HUKUM SOLAT JUMAAT BERSAMAAN DENGAN HARI RAYA (AIDILFITRI/AIDILADHA)
Oleh: KH. M. Shiddiq Al Jawi
- Pendahuluan
Seperti yang kita ketahui, kadang-kadang hari raya Aidilfitri atau Aidiladha jatuh pada hari Jumaat. Misalnya pernah berlaku pada tahun 2009, Aidiladha tanggal 10 Zulhijjah 1430 H jatuh pada hari Jumaat, 27 November 2009. Atau contoh mutakhir, Aidiladha 1446 H, jatuh pada hari Jumaat 6 Jun 2025.
Di sinilah mungkin di antara kita ada yang bertanya, adakah solat Jumaat masih diwajibkan pada hari raya? Adakah jika seseorang sudah solat eid, bererti dia boleh meninggalkan solat Jumaat?
Tulisan ini berusaha menjawab persoalan seperti ini dengan melakukan penelusuran pendapat ulama, dalil-dalilnya, dan pentarjihan (mengambil yang terkuat) dari dalil-dalil tersebut.
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, baik Aidilfitri mahupun Aidiladha. Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al A`immah karya Imam Ad-Dimasyqi, disebutkan bahawa:
“Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam Asy-Syafie yang sahih, bahawa solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kampung yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi orang yang datang dari kampung lain, gugur solat Jumaatnya.
Demikian menurut pendapat Imam Asy-Syafie yang sahih. Maka, jika mereka telah solat hari raya, boleh bagi mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung, wajib solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun orang yang ditempati solat Jumaat. Kewajipan solat Jumaat gugur kerana telah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Menurut ‘Atha`, Zuhur dan Jumaat gugur bersama-sama pada hari itu. Maka tidak ada solat sesudah solat hari raya selain solat Asar.”
Imam Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan pendapat Imam Malik sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Disebutkannya bahawa, “Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat, “Jika berkumpul hari raya dan Jumaat, maka mukallaf dituntut untuk melaksanakannya semuanya….”
Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa dalam masalah ini terdapat 4 (empat) pendapat:
Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka diselenggarakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung atau padang gurun (ahlul badaawi / ahlul ‘aaliyah), yang di tempatnya itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajipan solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung — telah solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Syafie. Ini juga merupakan pendapat Uthman bin Affan dan Umar bin Abdul Aziz.
Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang ditempati solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung lain. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.
Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun bagi orang yang ditempati solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikian pendapat Imam Ahmad.
Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajipannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tidka da lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabbah. Dikatakan, ini juga merupakan pendapat Ibnu Zubayr dan ‘Ali bin Abi Thalib RA.
- Pendapat yang Rajih (Lebih Kuat)
Kami mendapatkan kesimpulan, bahawa pendapat yang rajih (lebih kuat) adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, rahimahullah. Rincian hukumnya adalah sebagai berikut:
Hukum Pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya -yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat- gugurlah kewajipan atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak.
Hukum Kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat.
Hukum Ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan solat Zuhur.
Hukum Keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.
Keterangan mengenai masing-masing hukum tersebut akan dihuraikan pada poin berikutnya, Insya Allah.
2.1. Keterangan Hukum Pertama
Mengenai gugurnya kewajipan solat Jumaat bagi mereka yang sudah melaksanakan solat hari raya, dalilnya adalah hadis-hadis Nabi SAW yang sahih, antara lain yang diriwayatkan dari Zayd bin Arqam RA bahawa dia berkata:
صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ فَقَالَ مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ
“Nabi SAW melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian beliau memberikan rukhsah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat. Kemudian Nabi SAW berkata, “Barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah dia solat.” (HR. Al-Khamsah, kecuali At-Tirmidzi. Hadis ini menurut Ibnu Khuzaimah, hadis sahih).
Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ وَإِنَّامُجَمِّعُونَ
“Sungguh telah berkumpul pada hari kalian ini dua hari raya. Maka barangsiapa berkehendak (solat hari raya), cukuplah baginya solat hari raya itu, tidak perlu solat Jumaat lagi. Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan solat Jumaat.” (HR. Abu Dawud, Ibnu Majah dan Al-Hakim juga meriwayatkan hadis ini dari sanad Abu Shalih, dan dalam isnadnya terdapat Baqiyah bin Walid, yang diperselisihkan ulama. Imam Ad-Daruquthni menilai, hadis ini sahih. Ulama hadis lain menilainya hadis mursal).
