Perkhidmatan Awam pada Masa Khilafah
Oleh: Prof. Dr. Fahmi Amhar
Perkhidmatan awam adalah wajah sebenar negara. Ia menjadi penanda sejauh mana sesebuah pemerintahan memahami hakikat kuasa bukan sebagai alat untuk menguasai rakyat; sebaliknya untuk melayani, melindungi, dan memakmurkan mereka.
Dalam peradaban moden, perkhidmatan awam diertikan sebagai kegiatan atau rangkaian kegiatan pemenuhan keperluan masyarakat atas barang, perkhidmatan dan pentadbiran yang disediakan oleh negara mengikut peraturan perundangan. Namun, dalam pandangan Islam, maknanya jauh lebih mendalam. Ia adalah ibadah sosial, manifestasi daripada fardhu kifayah, dan bentuk tanggungjawab khalifah atau kerajaan sebagai khâdim al-ummah (pelayan umat).
Rasulullah SAW menegaskan dalam hadis sahih, “Imam (ketua negara) adalah pengurus rakyat dan dia akan dimintai pertanggungjawaban atas rakyatnya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Maka dari itu, setiap perkhidmatan awam, sekecil apa pun bentuknya—dari urusan akta kelahiran hingga pembinaan jalan raya—sebenarnya adalah sebahagian daripada amanah besar untuk menjaga maqâshid asy-syarî‘ah: menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Perkhidmatan awam yang baik bermakna menjaga hak-hak asas manusia secara kolektif. Kegagalannya adalah bentuk pengkhianatan terhadap amanah ilahiah.
Hak-Hak Asas dan Kewajipan Negara
Setiap manusia memiliki hak asas yang tidak boleh diabaikan. Dalam fikh siyâsah Islam, hak-hak itu meliputi:
- Hak atas kehidupan dan keselamatan nyawa (hifzh an-nafs). Negara wajib menjaga keselamatan rakyatnya daripad ancaman, kejahatan, wabak, dan bencana. Perkhidmatan awamnya berupa hospital, vaksinasi, kepolisian, dan langkah-langkah pengurangan risiko bencana.
- Hak beragama dan beribadah (hifzh ad-dîn). Negara menjamin kebebasan beragama serta menyediakan prasarana ibadah tanpa diskriminasi.
- Hak atas ilmu dan akal sihat (hifzh al-‘aql). Pendidikan berkualiti, kajian ilmiah dan kebebasan berfikir merupakan bahagian daripada perkhidmatan awam.
- Hak atas keluarga dan keturunan yang sihat (hifzh an-nasl). Termasuk perlindungan ibu dan anak, pemakanan dan perkhidmatan pendaftaran sivil.
- Hak atas pemilikan dan kehidupan yang layak (hifzh al-mâl). Negara wajib menyediakan peluang pekerjaan, keadilan ekonomi dan perlindungan daripada rasuah serta monopoli.
- Hak atas keadilan dan perlindungan undang-undang. Wujudnya dalam sistem peradilan yang adil, bantuan perundangan percuma, dan pegawai penguatkuasa (peguam bela) undang-undang yang bersih.
- Hak atas alam sekitar dan tempat tinggal yang layak. Termasuk pengurusan air bersih, pengendalian sampah, udara, perumahan rakyat, serta perancangan ruang yang selamat.
Memenuhi hak-hak asas tersebut bukanlah kebaikan sukarela, tetapi fardhu kifayah. Jika negara lalai, dosa sosial tidak gugur dari umat, kerana amanah itu tertumpu pada kerajaan sebagai wakil masyarakat.
Prinsip-Prinsip Universal Perkhidmatan Awam
Di era moden, organisasi seperti OECD dan UNDP merumuskan prinsip universal perkhidmatan awam:
- Semua maklumat tentang prosedur, kos, dan waktu hendaklah mudah diakses.
- Setiap penyelenggara wajib bertanggung jawab terhadap prestasi dan kewangan awam.
- Perkhidmatan bertindak balas cepat terhadap keperluan masyarakat.
- Keadilan dan Non-Diskriminasi. Tidak boleh ada perbezaan perlakuan berdasarkan agama, ras, atau status sosial.
