Kidfluencer (Pempengaruh Kanak-kanak) dan Vlogger Keluarga :
Eksploitasi Kanak-Kanak di Sebalik Topeng Kebebasan Moden
Di era pendedahan digital hari ini, tiada lagi yang benar-benar peribadi. Bahkan detik paling intim dalam kehidupan kanak-kanak kini diperdagangkan di media sosial, bukan sekadar sebagai kandungan, tetapi sebagai komoditi. Kidfluencer atau pempengaruh kanak-kanak dan vlogger keluarga telah menjadi wajah utama fenomena ini, satu gelombang yang bukan sahaja mendukung kepentingan komersial, tetapi juga mencabuli hak asasi kanak-kanak. Di sebalik video-video yang kelihatan tidak bersalah itu tersembunyi ketidakseimbangan struktural yang berakar umbi dari pandangan hidup sekular, kapitalis, dan individualistik dunia Barat moden.
Apakah Kidfluencer dan Vlogger Keluarga?
Kidfluencer adalah kanak-kanak yang memiliki pengikut media sosial yang ramai, biasanya diurus oleh ibu bapa mereka. Vlogger keluarga pula mendokumentasikan kehidupan keluarga, termasuk anak-anak mereka dan berkongsi video tersebut kepada ratusan ribu atau bahkan jutaan penonton. Mereka menjana pendapatan melalui iklan, penajaan, dan kerjasama dengan jenama.
Apa yang mungkin bermula sebagai cara yang tidak merbahaya untuk menyimpan kenangan, kini dalam banyak kes telah berubah menjadi model eksploitasi di mana kanak-kanak, hatta sejak lahir telah digunakan sebagai instrumen untuk meraih keuntungan.
Kebimbangan daripada Kajian dan Kerajaan
Kajian Eksploratori mengenai Penggunaan Kanak-Kanak dalam Vlog Keluarga dan Kandungan Media Sosial (The Exploratory Study on the Use of Children in Family Vlogs and Social Media Content) oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Pekerjaan Belanda (SZW, 2020) menimbulkan persoalan besar tentang perlindungan kanak-kanak dalam ruang ini.
Hasil kajian menunjukkan hampir tiada perlindungan undang-undang untuk kanak-kanak yang “bekerja” di media sosial. Mereka sering ditampilkan secara intensif dan kerap, tanpa pengawasan atau sokongan, dan tiada pemantauan terhadap pendapatan yang dijana oleh ibu bapa melalui kandungan (content) anak-anak mereka.
Kajian susulan oleh SZW pada tahun 2022 menegaskan semula perkara ini: kepentingan komersial ibu bapa dan syarikat melebihi perkembangan mental dan sosial kanak-kanak. Fenomena ini mencerminkan masyarakat yang mementingkan keuntungan individu melebihi kesejahteraan kolektif dan tanggungjawab etika.
Sisi Gelap: Tapak Subur bagi Penderaan
Selain eksploitasi ekonomi, terdapat risiko serius penderaan kanak-kanak. Pakar memberi amaran bahawa pendedahan kanak-kanak secara terbuka di platform digital menarik perhatian yang tidak diingini daripada pedofil. Kandungan (content), yang kelihatan tidak bersalah sering dikongsi, disunting, dan di`fetish‘kan dalam rangkaian dalam talian tertentu.
Ini mendedahkan satu kebenaran pahit tentang idea kebebasan Barat: ibu bapa pada dasarnya diberi hak untuk mengeksploitasi anak-anak mereka atas nama “pilihan peribadi.” Namun harga yang dibayar adalah oleh si anak, ia didedahkan tanpa keizinan, tanpa kefahaman tentang akibatnya, dan tanpa perlindungan undang-undang.
Akar Masalah: Kapitalisme Sekular dan Individualisme
Fenomena ini tumbuh subur dalam kapitalisme Barat sekular, di mana individu dan keuntungan ekonomi menjadi teras utama. Dalam sistem ini, keibubapaan dilihat bukan sebagai amanah, tetapi sebagai urusan peribadi di mana ibu bapa diberi kebebasan mutlak untuk menggunakan anak mereka demi kepentingan diri. Anak-anak semakin dilihat sebagai lanjutan ego ibu bapa – sebagai simbol status, jenama, dan sumber pendapatan. Syarikat media dan Big Tech pula membentuk keadaan ini dengan algoritma yang mengangkat kandungan berfokuskan kanak-kanak tanpa kawalan.
