Eksploitasi Sumber Alam: Meminimum Kesan Buruk Dan Bermanfaat Untuk Semua
Oleh: Rahmah
Pemerhati Ekonomi, Ustaz Dr. Indra Fajar Alamsyah menyatakan bahawa eksploitasi menurut Islam mestilah dapat meminimumkan kesan buruk dan hasilnya dimanfaatkan untuk kegunaan umum.
“Apabila melakukan eksploitasi, memang Islam menuntut agar inovasi zero waste mining (perlombongan tanpa sisa) dilaksanakan dengan sebenar-benarnya. Mesti ada negeri-negeri yang mampu meminimumkan atau menghapuskan kesan buruk daripada perlombongan,” ujarnya dalam saluran YouTube Rayah TV bertajuk Haram Merosakkan Alam, Sabtu (14 Jun 2025).
Dalam perbincangan mengenai fakta Raja Ampat, sebuah kawasan perlombongan nikel yang eksotik tetapi telah dirosakkan demi kepentingan kapitalis asing, beliau menerangkan bukan sahaja eksploitasi sumber alam perlu meminimumkan kesan buruk, tetapi hasil perlombongan juga perlu dimanfaatkan untuk kepentingan umum dan industri strategik.
“Perlombongan itu digunakan untuk kegunaan umum dan juga untuk industri strategik, termasuk industri ketenteraan dan pengangkutan. Semua itu mesti berdasarkan kepada skala keutamaan. Itulah skala keutamaan yang menjaga keseimbangan alam — sama ada dengan manusia, dengan laut, hutan dan sebagainya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa hal ini berbeza dengan ideologi kapitalis yang memandang alam semata-mata sebagai komoditi dan hanya mementingkan nilai tukar, tanpa menghiraukan aspek ekologi dan kelestarian alam.
“Hari ini kapitalis hanya melihat kepada nilai tukar semata-mata. Jadi, fungsi ekologi, kepelbagaian biodiversiti, dan kelestarian alam sekitar diketepikan,” katanya.
Beliau menambah bahawa ideologi yang dibina berdasarkan asas yang salah pasti akan membawa kerosakan kerana membiarkan sesiapa sahaja menguasai sumber kekayaan alam, walaupun dengan mengorbankan kehidupan manusia.
“Kapitalisme pasti akan merosakkan kerana sistemnya memang direka sebegitu. Ini berdasarkan asas yang salah. Kalau kita telusuri dari sudut falsafah, terdapat pemikiran John Locke mengenai liberalisme dan kebebasan. Menurut John Locke, kebebasan untuk memiliki sesuatu adalah hak asasi manusia. Jadi, sejak lahir tidak boleh dibatasi,” terangnya.
Beliau menambah dalam sistem kapitalis juga sesiapa yang kuat dan berkuasa boleh menguasai sumber alam walaupun perlu mengorbankan hak orang lain.
“Siapa yang punya modal dia adalah yang kuat sehinga dalam perspektif kapitalis boleh memiliki apa pun dan termasuk tadi sumber alam walaupun mengorbankan hak hidup orang ramai,” jelasnya.
Beliau turut membongkar bahawa dasar green growth yang disertai dengan kempen hijau oleh kapitalis hanyalah taktik untuk menutup kerakusan mereka dalam mengeksploitasi alam sekitar.
“Kalau pun kapitalis melaksanakan dasar green growth, mereka tetap mengeksploitasi dan pada masa yang sama melancarkan kempen hijau dengan pelbagai kaedah. Tapi kalau kita lihat dengan pemikiran kritis, kapitalis ini sebenarnya cuma melakukan greenwashing atau sekadar make up sahaja,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ada pandangan yang melihat sosialisme sebagai penyelesaian terhadap masalah alam sekitar, namun sejarah membuktikan sebaliknya.
“Kalau kita lihat dalam sejarah, Kesatuan Soviet banyak terlibat dalam kerosakan alam sekitar. Banyak peristiwa hitam seperti insiden Chernobyl, akibat kebocoran nuklear yang menyebabkan 270,000 orang terdedah kepada radiasi, tetapi tidak dikhabarkan kepada umum,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Islam memiliki penyelesaian yang nyata dan umat Islam mesti melihat Islam sebagai satu sistem yang canggih untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan urusan kenegaraan.
“Kaum Muslimin mesti mula melihat gambaran besar bahawa Islam itu canggih. Mungkin kita yang masih ketinggalan. Maka kita harus memajukan diri agar mampu menangkap dan memahami bahawa Islam itu sememangnya canggih dan mampu menyelesaikan masalah masyarakat serta urusan negara,” tegasnya.
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=n7ZHJTk8CdA
#EksplorasiSumberAlam #Nikel #RajaAmpat #Kapitalisme