Hijrah Peribadi
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
Daripada Umar bin al-Khattab RA sehinggalah ke Fudhail bin ‘Iyadh rahimahulLâh. Tidak ada manusia yang terlalu baik sehingga tidak memerlukan hijrah. Sebaliknya, tidak ada manusia yang terlalu buruk sehingga tidak mungkin berhijrah.
Hijrah—secara peribadi—bukanlah perpindahan kaki daripada satu tempat ke tempat lain. Hijrah peribadi adalah perpindahan hati: daripada gelap menuju cahaya; daripada lalai menuju sedar; daripada dunia menuju akhirat; daripada maksiat menuju taat.
Kerana itu sejarah Islam sesungguhnya adalah sejarah hijrah. Di antara kisah hijrah secara peribadi paling menakjubkan adalah kisah Umar bin al-Khattab RA. Siapa yang sangka, dia yang dahulunya berangkat dengan pedang terhunus untuk membunuh Rasulullah SAW justeru kemudian menjadi pembela Islam paling perkasa?
Ketika itu Umar adalah sosok yang ditakuti. Keras. Tegas. Bahkan pernah menjadi ’momok’ bagi kaum Muslim. Akan tetapi, Allah SWT jualah yang membolak-balikkan hati manusia. Ketika Umar mendengar ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh adiknya, Fathimah binti al-Khattab, hatinya yang keras itu tiba-tiba luluh. Air matanya jatuh. Dadanya bergetar. Dia berkata, “Betapa indah dan mulianya kalam ini!”
Sejak saat itu Umar berubah. Bukan berubah sedikit. Tetapi berubah sepenuhnya. Daripada pemburu kaum Muslim menjadi pelindung kaum Muslim. Daripada musuh dakwah menjadi benteng dakwah. Lihatlah ketika kaum Muslim diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah. Sebahagian besar mereka berangkat secara diam-diam. Mereka khuatir dihalang atau diseksa oleh kaum Quraisy. Akan tetapi, Umar berbeza. Dia mendatangi Kaabah. Bertawaf tujuh kali. Setelah itu dia berdiri di hadapan kaum Quraisy sambil berkata, “Siapa saja yang ingin ibunya kehilangan anaknya, isterinya menjadi janda dan anaknya menjadi yatim, hendaklah dia menghalang aku di sebalik lembah ini!”
Tak ada seorang pun berani menjawab cabarannya. Umar kemudian berhijrah secara terang-terangan. Betapa dahsyat perubahan itu! Dulu pedangnya terhunus untuk memusuhi Islam. Setelah itu pedang yang sama dihunus demi membela Islam.
Kisah hijrah Umar RA diriwayatkan oleh Muhammad bin Ishaq dalam As-Sîrah an-Nabawiyyah, juga dinukil oleh Ibnu Hisyam dalam As-Sîrah an-Nabawiyyah.
Kisah lain yang tak kurang menyentuh hati adalah kisah Malik bin Dinar rahimahulLâh. Dia adalah seorang taabi’iin yang terkenal zuhud. Akan tetapi, siapa sangka, masa lalunya justeru sangat kelam. Dia pernah menjadi peminum khamr. Bahkan sangat ketagih. Di tengah kehidupan yang rosak itu, Allah mengurniakannya seorang anak perempuan yang sangat dia cintai. Anak itu menjadi cahaya hidupnya. Ketika Malik hendak meminum khamr, puterinya sering mengambil gelas itu dan menumpahkan isinya. Malik hanya tersenyum kerana dia sangat mencintai puterinya.
Akan tetapi, ujian datang. Anak perempuan itu meninggal dunia. Hancur hati Malik. Dia semakin tenggelam dalam minuman keras. Hingga suatu malam dia bermimpi. Dalam mimpinya dia melihat Hari Kiamat telah tiba. Kubur-kubur dibangkitkan. Manusia bertempiaran. Dia pun berlari ketakutan. Di belakangnya seekor ular besar mengejar dirinya. Di tengah pelariannya, tiba-tiba dia bertemu dengan puterinya yang telah meninggal. Anak itu memeluknya. Kemudian berkata, “Wahai Ayah, bukankah telah datang waktunya bagi orang-orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah?”