Hadis-hadis ini merupakan dalil bahawa solat Jumaat setelah solat hari raya, menjadi rukhsah. Yakni, maksudnya solat Jumaat boleh dikerjakan dan boleh juga tidak melakukannya. Pada hadis Zayd bin Arqam di atas (hadis pertama), Nabi SAW bersabda “tsumma rakhkhasha fi al jumu’ati” (kemudian Nabi memberikan rukhshash dalam [solat] Jumaat). Ini menunjukkan bahawa setelah solat hari raya ditunaikan, solat Jumaat menjadi rukhsah (kemudahan/keringanan).
Menurut Imam Taqiyuddin An-Nabhani, rukhsah adalah hukum yang disyariatkan untuk meringankan hukum azimah (hukum asal) kerana adanya suatu uzur (halangan), disertai tetapnya hukum azimah namun hamba tidak diharuskan mengerjakan rukhsah itu.
Jadi solat Jumaat pada saat hari raya, menjadi rukhsah, kerana terdapat uzur berupa pelaksanaan solat hari raya. Namun, kerana rukhsah itu tidak menghilangkan azimah sama sekali, maka solat Jumaat masih tetap disyariatkan, sehingga boleh dikerjakan dan boleh juga tidak dikerjakan.
Hal ini diperkuat dan diperjelas dengan sabda Nabi SAW dalam kelanjutan hadis Zayd bin Arqam di atas “man syaa-a an yushalliya falyushalli” (barangsiapa yang berkehendak [solat Jumaat], hendaklah dia solat). Ini adalah manthuq (ungkapan tersurat) hadis. Mafhum mukhalafah (ungkapan tersirat di sebalik yang tersurat) dari hadis itu -dalam hal ini berupa mafhum syarat, kerana ada lafaz “man” sebagai syarat- adalah “barangsiapa yang tidak berkehendak solat Jumaat, maka tidak perlu solat Jumaat.”
Kesimpulannya, orang yang telah mengerjakan solat hari raya, gugurlah kewajipan atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh menunaikan solat Jumaat dan boleh juga tidak.
Mungkin ada pertanyaan, apakah gugurnya solat Jumaat ini hanya untuk penduduk kampung/desa (ahlul badaawi atau ahlul ‘aaliyah) –yang di tempat mereka tidak diselenggarakan solat Jumaat– sedang bagi penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka diselenggarakan solat Jumaat– tetap wajib solat Jumaat?
Yang lebih tepat menurut kami, gugurnya kewajipan solat Jumaat ini berlaku secara umum, baik untuk penduduk kampung/desa mahupun penduduk kota. Yang demikian itu kerana nas-nas hadis di atas bersifat umum, iaitu dengan adanya lafaz “man” (barangsiapa/siapa saja) yang mengandung erti umum, baik dia penduduk kampung mahupun penduduk kota. Dan lafaz umum tetap dalam keumumannya selama tidak terdapat dalil yang mengkhususkannya.
Dalam hal ini tidak ada dalil yang mengkhususkan (takhsis) keumumannya, maka tetaplah lafaz “man” dalam hadis-hadis di atas berlaku secara umum. (Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, 2/273).
- Keterangan Hukum Kedua
Bagi mereka yang sudah mengerjakan solat hari raya, mana yang lebih utama (afdhal), menunaikan solat Jumaat atau meninggalkannya ?
Pada dasarnya, antara azimah (hukum asal) dan rukhsah kedudukannya setara, tak ada yang lebih utama daripada yang lain, kecuali terdapat nas yang menjelaskan keutamaan salah satunya, baik keutamaan azimah mahupun rukhsah.
Namun dalam hal ini terdapat nas yang menunjukkan keutamaan solat Jumaat daripada meninggalkannya. Pada hadis Abu Hurayrah RA (hadis kedua) terdapat sabda Nabi “innaa mujammi’uun” (Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat).
Ini menunjukkan bahawa meskipun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhsah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.
Hanya saja perbuatan Nabi SAW ini tidak wajib, sebab Nabi SAW sendiri telah membolehkan untuk tidak solat Jumaat. Jadi, perbuatan Nabi SAW itu sifatnya sunnah, tidak wajib.
2.3 Keterangan Hukum Ketiga
Jika orang yang sudah solat hari raya memilih untuk meninggalkan solat Jumaat, adakah dia wajib menunaikan solat Zuhur? Jawapannya, dia wajib solat Zuhur, tidak boleh meninggalkannya.
