[Opini Muslimah Ideal] Cabaran Suri Rumah dalam Ekonomi dan Persepsi Masyarakat
Cabaran itu wujud kerana adanya ekspektasi dan persepsi dalam masyarakat yang melihat status suri rumah sebagai sesuatu yang rendah. Dunia sekarang memandang kejayaan wanita pada aspek kebendaan – gaji tinggi, jawatan besar, dan sumbangan ekonomi secara langsung. Golongan seperti ini disanjung dan dianggap memberi sumbangan besar kepada negara. Sebaliknya, suri rumah sering dianggap tidak menyumbang kepada ekonomi negara.
Baru-baru ini pula, ada pendapat yang mengatakan semakin ramai wanita berhenti kerja dan menjadi suri rumah, semakin tinggi kadar kemiskinan isi rumah di Malaysia. Ini adalah satu cabaran baru. Sebelum ini, suri rumah hanya dikatakan tidak memberi sumbangan ekonomi kepada negara, tetapi kini dikaitkan pula dengan kadar kemiskinan.
Kalau kita melihat dari sudut duniawi dan kebendaan, memang nampak seperti tiada sumbangan ekonomi langsung daripada suri rumah. Tetapi jika kita menilai dari aspek pengurusan ekonomi keluarga, sumbangan suri rumah sangat besar.
Sebagai contoh, kos penjagaan anak. Hari ini, yuran taska sangat tinggi. Dalam pembentangan bajet tahun lepas, memang sudah dijangka yuran taska akan meningkat kerana kadar gaji juga dijangka naik. Jika ada dua atau tiga anak kecil yang dihantar ke taska, bayangkan kos yang perlu ditanggung. Dengan menjadi suri rumah, kita dapat menjimatkan perbelanjaan ini kerana kita sendiri yang menjaga anak di rumah.
Dari segi pengangkutan anak ke sekolah pula, ibu yang menjadi suri rumah boleh menghantar dan mengambil anak-anak mereka tanpa perlu menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang mahal. Jika hanya seorang anak mungkin masih terkawal, tetapi jika ada dua atau tiga orang anak, kosnya menjadi sangat tinggi dan membebankan.
Dalam aspek pendidikan pula, anak-anak yang dibesarkan oleh ibu di rumah mendapat pemantauan yang lebih baik. Mereka boleh diperiksa kerja sekolahnya, dipantau ketika menghadapi peperiksaan, malah jika ibunya berpendidikan, mereka boleh mengajar sendiri anak-anak tanpa perlu menghantar mereka ke kelas tuisyen yang mahal.
Selain itu, ramai suri rumah yang mencari inisiatif untuk menambah pendapatan seperti berniaga dari rumah, menjadi ejen dropship, atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Dengan cara ini, mereka tetap boleh menyumbang kepada ekonomi keluarga tanpa mengabaikan tugas utama sebagai ibu dan pengurus rumah tangga.
Sebenarnya, dalam Islam, tugas suri rumah bukanlah pekerjaan biasa. Rasulullah SAW telah menyebut dalam banyak hadis tentang kemuliaan tugas seorang ibu dalam rumah tangga. Baginda bersabda:
“Wanita itu pemimpin dalam rumah tangganya, dan bertanggungjawab tentang kepemimpinannya.” (HR Bukhari)
Bahkan, Rasulullah juga mengatakan bahawa wanita yang bersabar dalam menjaga anak-anak mereka akan dijauhkan daripada azab neraka:
“ Barang siapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia berbuat baik kepada mereka, maka anak-anaknya akan menjadi penghalang baginya dari seksa neraka.” (HR Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Namun, untuk kita menghadapi cabaran ini, kita tidak boleh melakukannya secara individu. Kita memerlukan sokongan daripada masyarakat dan juga negara. Setiap komponen perlu mengambil tindakan bersama. Kerjasama ini sangat penting kerana ia adalah tugas yang berat dan tidak boleh ditanggung seorang diri.
Pn Syamsiyah Jamil
Mom-prenuer