Penyimpangan sistemik ini merobek maruah kanak-kanak dan menghakis ikatan kekeluargaan.
Perspektif Islam: Tanggungjawab, Perlindungan dan Kehormatan
Dalam Islam, keibubapaan adalah satu tanggungjawab suci. Anak-anak bukanlah hak milik, tetapi amanah daripada Allah.
وعن ابن عمرَ رضي اللَّهُ عنهما عن النبي صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قال : « كُلُّكُمْ راعٍ، وكُلُّكُمْ مسئولٌ عنْ رعِيَّتِهِ ، والأَمِيرُ رَاعٍ والرَّجُلُ راعٍ علَى أَهْلِ بَيْتِهِ ، والمرْأَةُ راعِيةٌ على بيْتِ زَوْجِها وولَدِهِ ، فَكُلُّكُمْ راعٍ ، وكُلُّكُمْ مسئولٌ عنْ رعِيَّتِهِ » متفقٌ عليه
Dari Ibnu Umar radhiallahu anhuma dari Nabi SAW bersabda: “Semua orang dari kalian itu adalah pengembala dan semuanya akan ditanya perihal pengembalaannya. Seorang amir (pemimpin) adalah pengembala, seorang lelaki juga pengembala pada keluarga rumahnya, perempuan pun pengembala pada rumah suaminya serta anaknya. Maka dari itu semua orang dari kalian adalah pengembala dan semua saja akan ditanya perihal penggembalaannya”. (Muttafaq alaih)
Tanggungjawab Ibu Bapa dalam Islam
Islam mewajibkan ibu bapa membesarkan anak-anak dalam suasana hormat, iman, dan perlindungan. Prinsip “tiada mudarat” (لا ضرر ولا ضرار) menegaskan bahawa ibu bapa tidak dibenarkan mencederakan anak mereka, sama ada secara fizikal, emosi, mahupun dengan mendedahkan mereka secara umum kepada mudarat.
Islam mewajibakan agar ibu bapa memberikan didikan akhlak dan kerohanian yang baik, serta menjaga privasi dan maruah anak. Oleh itu, menyebarkan imej intim atau kandungan peribadi adalah melanggar etika Islam.
Hak Kanak-Kanak dalam Islam
- Hak untuk nama dan identiti
• Hak untuk perlindungan dan keselamatan
• Hak untuk makanan, pakaian, dan tempat tinggal
• Hak untuk kasih sayang dan belas ihsan
• Hak untuk pendidikan dan bimbingan akhlak
• Hak untuk privasi dan maruah
Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka …” [TMQ At-Tahrim (66):6]
Masyarakat Islam: Mencegah Eksploitasi
Sebuah masyarakat Islam yang ditadbir oleh syariah meletakkan garis sempadan yang jelas untuk mencegah penyalahgunaan ini.
- Peraturan media: Kanak-kanak tidak boleh dieksploitasi secara komersial tanpa izin dan perlindungan yang sewajarnya.
• Akauntabiliti sosial: Keibubapaan bukanlah bermakna kebebasan tanpa batas, tetapi tanggungjawab dan kewajipan yang terikat pada etika agama dan masyarakat.
• Ekonomi bermoral: Keuntungan tidak boleh dicapai melalui eksploitasi ke atas golongan lemah, terutama kanak-kanak.
• Penjagaan komuniti: Umat Islam berfungsi sebagai kompas moral, membetulkan kemungkaran awam dan menjaga nilai-nilai komunal.
Kesimpulan: Kembali kepada Manusia Bermartabat
Fenomena kidfluencer dan vlogger keluarga bukan sekadar trend kosong. Sebaliknya, ia adalah gejala masalah yang lebih mendalam: kegagalan individualisme sekular untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi. Anak-anak tidak perlukan penonton, tetapi mereka perlukan perlindungan. Islam bukan sahaja menyediakan kerangka spiritual untuk perkara ini, malah satu sistem praktikal di mana kanak-kanak berada di tengah-tengah sebagai sebagai insan yang bermaruah, dan ibu bapa sebagai dilihat sebagai penjaga, bukan penerbit kandungan (content maker).
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Sumaya Bint Khayyat