Wajibnya solat Zuhur itu, disebabkan nas-nas hadis yang telah disebut di atas, hanya menggugurkan kewajipan solat Jumaat, tidak mencakup pengguguran kewajipan Zuhur.
Padahal, kewajipan solat Zuhur adalah kewajipan asal (al-fadhu al-ashli), sedang solat Jumaat adalah hukum pengganti (al-badal), bagi solat Zuhur itu. Maka jika hukum pengganti (al-badal) -iaitu solat Jumaat- tidak dilaksanakan, kembalilah tuntutan syarak kepada hukum asalnya, iaitu solat Zuhur. Yang demikian itu adalah mengamalkan Istish-hab, iaitu kaedah hukum untuk menetapkan berlakunya hukum asal, selama tidak terdapat dalil yang mengecualikan atau mengubah berlakunya hukum asal.
Dengan demikian, jika seseorang sudah mengerjakan solat hari raya, kemudian dia memilih untuk meninggalkan solat Jumaat, maka dia wajib melaksanakan solat Zuhur.
- Keterangan Hukum Keempat
Mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib atasnya untuk tetap menunaikan solat Jumaat. Tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat. Dengan kata lain, rukhsah untuk meninggalkan solat Jumaat ini khusus untuk mereka yang sudah melaksanakan solat hari raya. Mereka yang tidak melaksanakan solat hari raya, tidak mendapat rukhsah, sehingga konsekuensinya tetap wajib hukumnya menunaikan solat Jumaat.
Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah (hadis kedua) dimana Nabi SAW bersabda, “fa man syaa-a, ajza-a-hu ‘anil jumu’ati” (Maka barangsiapa yang berkehendak [solat hari raya], cukuplah baginya solat hari raya itu, tak perlu solat Jumaat lagi).
Ini adalah manthuq (ungkapan eksplisit/tersurat) dari hadis. Mafhum mukhalafah (pengertian implisit sebaliknya), yakni orang yang tidak melaksanakan solat hari raya, dia tetap dituntut menunaikan solat Jumaat.
Imam Ash-Shan’ani dalam Subulus Salam ketika memberi syarah (penjelasan) terhadap hadis di atas berkata: “Hadis tersebut adalah dalil bahawa solat Jumaat -setelah ditunaikannya solat hari raya– menjadi rukhsah. Boleh dikerjakan dan boleh ditinggalkan. Tetapi (rukhsah) itu khusus bagi orang yang menunaikan solat Eid, tidak mencakup orang yang tidak menjalankan solat Eid.” (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/112)
Jadi, orang yang tidak melaksanakan solat hari raya, tidak termasuk yang dikecualikan dari keumuman nas yang mewajibkan solat Jumaat. Yang dikecualikan dari keumuman nas itu adalah yang telah solat hari raya. Maka dari itu, orang yang tidak solat hari raya, tetap wajib atasnya solat Jumaat.
- Meninjau Pendapat-Pendapat Lain
3.1 Pendapat Imam Syafie
Pada dasarnya, Imam Syafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh bertepatan pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut hanya berlaku bagi penduduk kota (ahlul madinah/ahlul amshaar).
Adapun penduduk desa/kampung atau penduduk padang gurun (ahlul badawi) yang datang ke kota untuk solat Eid (dan solat Jumaat), sementara di tempatnya tidak diselenggarakan solat Jumaat, maka mereka boleh tidak mengerjakan solat Jumaat.
Sebenarnya Imam Syafie berpendapat seperti itu kerana menurut beliau, hadis-hadis yang menerangkan gugurnya kewajipan solat Jumaat pada hari raya bukanlah hadis-hadis sahih. Sehingga beliau pun tidak mengamalkannya. Inilah dasar pendapat Imam Syafie.
Menanggapi pendapat Imam Syafie tersebut, Imam Ash-Shan’ani dalam Subulus Salam berkata: “Asy-Syafie dan segolongan ulama berpendapat bahawa solat Jumaat tidak menjadi rukhsah. Mereka berhujah bahawa dalil kewajipan solat Jumaat bersifat umum untuk semua hari (baik hari raya mahupun bukan). Sedang apa yang disebut dalam hadis-hadis dan atsar-atsar (yang menjadikan solat Jumaat sebagai rukhsah) tidaklah cukup kuat untuk menjadi takhsis (pengecualian) kewajipan solat Jumaat, sebab sanad-sanad hadis itu telah diperselisihkan oleh ulama. Saya (Ash-Shan’ani) berkata, “Hadis Zayd bin Arqam telah dinilai sahih oleh Ibnu Khuzaimah…maka hadis tersebut dapat menjadi takhsis (pengecualian)…” (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/112).