Malik menangis dalam mimpinya. Lalu terjaga. Tubuhnya dibasahi air mata. Sejak saat itu dia bertaubat. Dia meninggalkan khamr kemudian memperbanyakkan ibadah. Bahkan dia kemudiannya menjadi ulama besar dan ahli zuhud yang terkenal.
Kisah taubat Malik bin Dinar disebutkan oleh Abu Nu’aim al-Ashbahani dalam Hilyah al-Awliyâ’, II/357-358); juga dinukil oleh Ibnu Qudamah dalam Kitab At-Tawwaabiin.
Kisah hijrah berikutnya bahkan lebih menggetarkan. Dia adalah Fudhail bin ‘Iyadh rahimahulLâh. Siapakah Fudhail? Dia bukanlah ulama sejak kecil. Bukan ahli ibadah sejak muda. Dia justeru seorang perompak jalanan sejak remaja sehingga dewasa. Namanya sangat ditakuti. Orang-orang yang melakukan safar selalu berkata, “Hati-hati! Jangan menempuh jalan itu! Ada Fudhail bin ‘Iyadh!”
Begitulah kehidupannya. Penuh maksiat. Sarat rompakan. Dosa demi dosa dia lakukan. Hingga datang suatu malam. Malam itu mengubah seluruh hidupnya. Saat itu dia sedang memanjat tembok menuju rumah seorang wanita yang dia cintai. Tiba-tiba dari rumah sebelah terdengar seseorang membaca al-Quran:
۞أَلَمۡ يَأۡنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن تَخۡشَعَ قُلُوبُهُمۡ لِذِكۡرِ ٱللَّهِ ١٦
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah?,” [TMQ al-Hadid (57): 16]
Ayat itu menghentam jantungnya. Fudhail terdiam. Tubuhnya gementar. Lalu dia menangis dan berkata, “Benar, duhai Tuhanku. Sungguh telah tiba waktunya.”
Malam itu dia tidak meneruskan maksiatnya. Dia segera pulang, segera bertaubat. Meninggalkan seluruh masa lalunya. Lalu dia pergi ke Mekah. Mendalami Islam. Dia menjadi ahli ibadah. Menjadi ahli hadis. Menjadi ulama besar. Namanya kemudian dikenang sepanjang zaman. Dari seorang penjahat menjadi seorang wali Allah. SubhânalLâh.
Betapa luas rahmat Allah. Betapa terbukanya pintu taubat. Kisah taubat dan hijrah Fudhail bin ‘Iyadh diriwayatkan oleh Abu Nu’aim al-Ashbahani dalam Hilyah al-Awliyâ’ wa Thabaqât al-Ashfiyaa’, 8/87-88; juga dinukil oleh Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam an-Nubalâ’, 8/421-422).
Demikianlah. Hijrah tidak mengenal usia. Tidak mengenal pekerjaan. Tidak mengenal masa lalu. Umar berhijrah daripada kekerasan. Malik bin Dinar berhijrah daripada kemaksiatan. Fudhail berhijrah daripada kejahatan. Mereka semua memiliki satu persamaan: Mereka tidak menunda. Ketika hidayah datang, mereka segera menyambutnya. Ketika hati tersentuh, mereka segera berubah. Sebab, mereka tahu, usia tidak pernah memberi tahu bila ia akan berakhir.
Kerana itu hijrah tidak perlu menunggu sempurna. Berhijrahlah maka Allah akan menyempurnakan dirimu. Berhijrahlah, walau perlahan. Berhijrahlah, walau bertatih. Daripada jauh menjadi dekat dengan Allah. Daripada lalai menjadi taat. Daripada kehidupan yang sia-sia menuju kehidupan yang penuh makna.
Alhasil, jangan pernah berputus asa daripada rahmat Allah. Setiap manusia mempunyai noda masa lalu. Sekecil apapun. Akan tetapi, setiap manusia juga mempunyai masa depan yang belum ternoda sedikit pun. Tinggal bagaimana kita mengisi masa depan kita dengan ragam ketaataan. Itulah hijrah (secara peribadi).
Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.
Sumber: Alwaie
#hijrah #hijrahperibadi #taubat #MuslimIdeal