Islam Menganjurkan Umatnya Berinfak Fi Sabilillah.
Oleh: Syamsiah Jamil
Aktivis dakwah Ustazah Zaharah Buhari mengatakan, Islam menganjurkan umatnya berinfak fi sabilillah kerana jihad memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk membantu saudaranya dan membela agamanya.
“Jihad ini memang perlukan perbelanjaan yang banyak. Sebab itu Islam menganjurkan umatnya supaya berinfak. Bukan saja berinfak, kita juga disuruh untuk mengorbankan harta, tenaga dan nyawa demi untuk membantu saudara-saudara kita dan untuk agama kita,” jelasnya dalam Siri Live Tadabbur Ayat Pilihan bertajuk Kewajipan Berinfak, Ibadah Haji dan Kesatuan Ummah, Sabtu (10/5/2025).
Beliau menyatakan demikian ketika menjelaskan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud,
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Beliau menjelaskan, infak fi sabilillah adalah infak yang merupakan kewajipan dan perlu lebih diutamakan berbanding sedekah yang biasa diamalkan oleh kebanyakan orang hari ini.
“Kalau kita tidak ada sumber duit yang yang banyak, yang mencukupi, malah melebihi dari apa yang dipunyai oleh musuh, maka kita memang tidak akan dapat melaksanakan jihad itu. Sedangkan jihad itu adalah satu kewajipan,” tegasnya.
Beliau melanjutkan, jihad perlu dilakukan untuk menghentikan pembantaian dan pembunuhan umat Islam di Palestin dan di negara-negara lain. Maka, perbelanjaan yang besar diperlukan untuk keperluan senjata, logistik, latihan tentera dan sebagainya.
“Peranan negara juga harus dilaksanakan, mesti terus menghantar tentera ke Gaza. Dan ini telah dikeluarkan fatwa oleh Majlis Fatwa Sedunia yang mengatakan jihad itu harus (wajib) dilaksanakan,” ungkapnya.
Beliau menzahirkan kekecewaan kerana masih belum ada tindakan daripada negara-negara Muslim padahal fatwa itu telah dikeluarkan sejak bulan Ramadhan lalu. Fatwa tersebut juga telah memberi garis panduan tentang tindakan yang wajib dilakukan oleh pemerintah di negara umat Islam untuk mendapatkan pembebasan dan pembelaan terhadap saudara umat Islam di Palestin dengan melakukan melakukan jihad.
“Semuanya itu memang perlu melakukan jihad dan kewangan itu sangat penting, sangat diperlukan supaya kita tidak seperti mana ayat yang kita bacakan tadi, ‘supaya kamu tidak masuk ke dalam kebinasaan’ apabila kita hanya mendiamkan diri melihat saudara kita semua kelaparan dizalimi dan dibunuh,” terangnya.
Beliau menunjukkan bahawa semua kewajipan yang telah Allah SWT perintahkan adalah untuk umat Islam meraih takwa kepada Allah SWT. Maka, amalan infak wajib terus dilaksanakan walaupun umat Islam telah terbela.
“Infak juga terus dilaksanakan kalau pada masa yang akan datang saudara-saudara kita telah terbela. Tapi infak itu tetap terus dilaksanakan kerana kewajipan infak ini tidak pernah putus kerana ini adalah firman Allah SWT,” tutupnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/16EjGbgtmz/