Dengan demikian, jelaslah bahawa Imam Syafie tidak menilai hadis Zayd bin Arqam tersebut sebagai hadis sahih, sehingga beliau tidak menjadikannya sebagai takhsis yang menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Beliau kemudian berpegang kepada keumuman nas yang mewajibkan solat Jumaat pada semua hari (QS Al-Jumu’ah ayat 9), baik hari raya mahupun bukan.
Namun, Imam Ash-Shan’ani menyatakan, bahawa hadis Zayd bin Arqam adalah sahih menurut Ibnu Khuzaimah.
Dalam hal ini patut kiranya ditegaskan, bahawa penolakan Imam Syafie terhadap hadis Zayd bin Arqam tidaklah mencegah kita untuk menerima hadis tersebut. Penolakan Imam Syafie terhadap hadis Zayd bin Arqam itu tidak bererti hadis tersebut –secara mutlak– tertolak (mardud). Sebab, sudah menjadi suatu kewajaran dalam penilaian hadis, bahawa sebuah hadis boleh saja diterima oleh sebahagian muhaddis, sedang muhaddis lain menolaknya.
Dalam kaitan ini, Imam Taqiyuddin An Nabhani dalam kitabnya Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyah Juz I berkata:
“…(kita tidak boleh cepat-cepat menolak suatu hadis) hanya kerana seorang ahli hadis tidak menerimanya, kerana ada kemungkinan hadis itu diterima oleh ahli hadis yang lain. Kita juga tidak boleh menolak suatu hadis kerana para ahli hadis menolaknya, kerana ada kemungkinan hadis itu digunakan hujjah oleh para imam atau umumnya para fuqaha… ”
Maka dari itu, walaupun hadis Zayd bin Arqam ditolak oleh Imam Syafie, tidak bererti kita tidak boleh menggunakan hadis tersebut sebagai dalil syarie. Sebab faktanya ada ahli hadis lain yang menilainya sebagai hadis sahih, yakni Imam Ibnu Khuzaimah, sebagaimana penjelasan Imam Ash-Shan’ani. Jadi, beristidlal dengan hadis Zayd bin Arqam tersebut tetap dibenarkan, sehingga hukum yang didasarkan pada hadis tersebut adalah tetap berstatus hukum syarie.
3.2 Pendapat Imam Malik dan Abu Hanifah
Imam Malik dan Abu Hanifah tetap mewajibkan solat Jumaat, baik bagi penduduk kota (ahlul madinah/ahlul amshaar) mahupun penduduk desa/kampung atau penduduk padang gurun (ahlul badawi). Ibnu Rusyd menjelaskan hujah kedua Imam tersebut: “Imam Malik dan Abu Hanifah berkata, “Solat hari raya adalah sunnah, sedang solat Jumaat adalah fardhu, dan salah satunya tidak dapat menggantikan yang lainnya. Inilah yang menjadi prinsip asal (al-ashlu) dalam masalah ini, kecuali jika terdapat ketetapan syarak, maka wajib merujuk kepadanya…”
Dari keterangan itu, nampak bahawa Imam Malik dan Abu Hanifah juga tidak menerima hadis-hadis yang menerangkan gugurnya solat Jumaat pada hari raya.
Konsekuensinya, beliau berdua kemudian berpegang pada hukum asal masing-masing, yakni kesunnahan solat Eid dan kewajipan solat Jumaat. Dasar pendapat mereka sebenarnya sama dengan pendapat Imam Syafie.
Namun demikian, beliau berdua memberikan pengecualian, bahawa hukum asal tersebut boleh berubah, jika terdapat dalil syarie yang menerangkannya.
Atas dasar itu, kerana terdapat hadis Zayd bin Arqam (yang sahih menurut Ibnu Khuzaimah) atau hadis Abu Hurayrah RA (yang sahih menurut Imam Ad-Daraquthni), maka sesungguhnya hadis-hadis tersebut dapat menjadi takhsis hukum asal solat Jumaat, yakni yang asalnya wajib kemudian menjadi rukhsah (tidak wajib).
Dengan demikian, yang berlaku kemudian adalah hukum setelah ditakhsis, bukan hukum asalnya, yakni bahawa solat Jumaat itu menjadi rukhsah bagi mereka yang menunaikan solat hari raya, dan statusnya menjadi tidak wajib. Inilah pendapat yang lebih tepat.
