[Siri Sinar Syawal] Erti Sebenar Aidilfitri
Aidilfitri, secara harfiah bermaksud ‘perayaan kembali kepada fitrah’. Hari yang diraikan pada 1 Syawal dalam kalendar Hijrah ini menjadi tanda berakhirnya bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Namun begitu, makna Aidilfitri tidak hanya terbatas kepada perayaan luaran semata-mata; ia merupakan momen untuk refleksi diri serta menilai sejauh mana kita telah memperbaiki ketaatan dan ketakwaan selepas bulan penuh ibadah.
Dalam bahasa sebahagian ulama dinyatakan,
ليس العيد لمن لبس الجديد إنما العيد لمن طاعته تزيد
“Laysa al-‘id li man labisa al-jadid, innama al-‘id li man tha’atuhu tazid.”
“Hari Raya bukanlah untuk orang yang mengenakan segala sesuatu yang serba baru. Hari Raya hanyalah untuk orang yang ketaatannya bertambah.”
Ini mengingatkan kita bahawa intipati Aidilfitri sebenarnya tidak terletak pada kemewahan dan perkara material seperti pakaian atau kenderaan, tetapi lebih kepada peningkatan nilai-nilai spiritual dan moral dalam diri seseorang.
Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk memakai pakaian terbaik pada hari raya, sebagaimana diriwayatkan :
عَنِ الْحَسَنِ ابْنِ عَلِيٍّ قَالَ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم فِى الْعِيدَيْنِ أَنْ نَلْبِسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ … (رواه البيهقي والحاكم)
“Diriwayatkan dari Al-Hasan bin Ali RA, ia berkata, ‘Rasulullah SAW telah memerintahkan kami pada dua hari raya agar memakai pakaian terbaik yang kami temukan.” (HR Al-Baihaqi dan Al-Hakim).
Amalan ini bertujuan untuk menzahirkan rasa syukur dan memuliakan hari raya. Namun, kita harus ingat bahawa ia bukanlah untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, tetapi sebagai manifestasi penghargaan terhadap nikmat Allah SWT.
Aidilfitri membawa makna yang lebih mendalam daripada kegembiraan luaran. Ia sebenarnya melambangkan kemenangan rohani bagi mereka yang berjaya mengekalkan akhlak mulia, meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT, dan meneruskan tabiat baik yang telah dipupuk sepanjang Ramadhan. Ini menunjukkan bahawa sambutan Aidilfitri bukan hanya tentang penampilan, tetapi lebih kepada pemeliharaan hati yang suci serta hubungan yang teguh dengan Allah.
Semoga kita semua dapat meraih pengertian sebenar Aidilfitri dengan menjaga kesucian hati dan berusaha memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT sepanjang masa.