Adakah Hadiah daripada Orang yang Berhutang Itu Riba?
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Para ulama sepakat bahawa riba merupakan dosa yang sangat besar. Begitu juga, tidak terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama bahawa mengambil hadiah atau sebarang manfaat daripada akad hutang (qard), sekiranya disyaratkan sejak awal dan dimasukkan dalam akad tersebut, adalah termasuk dalam kategori riba.
Namun, berkenaan hadiah yang tidak disyaratkan dalam pemberian hutang, sama ada ia termasuk dalam kategori riba atau tidak, perkara ini memerlukan perincian.
Ramai dalam kalangan sahabat Nabi berpendapat bahawa pemberian hadiah kerana seseorang memberi hutang, walaupun tidak disyaratkan dalam akad hutang tersebut, tetap dianggap sebagai riba. Inilah pandangan ‘Ubay bin Ka’ab, Ibn Mas‘ud, Abdullah bin Salam, Ibn ‘Umar, dan Ibn ‘Abbas ridhwanullaahi ‘alaihim. [1]
Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Burdah bin Abi Musa, “Aku datang ke Madinah dan bertemu dengan Abdullah bin Salam, dia berkata,
إِنَّكَ بِأَرْضٍ الرِّبَا بِهَا فَاشٍ، إِذَا كَانَ لَكَ عَلَى رَجُلٍ حَقٌّ فَأَهْدَى إِلَيْكَ حِمْلَ تِبْنٍ أَوْ حِمْلَ شَعِيرٍ أَوْ حِمْلَ قَتٍّ فَلا تَأْخُذْهُ فَإِنَّهُ رِبًا
“Kamu hidup di sebuah negeri dimana riba tersebar luas, kerana itu, jika salah seorang berhutang kepadamu dan dia memberikan sekeranjang rumput atau bijirin atau jerami, janganlah kamu terima, kerana itu adalah riba.” [2]
Namun demikian, sekiranya sebelum berlakunya akad hutang, si penghutang sudah lazim memberikan hadiah, dan pihak yang memberi hutang mempunyai dugaan kuat bahawa hadiah tersebut bukanlah sebagai balasan atas hutang yang diberikan, maka dibolehkan untuk menerimanya.
Yahya bin Abi Ishaq pernah bertanya kepada Anas bin Malik RA tentang seseorang yang berhutang dengan saudaranya, kemudian dia diberi hadiah, lalu Anas berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda:
عإِذَا أَقْرَضَ أَحَدُكُمْ قَرْضًا فَأَهْدَى لَهُ أَوْ حَمَلَهُ عَلَى الدَّابَّةِ فَلا يَرْكَبْهَا وَلا يَقْبَلْهُ، إِلا أَنْ يَكُونَ جَرَى بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ قَبْلَ ذَلِكَ
“Jika seseorang daripada kamu memberi hutang dan penghutang memberinya hadiah, atau menawarkan tunggangan, maka janganlah kamu menaikinya dan menerimanya, kecuali apabila sudah terbiasa dengan yang demikian itu sebelumnya.” (HR. Ibnu Majah).[3]
Ibn Sirin meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab RA pernah meminjamkan wang sebanyak sepuluh ribu dirham kepada Ubay bin Ka’ab RA. Suatu hari, Ubay bin Ka’ab RA menghadiahkan buah-buahan dari kebunnya kepada Umar. Namun, Umar menolak hadiah tersebut. Lalu, Ubay datang menemui Umar dan bertanya tentang sebab penolakan itu:
لَقَدْ عَلِمَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ أَنِّي مِنْ أَطْيَبِهِمْ ثَمَرَةً، وَأَنَّهُ لا حَاجَةَ لَنَا، فَبِمَ مَنَعْتَ هَدِيَّتَنَا ؟
“Sungguh penduduk Madinah tahu bahawa buah-buahan (hasil kebun)ku termasuk yang terbaik, dan tidak ada kepentingan apapun dari kami dalam memberi hadiah ini. Kenapa engkau menolak hadiah kami wahai Umar?”
