambutan perayaannya atas alasan toleransi agama.
“Umat Islam dilarang menyerupai orang kafir dalam ucapan dan perayaannya atas alasan toleransi agama,” jelasnya dalam siri Kupas Tuntas bertajuk Toleransi Agama: Sejauh Mana? di akaun Facebook Jurucakap HTM, Jumat (7/02/2025).
Beliau menyebutkan, ada dalil umum ada menyatakan, siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka. “Ini dalil umum yang mengharamkan orang Islam menyerupai orang orang kafir,” tegasnya.
“Kita tidak dibenarkan mengikut ucapan orang kafir, termasuklah ucapan-ucapan yang khusus pada perayaan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, toleransi mengajar kita bahawa setiap kaum yang mempunyai agama yang berbeza-beza kena bertolak ansur di antara satu sama lain sehingga melibatkan isu agama termasuk perayaan orang-orang kafir. “Sebagai negara yang bermasyarakat majmuk, memang kita tidak dapat lari daripada isu toleransi ini,” katanya.
“Bagi kita, itu perayaan mereka, ada kepercayaan mereka, ada keyakinan mereka dengan perayaan mereka yang selama ini kita tidak masuk campur. Tetapi atas dasar toleransi, menjaga keharmonian kaum, kesejahteraan kaum, kesejahteraan negara dan sebagainya, maka kita kena meraikan kesemua perayaan kaum ini. Dan juga bukan sekadar meraikan, kita pergi bersama dengan mereka untuk merayakan,” tegasnya.
Asal idea toleransi agama ini, lanjutnya, adalah daripada pemikiran sekularisme dan pluralisme. “Pluralisme menyatakan semua agama itu sama. Tidak ada satu agama pun yang boleh mengatakan ia adalah agama yang benar,” jelasnya.
Beliau melanjutkan, Barat menginginkan supaya dalam masyarakat atau pun dalam negara tidak boleh ada satu agama yang mendominasi agama lain. Kalau ada satu agama mendominasi agama yang lain, ini tidak toleran.
“Inilah sebenarnya konsep sekularisme. Agama tidak boleh mengatur masyarakat dan negara sebab kalau agama mengatur masyarakat dan negara, maka akan ada satu agama yang dominan, yang akan mengatasi agama-agama yang lain,” tambahnya.
Beliau menjelaskan, perkara itu tidak dibenarkan oleh Barat kerana dianggap tidak toleran. “Barat menginginkan semua orang mestilah dilayan sama rata. Toleran yang mereka mahu itu adalah supaya kalau boleh orang Islam masuk ke dalam agama atau pun Milah mereka,” katanya.
“Allah memerintahkan kepada Rasulullah SAW supaya berkata kepada orang kafir, ‘Wahai orang kafir aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah dan kamu juga tidak akan sembah apa yang aku sembah. Dan akhirnya ayat itu menyatakan, ‘Bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku’. Nampak tidak bagaimana Allah mengajar kepada kita berkenaan dengan ‘toleransi’?,” katanya menjelaskan makna ayat dalam surah al-Kafirun.
Oleh yang demikian, umat Islam tidak boleh memaksa orang kafir masuk ke dalam Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam dakwahnya, dan perlu membiarkan mereka tinggal dalam agama mereka.
“Kami tidak boleh paksa tetapi kami dakwah sebab wajib atas kami untuk mendakwahkan kepada kamu untuk masuk Islam. Tetapi kami tidak mahu memaksa. Maka kalau kamu nak kekal tinggal dalam agama kamu, bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku,” tegasnya lagi.
Beliau menerangkan lagi bahawa orang kafir tidak boleh menyuruh orang Islam mengikut apa yang orang kafir lakukan. Orang kafir boleh buat apa yang mereka mahu buat dan sembah apa yang mereka mahu sembah, tetapi tidak boleh menyuruh orang Islam buat seperti mereka. Begitu juga sebaliknya.
“Bagi kita, hukum tetap hukum. Jadi, kita berpegang kepada hukum bukan bermaksud kita nak bermusuh, bukan bermaksud kita nak bergaduh. Tetapi kita ada prinsip, pendirian dan kepercayaan. Kita ada akidah. Inilah baru namanya toleransi yang sebenar-benarnya,” tutupnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/187NiodCNW/