3.3 Pendapat ‘Atha bin Abi Rabah
‘Atha bin Abi Rabbah berpendapat bahawa jika hari Jumaat bertepatan dengan hari raya, maka solat Jumaat dan Zuhur gugur semuanya. Tidak wajib solat apa pun pada hari itu setelah solat hari raya melainkan solat Asar.
Imam Ash-Ash’ani menjelaskan bahawa pendapat ‘Atha` bin Abi Rabbah tersebut didasarkan pada 3 (tiga) alasan, iaitu:
Pertama, berdasarkan perbuatan sahabat Ibnu Zubayr RA sebagaimana diriwayatkan Imam Abu Dawud, bahawasanya:
عِيدَانِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ فَجَمَعَهُمَا جَمِيعًا فَصَلَّاهُمَا رَكْعَتَيْنِ بُكْرَةً لَمْ يَزِدْ عَلَيْهِمَا حَتَّى صَلَّى الْعَصْرَ
“Dua hari raya (hari raya dan hari Jumaat) telah berkumpul pada satu hari yang sama. Lalu dia (Ibnu Zubayr) mengumpulkan keduanya dan melakukan solat untuk keduanya sebanyak dua rakaat pada pagi hari. Dia tidak menambah atas dua rakaat itu sampai dia mengerjakan solat Asar.” (HR. Abu Dawud).
Kedua, solat Jumaat adalah hukum asal (al-ashlu) pada hari Jumaat, sedang solat Zuhur adalah hukum pengganti (al-badal) bagi solat Jumaat. Maka dari itu, jika hukum asal telah gugur, automatik gugur jugalah hukum penggantinya.
Ketiga, yang zhahir dari hadis Zayd bin Arqam, bahawa Rasulullah SAW telah memberi rukhsah pada solat Jumaat. Namun Rasulullah SAW tidak memerintahkan untuk solat Zuhur bagi orang yang tidak melaksanakan solat Jumaat.
Demikianlah alasan pendapat ‘Atha` bin Abi Rabbah. Imam Ash-Shan’ani tidak menerima pendapat tersebut dan telah membantahnya. Menurut beliau, bahawa setelah solat hari raya, Ibnu Zubayr tidak keluar dari rumahnya untuk solat Jumaat di masjid, tidaklah dapat dipastikan bahawa Ibnu Zubayr tidak solat Zuhur. Sebab ada kemungkinan (ihtimal) bahawa
Ibnu Zubayr solat Zuhur di rumahnya. Yang dapat dipastikan, kata Imam Ash-Shan’ani, solat yang tidak dikerjakan Ibnu Zubayr itu adalah solat Jumaat, bukannya solat Zuhur.
Untuk alasan kedua dan ketiga, Imam Ash-Shan’ani menerangkan bahawa tidaklah benar bahawa solat Jumaat adalah hukum asal (al-ashlu) sedang solat Zuhur adalah hukum pengganti (al-badal). Yang benar, justeru sebaliknya, iaitu solat Zuhur adalah hukum asal, sedang solat Jumaat merupakan penggantinya. Sebab, kewajipan solat Zuhur ditetapkan lebih dahulu daripada solat Jumaat. Solat Zuhur ditetapkan kewajipannya pada malam Israk Mikraj, sedang kewajipan solat Jumaat ditetapkan lebih kemudian waktunya (muta`akhkhir).
Maka yang benar, solat Zuhur adalah hukum asal, sedang solat Jumaat adalah penggantinya. Jadi jika solat Jumaat tidak dilaksanakan, maka wajiblah kembali pada hukum asal, yakni mengerjakan solat Zuhur. (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/112)
Kesimpulan
Dari seluruh huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa jika hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, hukumnya adalah sebagai berikut:
Pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya (Eid), gugurlah kewajipan solat Jumaat atasnya. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. Namun, disunnahkan baginya tetap melaksanakan solat Jumaat.
Kedua, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib atasnya melaksanakan solat Zuhur. Tidak boleh dia meninggalkan Zuhur.
Ketiga, adapun orang yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib atasnya solat Jumaat. Tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat. Tidak boleh pula dia melaksanakan solat Zuhur.
Demikianlah hasil pentarjihan kami untuk masalah ini sesuai dalil-dalil syarie yang ada. Wallahu a’lam.
Jogjakarta, Indonesia, 4 Jun 2025
Muhammad Shiddiq Al-Jawi
Keterangan: Tulisan ini adalah karya penulis sekitar 20 tahun yang lalu. Tulisan ini telah diedit ulang oleh penulis pada hari Rabu, 4 Jun 2025.