ثُمَّ أَهْدَى إِلَيْهِ بَعْد ذَلِكَ فَقَبِلَ
“Kemudian setelah itu Ubay memberi hadiah lagi kepada Umar dan Umar menerimanya.” [4]
Terkait hal ini Ibnu Qayyim menjelaskan:
فَكَانَ رَدّ عُمَر لَمَّا تَوَهَّمَ أَنْ تَكُون هَدِيَّته بِسَبَبِ الْقَرْض فَلَمَّا تَيَقَّنَ أَنَّهَا لَيْسَتْ بِسَبَبِ الْقَرْض قَبِلَهَا وَهَذَا فَصْل النِّزَاع فِي مَسْأَلَة هَدِيَّة الْمُقْتَرِض
“Penolakan Umar terhadap hadiah daripada Ubay adalah kerana beliau menyangka bahawa hadiah tersebut diberikan disebabkan hutang yang telah diberikan kepada Ubay. Namun, apabila beliau yakin bahawa hadiah itu bukan kerana hutang tersebut, beliau pun menerimanya. Inilah kaedah asas dalam isu pemberian hadiah daripada penghutang kepada pihak yang memberi hutang.” [5]
Oleh itu, sekiranya kita mempunyai dugaan yang kuat bahawa sesuatu hadiah itu bukan diberikan sebagai balasan terhadap hutang, atau sebagai ‘ucapan terima kasih’ atas hutang yang diberikan, maka dibolehkan untuk menerimanya. Namun, jika perkara itu masih samar dan tidak jelas bagi kita, maka lebih baik untuk meninggalkannya dan tidak menerimanya. Imam Badruddin al-‘Aini menyatakan:
وعَلى كل حَال الْوَرع والزهد وَالتَّقوى يَنْفِي ذَلِك
“Bagaimanapun keadaannya, sifat wara’, zuhud dan takwa akan menolak hal tersebut (hadiah kerana memberi hutang).” [6]
Sikap berhati-hati, terutamanya pada zaman sekarang, amatlah penting. Lebih-lebih lagi apabila terdapat segelintir golongan alim yang sudah tidak segan memutar belit dalil, mencari jalan dan helah (ḥīlah) agar riba kelihatan seolah-olah dibolehkan. Sekiranya kita tidak berhati-hati, kita mungkin terjatuh ke dalam amalan riba. Jika itu berlaku, riba yang kelihatan kecil itu boleh menghilangkan keberkatan dalam harta dan kehidupan kita.
Na’udzu billaah.
Rujukan:
[1] Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, I’lâm al-Muwaqqi’în, Cet. I. (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1991), Juz 3, h. 137.
وَقَدْ تَقَدَّمَ عَنْ غَيْرِ وَاحِدٍ مِنْ أَعْيَانِهِمْ كَأُبَيٍّ وَابْنِ مَسْعُودٍ وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلَامٍ وَابْنِ عُمَرَ وَابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُمْ نَهَوْا الْمُقْرِضَ عَنْ قَبُولِ هَدِيَّةِ الْمُقْتَرِضِ، وَجَعَلُوا قَبُولَهَا رِبًا
[2] Muhammad bin Isma’il al-Bukhari, Shahih al-Bukhari (Dâr Tuq al-Najah, 1422), Juz 5. h. 38.
[3] Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah (Kairo: Dâr Ihya al-Kutub al-Arabiyyah, tt), Juz 2, h. 813.
[4] Shuhaib Abdul Jabbar, Al-Jâmi’ al-Shahîh Li Al-Sunan Wa al-Masânîd (Maktabah Syamilah, 2014), Juz 33, h. 291; Muhammad Asyraf bin ‘Amir Al-Adzim Âbâdi, ‘Aun al-Ma’Bûd Syarh Sunan Abi Daud Wa Hasyiyah Ibnu Qayyim, Cet. II. (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1415), Juz 9, h. 296.
[5] Al-Adzim Âbâdi, ‘Aun al-Ma’Bûd Syarh Sunan Abi Daud Wa Hasyiyah Ibnu Qayyim, Juz 9, h. 296.
[6] Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad Badruddin al-Aini, ‘Umdah al-Qâri Syarh Shahih al-Bukhari (Beirut: Dâr Ihyâ al-Turâts al-Arabi, n.d.), Juz 16, h. 277.
Sumber: https://mtaufiknt.wordpress.com/2020/01/22/hadiah-dari-yang-berhutang-apakah-riba/
#hutang #hadiah #pinjamanribawi