- Kecekapan dan Keberkesanan. Sumber daya awam digunakan secara berhemat, namun memberi impak luas.
- Penyertaan Awam. Masyarakat berhak terlibat dalam perancangan, penilaian, dan pengawasan.
- Rule of Law. Semua keputusan hendaklah berdasarkan undang-undang, bukan ikut kehendak pegawai/pemimpin.
- Inovasi dan Pembelajaran Berterusan. Perkhidmatan mesti terus menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Prinsip-prinsip ini menjadi asas tadbir urus yang baik — pemerintahan yang baik, bersih dan berkhidmat.
Prinsip-Prinsip Islam dalam Perkhidmatan Awam
Islam menambahkan dimensi spiritual pada prinsip-prinsip di atas. Jika tadbir urus moden menekankan keberkesanan dan akauntabiliti kepada manusia, Islam menambahkan akauntabiliti kepada Allah SWT. Setiap pegawai memikul dua tanggungjawab: kepada rakyat dan kepada Tuhan.
- Amanah (Trustworthiness). Jabatan awam adalah amanah, bukan hak. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak (TMQ an-Nisa’ [4]: 58).
- ‘Adalah (Justice). Pemerintahan yang adil adalah asas perkhidmatan awam. Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat baik (QS an-Nahl [16]: 90).
- Maslahah ‘Âmmah (Public Welfare). Setiap kebijakan hendaklah memberikan manfaat bagi umat. “Tasharruf al-imâm ‘alâ ar-ra‘iyyah manûth[un] bi al-mashlahah” (Kebijakan pemimpin bergantung pada kemaslahatan rakyat).
- Syûrâ (Consultation). Urusan mereka diputuskan dengan musyawarah di antara mereka (QS asy-Syura [42]:38). Masyarakat hendaklah dilibatkan.
- Itqân dan Ihsân (Professionalism and Excellence). Rasulullah SAW bersabda, “Allah mencintai orang yang apabila bekerja, dia melakukan pekerjaan itu dengan itqân.” (HR ath-Thabarani).
- Rahmah (Compassion). Negara perlu menjadi rahmat bagi seluruh rakyat. Perkhidmatan awam yang keras dan birokratik adalah bentuk pengingkaran terhadap nilai rahmah.
- Hisbah (Public Accountability). Dalam sejarah Islam, lembaga hisbah berperanan seperti ombudsman; mengawasi kejujuran dalam pasaran dan prestasi pegawai.
- Kifâyah (Collective Responsibility). Perkhidmatan awam adalah tanggungjawab kolektif umat. Negara hanya wakil untuk melaksanakannya secara terorganisasi.
Dengan demikian, perkhidmatan awam dalam Islam adalah bentuk ibadah sosial yang menyeimbangkan kecekapan, keadilan dan keberkahan.
Perkhidmatan Awam dalam Sejarah Islam
Sejarah Islam panjang dan kaya dengan praktik perkhidmatan awam yang progresif, bahkan mendahului konsep public administration moden.
- Era Rasulullah SAW
Rasulullah SAW menata pemerintahan Negara Islam di Madinah berdasarkan Piagam Madinah yang menegaskan kesetaraan semua rakyat dalam perkhidmatan awam. Ia menugaskan ‘âmil zakat, qâdhî dan muhtasib yang digaji dari Baitul Mal. Hospital pernah dikendalikan oleh jururawat perempuan Rufaida al-Aslamiyah. Setiap aduan rakyat didengar secara langsung di masjid. Di situlah lahir budaya perundingan awam.
- Era Al-Khulafâ’ ar-Râsyidûn
- Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq menolak mengambil gaji besar dan menegaskan bahawa jawatan adalah amanah.
- Khalifah Umar ibn al-Khattab menciptakan Dîwân al-‘Ahâ’; lembaga kewangan negara yang mencatat gaji pekerja dan tunjangan rakyat, asal usul sistem birokrasi moden. Ia mendirikan gudang logistik untuk masa kemarau, mengatur cukai tanah (kharaj), bahkan turun dalam Masyarakat demi memeriksa keadaan rakyat.
- Khalifah Uthman ibn ‘Affan mengembangkan infrastruktur publik seperti irigasi dan pasar.
