Membentuk Generasi Pemimpin Berwibawa Melalui Pengukuhan Tsaqafah Islam (Bahagian 2)
Penulis : Asma
Inspirasi Kepimpinan daripada Sejarah Islam
Rumah Arqam bin Abi Arqam merupakan contoh terbaik bagaimana Rasulullah SAW membentuk pemimpin muda melalui sistem pendidikan yang menyeluruh dan holistik. Sebagai madrasah pertama dalam sejarah Islam, rumah ini menjadi tempat pengajaran nilai-nilai akidah dan al-Quran kepada pemuda seperti Ali bin Abi Talib, Zubair bin Al-Awwam, Abdullah bin Mas’ud dan ramai lagi. Mereka menerima bimbingan secara langsung daripada Rasulullah SAW yang menegaskan keesaan Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan ditaati.
Pendidikan ini tidak hanya tertumpu kepada teori, malah turut melibatkan latihan praktikal (amali) dalam aspek dakwah dan strategi. Ia menekankan kepentingan perancangan, kebijaksanaan, keberanian, serta rasa tanggungjawab. Dengan matlamat membentuk jiwa kepimpinan yang kukuh, para sahabat diasuh agar tidak mudah tunduk kepada tekanan duniawi dan memiliki ketabahan dalam memperjuangkan serta mempertahankan ajaran Islam.
Sejarah Islam turut memaparkan kisah Usamah bin Zaid RA yang dilantik sebagai panglima perang pada usia muda, iaitu 18 tahun. Kepercayaan besar yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya, meskipun pasukannya terdiri daripada sahabat-sahabat senior seperti Abu Bakar as-Siddiq RA dan Umar al-Khattab RA, jelas membuktikan kemampuan pemuda dalam memimpin. Begitu juga dengan Abdullah bin Abbas RA, yang pada usia mudanya, telah diiktiraf sebagai penasihat kepada Khalifah Umar al-Khattab RA kerana keilmuan serta kefahaman mendalamnya terhadap al-Quran dan hukum-hakam Islam.
Kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih dalam menakluk Kota Konstantinopel pada usia 21 tahun turut menjadi peristiwa besar dalam sejarah Islam. Kehebatan luar biasa ini adalah hasil daripada didikan Islam yang menyeluruh, merangkumi ilmu agama, strategi ketenteraan, dan kemahiran kepimpinan. Rasulullah SAW pernah memuji Sultan Muhammad al-Fatih sebagai ‘sebaik-baik panglima’ kerana keistimewaan beliau bukan sahaja terserlah di medan perang, tetapi juga dalam bidang keilmuan sejak kecil. Usaha gigih beliau dalam menggali ilmu agama, sains, strategi, dan kepimpinan membuktikan pentingnya tsaqafah Islam yang menyeluruh dalam melahirkan pemimpin unggul.
Salahuddin al-Ayyubi juga merupakan figura ikonik yang menunjukkan gabungan antara ilmu agama dan ketenteraan sejak usia muda. Kejayaan beliau membebaskan Baitul Maqdis bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikal di medan perang, malah berpaksikan keluhuran tsaqafah Islam yang diterapkan dalam kehidupannya. Kebijaksanaan beliau dalam merangka strategi dan mengatur diplomasi membuktikan bahawa pemahaman Islam yang mendalam mampu melahirkan pemimpin yang memberikan impak besar terhadap sejarah umat.
Kisah-kisah pemimpin muda dalam sejarah Islam ini membuktikan bahawa usia bukanlah penentu utama keupayaan seseorang untuk memimpin. Sebaliknya, ilmu, kebijaksanaan, dan tsaqafah Islam merupakan elemen penting dalam pembentukan kepimpinan yang mantap. Oleh itu, ibu bapa perlu berusaha menanamkan tsaqafah Islam dalam diri anak-anak sejak usia muda. Institusi pendidikan pula seharusnya memperkukuh sistem pembelajaran yang berteraskan pembangunan nilai kepimpinan holistik, bukan sekadar menumpukan kepada penghasilan tenaga kerja.
Langkah ini diharapkan dapat melahirkan generasi pemimpin masa depan yang berjiwa besar, berakhlak tinggi, dan bersedia memperjuangkan kejayaan Islam, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para salafussoleh dalam mendidik generasi mereka, iaitu generasi yang menjadi teladan kepimpinan terbaik sepanjang zaman.
(Bersambung)