- Khalifah Ali ibn Abi Thalib menulis surat terkenal kepada Malik al-Asytar yang menggambarkan etika pegawai: “Jadilah engkau bagi rakyatmu seperti hati bagi tubuh mereka. Jangan jadikan dirimu binatang buas yang menelan rakyatmu.”
- Era Khilafah Umayyah
Khalifah Abdul Malik bin Marwan menstandardkan mata wang dan dokumen rasmi. Khalifah Umar bin Abdul Aziz dianggap sebagai bapa reformasi perkhidmatan awam Islam. Beliau menolak kemewahan istana, menaikkan elaun rakyat dan mengenakan tindakan tata tertib bagi pegawai yang rasuah. Pada masa pemerintahannya hampir tiada lagi penerima zakat. Semua hidup dengan layak.
- Era Khilafah ‘Abbasiyah
Pada masa ini lahir sistem perkhidmatan awam berdasarkan ilmu dan profesionalisme. Baitul Hikmah di Baghdad menjadi pusat penyelidikan dan penterjemahan antarabangsa.
Bimaristan (hospital) didirikan secara percuma untuk semua rakyat, malah menyediakan perkhidmatan farmasi dan rawatan bergerak. Sistem pos dan risikan awam (Barîd) menghubungkan wilayah. Lembaga pengawasan Diwan az-Zimâm pula memastikan kewangan negara telus, manakala lembaga Hisbah menjaga etika pasaran.
- Era Khilafah Uthmaniyah
Khilafah ini memadukan kerohanian dan pentadbiran moden. Sistem wakaf diurus untuk membiayai sekolah, hospital, pusat pemandian awam, malah pancuran air di jalanan. Kompleks Süleymaniye di Istanbul abad ke-16 merangkumi masjid, madrasah, dapur awam dan hospital. Ia setara dengan pusat beli-belah masa kini. Cukai digunakan untuk membiayai jalan, jambatan dan pelabuhan. Qanunname menjamin tiada diskriminasi terhadap bukan Muslim. Arkib awam Defter-i Hakani menunjukkan ketelusan fiskal yang luar biasa untuk ukuran zamannya.
Refleksi
Perkhidmatan awam dalam Islam bukan sekadar teknikal birokrasi. Ia berakar pada tauhid sosial; kesedaran bahawa setiap manusia adalah khalifah kecil di bumi, berkewajipan memakmurkan sesama. Kerajaan adalah khalifah besar. Kegagalannya menunaikan perkhidmatan awam bermakna gagal menjaga amanah Allah.
Dari kisah Khalifah Umar ibn al-Khattab yang menangis pada malam hari kerana khuatir ada keldai yang terperosok di jalan Madinah, hinggalah kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menolak makan dari dapur istana, sejarah Islam ini menunjukkan bahawa perkhidmatan awam bukan jargon, sebaliknya ibadah politik. Nilainya tidak diukur oleh keberkesanan ekonomi, tetapi oleh keadilan, kasih sayang dan keberkatan.
Perkhidmatan awam adalah nafas tamadun. Ia menghubungkan negara dengan rakyatnya, undang-undang dengan moraliti, dan dunia dengan akhirat. Negara yang baik bukanlah negara yang paling kaya atau paling kuat, tetapi yang paling mampu melayani rakyatnya dengan adil, telus, dan penuh kasih sayang.
Demikian sebagaimana sabda Nabi SAW, “Pemimpin yang paling dicintai Allah adalah yang paling mencintai rakyatnya. Rakyat yang paling dicintai Allah adalah yang paling mencintai pemimpinnya.” (HR at-Tirmidzi).
Alhasil, perkhidmatan awam dalam Islam bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi perwujudan ibadah berjemaah dalam skala negara. Di situlah terletak kemuliaan sebenar sebuah pemerintahan: bukan pada keagungan istananya, tetapi pada keikhlasan dan kecerdasannya dalam melayani rakyat sebagai amanah Allah SWT.
*Diolah daripada sumber asal https://alwaie.net/afkar/pelayanan-publik-pada-masa-khilafah/
#SistemKhilafah #PerkhidmatanAwam #TadbirUrusIslam #SistemIslam